Pihak polis sudah pun menyimpulkan siasatan mereka terhadap kematian Park Ji Sun dan ibunya. Tiada tanda-tanda berlakunya perbuatan khianat melainkan perlakuan mereka sendiri.
Baru-baru ini, portal Chosun telah mendedahkan memo wasiat yang ditinggalkan oleh emak Park Ji Sun sebelum mereka masing-masing dipercayai mengambil tindakan membunuh diri.
“Anak kita menderita penyakit kulit. Lagi-lagi, bila dia sedang dapatkan rawatan untuk penyakit lain pula, tiba-tiba penyakit kulitnya jadi semakin menjadi-jadi teruknya. Kita tak boleh hantar anak keseorangan. Maafkan aku, suamiku,” dedah memo wasiat tersebut. Bagaimanapun, pendedahan memo wasiat ini mendapat kecaman daripada netizen berikutan permintaan daripada keluarga mendiang untuk tidak mengadakan autopsi dan juga mendedahkan wasiat.
Mendiang Park Ji Sun dikatakan sudah menjalani pembedahan untuk merawati penyakit kulitnya pada 23 Oktober 2020 lalu dan berharap dia dapat pulih sepenuhnya bermula November ini. Bagaimanapun, beliau telah mematikan segala perhubungan dengan wakil hiburan sehinggalah pada satu masa, beliau mengirimkan mesej berkenaan kepada mereka memaklumkan dirinya masih lagi tidak sihat. “Sukar untuk terangkan kerana saya masih tak sihat. Rasanya saya kena ke hospital besar,” jelasnya.
Polis tiada klu untuk mengetahui masa kematian antara kedua-duanya dan pada mulanya beranggapan kematian mereka disebabkan keracunan.
Park Ji Sun (36 tahun) ditemui meninggal dunia bersama dengan ibunya di rumah mereka yang bertempat di Mapo-Gu, Seoul tengah hari 2 November 2020 selepas aduan dibuat oleh bapanya memandangkan mereka tidak mengangkat telefon. Ibu Park Ji Sun pula bertandang ke Seoul bagi menemani mendiang yang sedang menderita penyakit kulit. Majlis pengkebumian mereka bertempat di Hospital Ewha Womans University Mokdong pada hari ini.
Park Ji Sun memulakan kerjayanya sebagai pelawak pada tahun 2007 dan hasil usahanya dinobatkan anugerah ‘rookie’ terbaik di dalam KBS Entertainment Awards. Beliau juga pernah menjadi hos beberapa rancangan “music shows” dan “showcase”. Terbaru sekali, antaranya, Mnet “NCT World 2.0” pada 14 Oktober 2020 lalu dan juga persembahan “showcase” daripada Verivery. Beliau juga pernah membintangi drama MBC High School Kick 3.
Pesanan : Jika anda memerlukan seseorang yang ingin berbual, jangan malu dan segan untuk memulakan tindakan serta mendapatkan bantuan. Semak SINI untuk mengetahui Hotlines yang boleh anda capai dan sekiranya perkhidmatan tersebut tidak terdapat di negara anda, sila hubungi talian kecemasan.
Sumber: sport chosun1, sport chosun2