Kwon Mina membuat pengakuan mengejutkan berkaitan hubungannya dengan bekas rakan sekumpulan AOA, Jimin yang pernah menjadi ketuanya selama 10 tahun bersama kumpulan itu.
Dalam satu kenyataannya tadi, Kwon Mina berkata, “Saya tak nak menghilangkan diri lagi (keluar dari industri seni) kerana saya nak jaga mak saya. Saya agak mesti ramai yang tengah cuba hubungi salahkan saya tidak berotak. Ya, betul. Saya tak sempat nak jadi orang yang bijak pandai kerana saya terpaksa membanting tulang sejak kecil demi keluarga saya.”
Kwom Min mendakwa beliau pernah hampir membunuh diri setelah dibuli teruk oleh seseorang yang dianggapnya sebagai kawan. Cerita itu dikongsikan ketika membalas mesej keras daripada seorang netizen yang mahu dirinya berambus.
“Selepas ayah saya meninggal kerana kanser pankreas, saya menangis teruk di bilik persediaan. Ada seorang unnie ini tarik saya suruh saya berhenti menangis kerana ia mengganggu perasaannya. Saya bagitahu dia yang saya takut sangat kerana tak sanggup kehilangan ayah. Tapi, kata-kata dia masa itu buat saya tak dapat lupa peristiwa tersebut,” dakwa Kwon Mina mendedahkan identiti orang itu sebagai Jimin, yakni ketua kumpulan AOA kemudian.
“Disebabkan kami berada di dalam kereta yang sama, dia paksa saya ambil pil tidur dan ubat penenang dan akhirnya saya pitam. Saya terasa diri ini bagai kaca dihempas batu walaupun terpaksa menyibukkan diri dengan jadual seni. Sampaikan saya hampir bunuh diri kerana dia,” dakwa Kwon Mina lagi sambil menyertakan gambar pergelangan tangannya dengan kesan parut yang jelas. Akibatnya, Kwon Mina tidak dapat fokus dan tawar hati untuk bergiat aktif sebagai ahli AOA sepenuhnya.
Tambahan lagi, Kwon Mina mendedahkan ayah Jimin baru saja meninggal dunia dan Jimin pernah menyatakan kekesalannya kerana membuli dirinya suatu ketika dulu. Di akhir kalam, Kwon Mina mendesak Jimin mengakunya, dan seterusnya memohon maaf. Untuk rekod, ayah Jimin meninggal dunia pada 3 April 2020 lalu kerana sakit jantung.
Shin Jimin kemudiannya membuat kenyataan balas mengusulkan cerita itu sengaja direka-reka berdasarkan ungkapan “fiksyen” dinaikkan ke dalam instagram miliknya. Namun, kemudian dia terus memadamkan hantaran kontroversi itu barangkali selepas dinasihati oleh agensinya, FNC Entertainment.
Agensi Kwon Mina yang dihubungi, Woori Actors Entertainment, mengesahkan anak buahnya tidak sihat. “Dia sedang diubati kerana masalah paniknya, kami akan memerhatinya dengan lebih dekat lagi selepas ini.”
Kwon Mina membebaskan dirinya daripada AOA pada tahun 2018 dan sejak daripada itu, dia terus menumpukan dalam bidang lakonan . Antara drama lakonannya ialah MBN Loss Time Life, SBS Modern Farmer dan KBS All About My Mom.
Sumber: newsen , ilgan sport