Jung Joon Young dan Choi Jong Hoon membuat permohonan di mahkamah rayuan hari ini untuk membatalkan hukuman penjara selama enam tahun dan lima tahun dikenakan ke atas mereka masing-masing di atas kesalahan merogol beramai-ramai.
Walaubagaimanapun, perbicaraan untuk mendengar rayuan mereka dan tiga orang yang lain terpaksa ditangguhkan selepas mangsa tidak hadir untuk memberikan keterangan. Difahamkan, mangsa yang menerima perlindungan saksi itu juga tidak hadir di dalam perbicaraan mahkamah sebelum ini, menyebabkan perbicaraan seterusnya akan terpaksa dilangsungkan pada 9 April 2020 depan.
Sebelum rayuan sepatutnya didengarkan pada hari ini, pihak peguambela telah mengemukakan dua petisyen pada 17 Januari dan 17 Mac lalu untuk memohon kebenaran mahkamah bagi mendapatkan rekod perbualan telefon di antara mangsa dan defendan seperti dimaklumkan di dalam akhbar dan media. Mahkamah turut diberitahu untuk didapatkan maklumat tentang berapa banyak dan jenis minuman keras yang diminum, samada ia adalah perbuatan sukarela daripada mangsa sendiri bertujuan untuk mewujudkan keraguan munasabah sewaktu kejadian.
Jung Joon Young, Choi Jong Hoon, Kwon Huk Jun (abang Yuri SNSD), Momo dan Kimmo disabitkan atas kesalahan merogol beramai-ramai dengan sengaja memabukkan mangsa dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di Hongcheon, Gangwon pada Januari 2016, dan Daegu pada Mac 2016.
Semalam dalam perbicaraan kes berlainan, pendakwaraya telah memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara tambahan selama 1 tahun 6 bulan ke atas Choi Jong Hoon menjadikan keseluruhannya sebanyak 6 tahun 6 bulan. Keputusannya akan ditentukan pada 27 Mac nanti.
Sumber: IS Plus, sport seoul