Berikutan pendedahan laporan media sebelum ini tentang penyalahgunaan dadah propofol oleh seseorang selebriti terkenal yang tak dinyatakan namanya dengan menggunakan nama adik sebagai pengantara, Ha Jung Woo terus diletakkan sebagai suspek selepas kemudiannya, media melaporkan nama orang tersebut ialah “Kim Sung Hoon”, yakni nama sebenar Ha Jung Woo dengan nama “Kim Young Hoon” (adiknya) dipinjamkan.
Atas sebab itu juga, agensi Walkhouse Company mengeluarkan kenyataan penuh bagi membuat penjelasan mengenainya dan dalam masa yang sama menyangkal dakwaan penyalahgunaan propofol.
“Ha Jung Woo begitu gusar dengan kesan parut di mukanya. Maka, dia perkenalkan dengan doktor klinik yang dimaksudkan dan mahir di dalam rawatan laser muka. Ha Jung Woo menerima rawatan antara Januari hingga September 2019. Setiap kali rawatan dibuat, doktor tersebut menyarankan Ha Jung Woo untuk ‘ditidurkan’ (diberikan ubat pelali propofol). Namun, setelah mendapati keputusannya tak memberangsangkan, Ha Jung Woo berhenti mengunjungi klinik tersebut,” kata jurucakap agensi yang menjelaskan pengakuan Ha Jung Woo tentang penggunaan propofol bagi tujuan rawatan mukanya saja.
Berkenaan menggunakan nama adik sebagai pengantara, jurucakap itu berkata, “Klinik meminta Ha Jung Woo memakai topeng dan topi apabila datang untuk rawatan. Malah, dia minta nama adiknya dan pengurusnya. Ha Jung Woo hanya membiarkannya atas dasar hak perlindungan privasi. Sejurus dengan itu, Ha Jung Woo meminta maaf kepada peminat kerana telah menyebabkan salah faham ini. Nasib baik, mesej teks antaranya dengan doktor klinik itu membuktikan Ha Jung Woo hanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan saja.”
Menurut maklumat daripada jabatan pendakwaraya Korea, Ha Jung Woo akan dipanggil untuk disiasat di atas dakwaan penyalahgunaan dadah propofol.