“Crash Landing On You” raih ratings tertinggi di tvN, pecah rekod yang pernah disandang “Goblin”

tvN Crash Landing On You berakhir dengan rating tertinggi pernah dicapai drama itu sepanjang ditayangkan sejak awal Disember 2019 lalu.

Dengan nilaian sebanyak 21.7% menurut Nielsen, tvN Crash Landing On You telah memintas rekod yang pernah disandang oleh tvN Goblin sebelum ini dengan rating tertinggi sebanyak 20.5%, disusuli dengan tvN Reply 1998 dan tvN Mr. Sunshine masing-masing dengan capaian sebanyak 18.8% dan 18.1%. tvN Crash Landing On You juga hanya di belakang jtbc Sky Castle untuk pemegang rekod drama kabel dengan ratings tertinggi sepanjang zaman di Korea.

Episod terakhir tvN Crash Landing On You yang berdurasi hampir dua jam dan ditayangkan 16 Februari 2020 semalam, menyimpulkan segala krisis melanda akibat percintaan yang terjalin antara kedua-dua pasangan yang dipisahkan oleh dua negara yang berseteru antara satu sama lain, Korea Selatan dan Korea Utara. Cinta juga tak menghalang kedua-duanya untuk bersemuka kembali selepas beberapa tahun walaupun hanya untuk seketika.

Kisah drama ini bermula selepas terjadinya kemalangan apabila Yoon Seo Ri (lakonan Hyun Bin) yang sedang leka bermain payung terjun tiba-tiba dilambung angin sehingga terjunam ke sempadan Korea Utara. Yoon Seo Ri diselamatkan oleh seorang lelaki yang tinggal di Korea Utara, iaitu Ri Jung Hyuk (lakonan Hyun Bin). Sepanjang berada di sana, Ri Jung Hyuk melindungi Yoon Seo Ri daripada sebarang ancaman askar dan pegawai kerajaan Korea Utara sehinggalah Yoon Seo Ri dapat pulang ke negaranya dengan selamat. Namun krisis demi krisis terjadi, Ri Jung Hyuk terpaksa merentas sempadan negaranya bagi menyelamatkan Yoon Se Ri daripada terbunuh oleh musuhnya.

Bagi yang ketinggalan, tvN Crash Landing On You boleh ditonton di saluran Netflix pada bila-bila masa saja.

Sumber: IS Plus

loading...