Peminat kecewa ditegur dengan kasar oleh Han Hye Jin ketika mengunjunginya di Melaka sebulan lalu

Model dan juga pelakon, Han Hye Jin, berhadapan kontroversi berkenaan layanannya kepada peminat yang mengunjunginya di set penggambaran.

Ketika krew-krew tvN ‘Salty Tours’ menjalani penggambaran di Lorong Mural, Melaka, Malaysia pada sebulan lalu, mereka didatangi oleh seorang peminat dari Korea yang ingin merakam kenangan indah bersama krew-krew tersebut termasuklah Han Hye Jin, yang dikaguminya selama ini.

“Aku pergi ke Melaka, Malaysia dan berjaya menemui krew ‘Salty Tour’ di lorong mural. Inilah kali pertama aku bersemuka dengan seorang selebriti yang aku kagumi secara dekat, lalu aku menggapai telefon bimbit tanpa sedari. Krew meminta aku supaya tidak memetik langsung gambar atau merakam sebarang video. Aku terus masukkan telefon itu dalam beg tangan. Krew layan aku dengan baik,” kata peminat itu seperti tertulis di dalam luahannya di dalam laman buletin khas tvN.

Sambungnya lagi, “Selepas itu, aku berdiri di depan pintu masuk sambil merenung mereka. Aku didatangi Han Hye Jin yang kemudiannya menyapa aku, ‘Nampak tak skrin bila kau tercegat kat situ? Jangan gerak langsung, kalau tak, kau akan terjatuh.’ Aku cakap balik, ‘Minta maaf, aku akan berundur dari sini.’  Sebenarnya ia bukanlah satu alasan besar. Tapi, aku pula tak selesa kerana sebagai pengembara aku tak berniat langsung nak mengganggunya, tapi aku seolah-olah telah dilayan dengan begitu pelik sekali.”

Sebilangan netizen bersimpati dengan apa yang dialami oleh peminat tersebut manakala sebilangan lain pula mendakwa dia terlalu sensitif dan layak mendapat layanan sedemikian.

Sehingga kini, Han Hye Jin belum mengeluarkan sebarang kenyataan menafikannya. Krew tvN ‘Salty Tours’ yang dianggotai oleh Cho Kyunghyun Super Junior, Han Hye Jin, dan lain-lain lagi telah berkunjung ke Melaka pada sekitar bulan Ogos lalu.

Sumber: OSEN, Korea Economic TV, maeil economy

loading...