Kim Hye Joon, Kang Hoon Dan Cha Woo Min Terajui Cinta Tiga Segi Dalam Drama Baharu “My Bias, My Boss”

Drama baharu tvN, “My Bias, My Boss”, bakal menghidangkan kisah romantik yang menggabungkan dunia korporat, industri fesyen dan kehidupan seorang peminat tegar menerusi gandingan Kim Hye Joon, Kang Hoon dan Cha Woo Min.

Diadaptasi daripada webtoon dengan judul yang sama, drama ini mengisahkan Nam Da Reum (Kim Hye Joon), seorang wanita yang berjaya mendapatkan pekerjaan di platform fesyen Apello demi merealisasikan impiannya untuk bertemu idola yang diminatinya sejak sekian lama, Lee Chan (Cha Woo Min). Namun, kehidupannya berubah apabila dia tanpa diduga menjadi semakin rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apello, Kang Ha Gi (Kang Hoon).

Kim Hye Joon Jadi Peminat Tegar Yang Mengejar Impian

Kim Hye Joon membawakan watak Nam Da Reum, seorang pekerja baharu yang sentiasa ceria dan penuh semangat. Sebagai peminat setia Lee Chan selama 12 tahun, minatnya terhadap dunia fesyen turut tercetus hasil inspirasi daripada idola kesayangannya. Demi mengejar impian sebagai pemasar fesyen, dia menyertai Apello dengan harapan dapat bekerja rapat dengan Lee Chan.

Namun, hari-hari yang diimpikannya tidak berjalan seperti yang dirancang. Sejak hari pertama bekerja, Nam Da Reum gagal bertemu Lee Chan. Sebaliknya, dia menarik perhatian CEO Apello, Kang Ha Gi, sekali gus membuka lembaran baharu yang tidak pernah dijangkakannya.

Kang Hoon Tampilkan Karisma CEO Perfeksionis

Kang Hoon pula membawakan watak Kang Ha Gi, seorang CEO muda yang membina empayar perniagaannya sendiri. Selain memiliki rupa paras menarik dan kebijaksanaan dalam menguruskan syarikat, Kang Ha Gi dikenali sebagai seorang pemimpin yang teliti sehingga digelar “Kangtail”, gabungan namanya dengan perkataan detail.

Bersama rakan baiknya, Lee Chan, Kang Ha Gi berjaya mengembangkan sebuah butik kecil menjadi platform fesyen Apello yang memberi tumpuan kepada jenama pereka baharu. Walaupun sentiasa tenang dan profesional ketika bekerja, dia sebenarnya kekok apabila berdepan dengan perasaan sendiri, terutamanya apabila mula tertarik kepada Nam Da Reum.

Cha Woo Min Serlah Sebagai Idola Dan Pelakon

Sementara itu, Cha Woo Min membawakan watak Lee Chan, ahli kumpulan idola D.N.X yang turut menempa nama sebagai pelakon. Memiliki bakat dalam nyanyian, lakonan, sukan, bermain alat muzik serta fasih dalam beberapa bahasa, Lee Chan merupakan seorang selebriti popular dengan jutaan pengikut.

Selain aktif dalam dunia hiburan, Lee Chan turut mengasaskan Apello bersama Kang Ha Gi dan kini berkhidmat sebagai pengarah fesyen syarikat tersebut. Selepas mengetahui bahawa Nam Da Reum merupakan peminat setianya sejak sekian lama, Lee Chan mula memberikan perhatian dan sokongan kepadanya, sekali gus mencetuskan hubungan yang lebih istimewa antara mereka.

Cinta Tiga Segi Jadi Tarikan Utama

Poster dan foto pegun terbaharu yang didedahkan memperlihatkan hubungan tiga watak ini yang semakin rumit. Nam Da Reum kini berada di persimpangan antara dua lelaki yang memiliki daya tarikan berbeza. Kang Ha Gi kelihatan dingin tetapi sebenarnya berhati lembut, manakala Lee Chan pula sentiasa mesra dan mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya.

Dalam masa yang sama, kedua-dua lelaki itu mula menyimpan perasaan terhadap Nam Da Reum. Kang Ha Gi semakin terpikat dengan keperibadian wanita itu walaupun sukar meluahkan isi hatinya, manakala Lee Chan pula berusaha mendekati peminat setianya dengan meluangkan masa bersama dan mencipta pelbagai kenangan istimewa.

Perubahan emosi yang jelas terpancar pada riak wajah Nam Da Reum setiap kali bersama Kang Ha Gi atau Lee Chan turut menguatkan lagi persoalan siapakah yang bakal menjadi “bias” sebenar dalam hatinya.

Selain Kim Hye Joon, Kang Hoon dan Cha Woo Min, drama ini turut dibintangi Yuna daripada ITZY, Hyunsuk daripada CIX, Baekseung daripada EPEX serta barisan pelakon lain yang bakal menghidupkan jalan cerita.

“My Bias, My Boss” dijadualkan menemui penonton pada 3 Ogos, jam 8:50 malam (KST).

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 |