Sejauh mana seseorang sanggup membayar demi merealisasikan setiap impian? Persoalan itu bakal menjadi tunjang kepada “CODE”, drama thriller jenayah misteri terbaharu yang diumumkan oleh Disney+, menampilkan Nam Joo Hyuk sebagai watak utama.
Berlatarbelakangkan Korea moden, “CODE” mengisahkan seorang peguam materialistik yang sanggup menggunakan cara haram dan jalan pintas demi mencapai kejayaan. Kehidupannya berubah apabila dia menerima jemputan untuk menggunakan aplikasi misteri bernama “Code”, yang menjanjikan setiap hasrat penggunanya akan menjadi kenyataan.
Pada mulanya, aplikasi tersebut kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan. Namun, apabila setiap impian benar-benar dipenuhi, pengguna mula menyedari bahawa setiap keinginan yang ditunaikan hadir bersama harga yang amat mengerikan.
Dalam drama ini, Nam Joo Hyuk membawakan watak Yoon Tae Joo, seorang bekas penyiasat pendakwaan yang kini bergelar peguam dan berazam untuk menjadi rakan kongsi di firma guaman terbaik negara. Demi mencapai cita-citanya, Tae Joo sanggup melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan batas moral dan etika. Selepas menerima mesej jemputan daripada aplikasi misteri “Code”, dia mula terjerumus ke dalam pusaran ketamakan yang mengubah seluruh hidupnya.
Menerusi watak ini, Nam Joo Hyuk dijangka memperlihatkan sisi lakonan yang berbeza sebagai seorang lelaki yang dipenuhi cita-cita dan keinginan untuk berada di puncak, walaupun terpaksa menggadaikan prinsipnya sendiri.
Turut membintangi drama ini ialah Lee Yi Dam sebagai Park Ji Dam, seorang pendakwa raya di Pejabat Pendakwa Raya Daerah Pusat Seoul yang berusaha membongkar kebenaran di sebalik insiden melibatkan aplikasi “Code” sambil memburu Yoon Tae Joo. Kedua-duanya mempunyai sejarah silam yang menghubungkan mereka, dan setiap pertemuan dipenuhi rasa curiga serta ketegangan, sekali gus mewujudkan dinamik hubungan yang unik.
Selain itu, Kim Eui Sung akan melakonkan watak Jo Cheol Ho, seorang pembelot dari Korea Utara yang juga merupakan penggodam. Dalam usahanya menjejaki dalang di sebalik aplikasi “Code”, Jo Cheol Ho secara tidak dijangka bekerjasama dengan Yoon Tae Joo.
Park Hoon pula memegang watak Im Chang Jae, seorang detektif veteran daripada Unit Jenayah Berat. Sebagai rakan rapat yang dianggap seperti adik-beradik oleh Yoon Tae Joo, Im Chang Jae turut memainkan peranan penting dalam membantu memburu misteri di sebalik aplikasi tersebut.

Drama ini diarahkan oleh You Sumin, pengarah di sebalik kejayaan “Weak Class Hero”, sekali gus menambah lagi keterujaan peminat yang menantikan gabungan aksi, misteri dan thriller psikologi dalam satu naskhah.
“CODE” turut menjadi antara judul terbaharu dalam barisan kandungan Korea yang bakal menghiasi Disney+. Selain drama ini, penonton juga boleh menantikan kepulangan “A Shop for Killers” Musim 2, “Made in Korea” Musim 2, serta beberapa judul lain yang dinanti-nantikan seperti “Portraits of Delusion” (judul kerja), “The Remarried Empress”, dan banyak lagi.


