Dua pelakon utama drama tersebut tampil memberi kenyataan maaf selepas timbul kritikan terhadap kandungan episod terbaru Perfect Crown.
Drama ini berlatar dunia alternatif Korea moden sebagai sebuah monarki berperlembagaan, mengisahkan perkahwinan antara Seong Hui Ju (IU), pewaris chaebol yang hidup serba mewah tetapi hanya berstatus rakyat biasa, dan Grand Prince Ian (Byeon Woo Seok), seorang putera raja yang mempunyai status diraja tetapi tidak memiliki kuasa.
Namun, episod 11 yang ditayangkan pada 15 Mei menerima kritikan kerana penggambaran yang dianggap mengelirukan, seolah-olah menggambarkan Korea sebagai negara bawahan kepada China. Antara isu yang dibangkitkan ialah penggunaan istilah “Cheonse” (seribu tahun) semasa upacara pertabalan, bukannya “Manse” (sepuluh ribu tahun) yang melambangkan negara merdeka. Selain itu, mahkota yang dipakai watak Grand Prince Ian turut dipersoalkan kerana dikatakan lebih mirip mahkota berpengaruh China berbanding simbol diraja Korea.
Pihak produksi telah mengeluarkan kenyataan maaf pada 16 Mei, mengakui kesilapan dalam aspek sensitiviti dan representasi sejarah.
Mereka turut memaklumkan bahawa kandungan yang dipertikaikan akan disemak dan diperbetulkan untuk siaran semula, VOD dan platform penstriman akan datang.
Sebelum ini, episod berkenaan turut menerima kritikan kerana penggunaan mahkota yang dianggap tidak tepat dari sudut sejarah, dengan perbezaan antara simbol pemerintah berdaulat dan sistem feudal turut dibangkitkan oleh penonton.
Dalam masa sama, kontroversi ini turut memberi kesan kepada penerbitan buku skrip drama tersebut, yang kini sedang disemak semula sebelum edisi cetakan seterusnya dikeluarkan.
Pada 18 Mei, IU dan Byeon Woo Seok turut memohon maaf secara peribadi melalui Instagram masing-masing.
IU mengakui dirinya gagal bertindak lebih bertanggungjawab sebagai pelakon utama dan menyesali kekurangan dalam memahami isu sejarah serta konteks skrip sebelum penggambaran.
Sementara itu, Byeon Woo Seok dalam surat tulisan tangan menyatakan beliau tidak cukup mempertimbangkan konteks sejarah dan penerimaan penonton, serta akan lebih berhati-hati dalam pemilihan dan pendekatan kerja selepas ini.
Kedua-duanya menzahirkan rasa terima kasih kepada penonton yang terus mengikuti drama tersebut serta menerima kritikan yang diberikan.
Walaupun menerima kritikan, Perfect Crown masih mencatat rating tinggi dengan episod 12 meraih 13.8%, tertinggi setakat ini. Drama ini juga dilaporkan menjadi antara tontonan Korea paling popular di platform penstriman global dalam tempoh 28 hari tayangan. Perfect Crown kini boleh distrim di Disney+.


