5 Sebab Kenapa The Divorce Insurance Wajib Ditonton!

Barisan pelakon dan kru The Divorce Insurance berkumpul dalam sidang media di Seoul bagi memberikan gambaran awal kepada peminat tentang drama romantik komedi yang dinantikan ini. Pengarah Lee Won-seok bersama pelakon utama Lee Dong-wook, Lee Joo-bin, Lee Kwang-soo, dan Lee Da-hee berkongsi kisah menarik mengenai konsep unik serta watak dalam drama ini.

Drama ini mengisahkan Noh Ki-jun (Lee Dong-wook), seorang pakar insurans yang telah tiga kali bercerai dan kini berusaha mencipta produk insurans perceraian. Dengan gabungan unsur komedi, detik menyentuh hati, dan perspektif segar tentang hubungan, The Divorce Insurance pastinya akan menghiburkan penonton. Drama ini bakal ditayangkan di Prime Video bermula 31 Mac di Malaysia serta lebih 240 negara dan wilayah lain.

Dengan hanya seminggu sebelum tayangan perdana, ini lima sebab kenapa anda tak boleh ketinggalan untuk menonton!

1. Fenomena ‘Lee’

Dari kiri : Lee Dong Wook, Lee Joo Bin, Lee Won Seok, Lee Da Hee, Lee Kwang Soo

Menariknya, pengarah, penulis dan barisan pelakon utama drama ini semuanya mempunyai nama keluarga ‘Lee’! Pengarah Lee Won-seok berseloroh, “Saya hanya sedar kemudian yang semua orang bernama Lee. Saya malah fikir Lee Dong-wook mungkin nama pentas – tapi rupanya tidak!”

Lee Joo-bin pula menambah, “Bahkan tajuk drama kami dalam bahasa Korea pun bermula dengan ‘Lee’!” Selain itu, dia turut berkongsi keterujaannya kerana dapat berlakon bersama barisan pelakon hebat. Lee Da-hee yang menyertai produksi sedikit lewat berkata, “Saya memang nak sangat berlakon dengan Dong-wook, Joo-bin, dan Kwang-soo.”

Fenomena ‘Lee’ ini menjadikan suasana di set lebih mesra dan penuh semangat. Tak sabar nak lihat gandingan hebat mereka dalam drama ini!

2. Kisah yang Luar Biasa Unik

Pengarah Lee Won-seok menjelaskan bahawa The Divorce Insurance membawa idea yang segar – berkisar tentang syarikat insurans yang mencipta produk insurans perceraian untuk membantu orang lain mengelakkan kesakitan yang mereka sendiri alami.

“Ia adalah dunia konsep yang unik dan berbeza sedikit daripada realiti sebenar. Drama ini mempunyai warna-warna ceria dan penceritaan yang kreatif,” kata pengarah.

Lee Da-hee pula berkata, “Pengarah memang terkenal dengan gaya yang penuh sindiran dan humor. Saya pasti sentuhannya akan terserlah dalam drama ini.”

Gabungan watak menarik dan perjalanan emosi mereka menjanjikan sebuah kisah yang tidak dapat dijangka!

3. Keserasian Pelakon yang Mengagumkan

Keserasian antara pelakon adalah elemen penting dalam drama romantik komedi – dan The Divorce Insurance benar-benar memberikan yang terbaik!

Lee Dong-wook berkata, “Dah hampir enam hingga tujuh tahun sejak saya berlakon dalam rom-com. Kali ini memang seronok sebab dapat bertukar dialog yang penuh jenaka dengan rakan pelakon.”

Lee Kwang-soo turut menambah, “Suasana di set sangat menyeronokkan. Kami banyak berbincang sebelum penggambaran dan itu sangat membantu. Semua orang terima ad-libs saya dengan baik – rasanya macam datang ke set hanya untuk berseronok!”

Lee Da-hee juga berkongsi, “Saya banyak berlakon dengan Lee Kwang-soo di awal cerita. Walaupun dah tujuh tahun tak jumpa, semuanya terasa sangat selesa. Kimia antara kami memang semula jadi.”

4. Penuh Gelak Tawa!

Walaupun drama ini berkisar tentang perceraian, ia sama sekali tidak berat atau menyedihkan. Pelakon sendiri menyatakan bahawa banyak adegan spontan dan jenaka yang akan membuatkan penonton ketawa.

Lee Joo-bin berkata, “Ada banyak ad-libs di set – sangat lucu sampai nampak macam dah dirancang!”

Lee Kwang-soo menambah, “Saya dan Lee Dong-wook asyik buat ad-libs sehingga terasa macam ada ‘drama dalam drama’!”

Lee Da-hee juga memuji rakan-rakan pelakonnya, “Mereka ni ada ajusshi series sendiri. Pertukaran ad-libs mereka memang mengagumkan.” Selain itu, pelakon lain seperti Kim Won-hae dan Chu So-jung juga memainkan watak yang mencuit hati.

5. Sarat dengan Makna Mendalam

The Divorce Insurance bukan sekadar kisah cinta dan perpisahan – ia juga tentang perjalanan mencari kebahagiaan selepas melalui pengalaman sukar.

Lee Dong-wook menjelaskan, “Drama ini menunjukkan bagaimana perkahwinan dan perceraian, pada akhirnya, adalah tentang mencari kebahagiaan.”

Lee Joo-bin pula berkata bahawa wataknya sangat dekat dengan mereka yang sedang mencari permulaan baharu.

Pengarah Lee Won-seok menambah, “Saya mahu menekankan bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran – sebaliknya, ia adalah permulaan yang baru. Saya harap penonton akan menonton drama ini dan mendapat keberanian serta inspirasi.”

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama penuh gelak tawa, romantik, dan mesej kehidupan ini! The Divorce Insurance akan ditayangkan setiap Isnin dan Selasa mulai 31 Mac, eksklusif di Prime Video.