KUALA LUMPUR, 21 Mac 2025 – Idola K-Pop Malaysia, Isaac Voo, bakal menggamatkan sambutan
Hari Raya dengan sentuhan unik dan menyeronokkan menerusi single terbarunya, ‘Raya Bounce’, yang menampilkan bintang tempatan terkini, Lucky Nerds. Lagu yang bakaldilancarkan pada 22 Mac 2025 ini menggabungkan melodi Raya tradisional dengan rentak K-Pop, serta koreografi bertenaga yang dijangka mencetuskan fenomena baru dalam industrial muzik tempatan.
Muzik video rasmi ‘Raya Bounce’, hasil produksi Hype Beat Media, akan turut ditayangkan pada hari yang sama. MV ini memaparkan aksi kelakar, drama keluarga yang huru-hara, dan perlawanan Pickleball yang epik. Penampilan istimewa daripada lagenda tempatan seperti Herman Tino, selebriti terkenal tanah air, Ms. Puiyi, pempengaruh media sosial, Muzy, serta peminat setia Isaac Voo menjadikan suasana muzik video ini lebih meriah.
Penonton akan disajikan dengan babak Isaac bekerja di kafe, dimarahi oleh “pakciknya”, Herman Tino, aksi bermain Pickleball, dan diakhiri dengan segmen tarian yang menggabungkan elemen K-Pop dan tradisional seperti Zapin. Apa yang membuatkan muzik video Raya ini benar-benar unik adalah bagaimana ia menggambarkan cara berbeza rakyat Malaysia meraikan Hari Raya.
Menurut Suzana Sukaimi, Ketua Perniagaan Domestik di WebTVAsia dan penerbit muzik video ‘Raya Bounce’:
Setiap orang ada cara tersendiri untuk menyambut Raya. Ada yang tidak mempunyai kampung untuk pulang, ada yang perlu bekerja, dan ada yang meraikannya di bandar. Namun, pada asasnya, Raya adalah tentang kegembiraan, kasih sayang, dan kebersamaan yang melangkaui sempadan tempat. Sama ada di kota yang sibuk atau di kampung yang tenang, bersama keluarga atau akan, semangat Raya tetap menyatukan kita.
Kepelbagaian budaya di Malaysia mencerminkan semangat ini, di mana setiap cara sambutan, tidak kira bagaimana ia diraikan, menyumbang kepada keindahan perpaduan yang kita kongsi Bersama. Melalui muzik video ini, kami ingin menunjukkan bahawa Raya adalah untuk semua, meraikan pengalaman unik setiap individu dalam menyambut Raya.
Tahun ini, Raya Bounce turut merealisasikan idea Isaac untuk mengumpulkan peminat nya buat pertama kali dalam penggambaran muzik video. Ia bukan sekadar meraikan Hari Raya, tetapi juga meraikan peminatnya. Isaac ingin menunjukkan rasa penghargaan yang mendalam kepada penyokongnya sepanjang berkarya. Muzik video ini menjadi tribute istimewa buat mereka. Dengan melibatkan peminat dalam proses kreatif, Isaac mengingatkan kita semua bahawa erti sebenar perayaan terletak pada hubungan yang kita bina dan rasa terima kasih yang kita tunjukkan kepada mereka yang sentiasa bersama kita.
Dengan suasana yang comel, dan menyeronokkan, ‘Raya Bounce’ dijangka akan tular di TikTok dan Instagram Reels menerusi “Raya Bounce Challenge” yang mengajak peminat dan pengguna media sosial menari atau mencipta transisi video yang menarik.
Isaac Voo turut meluahkan keterujaannya:
Projek ini adalah cara saya membawa sesuatu yang segar dalam industri muzik Malaysia. Saya mahu orang menari, ketawa, dan menikmati semangat Raya dengan cara yang baru. Walaupun tak dapat balik kampung, kita tetap boleh bergembira di mana sahaja kita berada.
‘Raya Bounce’ boleh didengarkan di semua platform penstriman pada 22 Mac 2025, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Isaac Voo. Peminat juga digalakkan untuk sertai cabaran TikTok menggunakan hashtag #RayaBounce & #RayaBounceChallenge untuk menunjukkan kreativiti mereka dengan berpakaian Baju Melayu dan Baju Kurung yang baru.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk mengetahui lebih banyak lagi info tentang Muzik Video ‘Raya Bounce’ single terbaru Isaac Voo dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Kpop.