Meskipun ‘BLACKOUT’, THE BOYZ Tetap Memukau Peminat, Mencipta Malam yang Tak Terlupakan

Kuala Lumpur – Sejak debut pada tahun 2017, THE BOYZ terus melakar kejayaan dalam industri muzik, dan langkah mereka tidak pernah terhenti. Dalam tempoh ini, mereka berjaya mencipta nama dengan pelbagai pencapaian yang mengukuhkan kerjaya muzik mereka.

Setelah berjaya melangsungkan dua siri jelajah dunia dalam tempoh dua tahun lalu, Kuala Lumpur akhirnya menjadi destinasi pilihan untuk siri jelajah ketiga mereka yang diberi nama THE BOYZ WORLD TOUR: ZENERATION II IN KUALA LUMPUR. Konsert ini telah berlangsung pada 7 September 2024 di Mega Star Arena, Sg. Wang, Kuala Lumpur.

Kehadiran kali pertama THE BOYZ di Malaysia sememangnya dinantikan oleh peminat mereka, The B (kelab peminat rasmi THE BOYZ), dengan kehadiran seramai 4,500 peminat dari Malaysia serta beberapa negara lain di Asia.

Meskipun ini adalah lawatan pertama mereka ke Malaysia, salah seorang anggota Jacob yang mengalami sakit kepala dan kecederaan leher tetap menyertai jelajah ini, meskipun tidak dapat melakukan aksi lasak. Beliau lebih banyak duduk di kerusi khas sambil menyanyi bersama anggota yang lain, menjadikan persembahan mereka tetap lengkap dan bermakna.

Dalam sesi perbualan bersama peminat, THE BOYZ menyuarakan kegembiraan mereka kerana dapat bertemu dengan peminat Malaysia buat pertama kalinya. Mereka juga berjanji untuk kembali dengan konsert yang lebih besar pada tahun hadapan. Tidak kira siapa penganjurnya, yang penting peminat pastinya mahu mereka kembali lagi.

Namun, perjalanan konsert tidak berlangsung tanpa cabaran. Sebelum konsert bermula, palang besi di kawasan “fans standing” hampir roboh akibat keterujaan peminat yang berasak-asak ke hadapan. Keadaan ini memaksa pihak keselamatan mengawal situasi dengan meminta peminat untuk berundur sedikit.

Lebih mendebarkan, ketika konsert hampir sampai ke penghujungnya, secara tiba-tiba pentas menjadi gelap-gelita. Pada mulanya, peminat dan anggota THE BOYZ menyangka ia adalah gimik atau kejutan untuk menyambut ulang tahun kelahiran Hyunjae pada 13 September. Namun, ternyata ia adalah masalah teknikal apabila penganjur memohon maaf kerana konsert terpaksa dihentikan akibat gangguan bekalan elektrik.

Kevin, salah seorang anggota, tampil untuk menenangkan peminat dan menjelaskan situasi tersebut. Walaupun bekalan elektrik kembali pulih, ia tidak sepenuhnya stabil. Anggota THE BOYZ tetap tenang dan profesional, mengatasi cabaran yang tidak dijangka ini. Kevin turut bertindak sebagai penterjemah untuk rakan-rakannya semasa sesi penutupan sebelum bekalan elektrik terputus lagi. Mereka akhirnya menyampaikan lagu terakhir, “Fire Eyes”, tanpa sesi encore seperti kebiasaan.

Meskipun insiden ini meninggalkan kesan sedih, ada momen manis yang turut dikenang. Peminat berjaya melaksanakan ‘fans light project’ yang mengisi ruang dengan lautan cahaya berkedipan berwarna merah jambu ketika lagu “Back 2 U” dipersembahkan. SunWoo turut memuji usaha tersebut, menyatakan betapa indahnya suasana itu.

Lagu-lagu popular seperti “Bite Back,” “The Stealer,” ” Thrill Ride” dan “Maverick” benar-benar memukau peminat, terutamanya ketika “D.D.D” dimainkan, menjadikan suasana lebih meriah dan membuatkan peminat bangun serta menari bersama.

Walaupun insiden “blackout” berlaku, ia terjadi di penghujung konsert, membolehkan mereka menyampaikan kesemua lagu yang dirancang. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah:

1. Diamond Life
2. Out Of Control
3. MAVERICK
4. TATTOO
5. Levitating
6. Back All Black
7. Breaking Dawn
8. Complete Me
9. Fantasize
10. Right Here
11. THRILL RIDE
12. D.D.D
13. Walkin’ in Time
14. Horizon
15. Survive the Night
16. Back 2 U
17. Hurt Me Less
18. Bite Back
19. REVEAL
20. The Stealer
21. WATCH IT
22. Nectar
23. Fire Eyes

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Selepas konsert di Kuala Lumpur, THE BOYZ akan meneruskan siri jelajah mereka di Eropah dengan persembahan di Paris pada 13 September dan London pada 15 September, sebelum kembali ke Asia untuk konsert di Osaka pada 22-23 September 2024.

Semoga janji THE BOYZ untuk kembali ke Malaysia dengan konsert yang lebih besar dapat direalisasikan tahun hadapan, dan kita berharap tiada lagi insiden yang tidak diingini berlaku. Terima kasih kepada StarPlanet atas jemputan media kepada kmaniamy.

Ikuti dan suka KMania di FacebookTwitterInstagramTikTok dan Youtube! Dapatkan berita terkini dan perkembangan menarik tentang dunia hiburan Korea secara eksklusif.