Lima Kumpulan AKB48 Berjaya Menghiburkan Lebih 2,000 Peminat di Konsert Pertama Mereka di Malaysia

Konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ~ First Cry ~ baru-baru ini  menyaksikan satu malam yang penuh dengan kegembiraan di Zepp Kuala Lumpur. Lebih daripada  2,000 peminat, termasuk dari Jepun, Thailand, dan Indonesia telah berkumpul untuk menyaksikan  persembahan memukau daripada lima kumpulan tersebut yang terdiri daripada AKB48, STU48,  Quadlips, JKT48, dan KLP48. Kesemua mereka telah memberikan persembahan yang kuar biasa dan cukup bertenaga untuk menghiburkan peminat mereka. Ramai seakan tidak puas untuk menikmati lagi persembahan 5 kumpulan AKB48 itu.

Konsert yang julung kali diadakan di Malaysia ini berjaya menawarkan pengalaman yang luar biasa  buat peminat. Sepanjang persembahan lebih daripada tiga jam itu, peminat kelihatan sangat teruja  dan menyalakan cahaya glow stick mereka sambal diiringi visual yang menarik. Bukan itu sahaja,  peminat turut bersorak dan menyanyi bersama lagu-lagu popular seperti “Catch Me Kiss Me” dan  “Overdrive” oleh Quadlips, “Ai no Omosa” dan “Kurayami” oleh STU48, “Rapsodi” dan “Fortune Cookie  Yang Mencinta” oleh JKT48, serta “Everyday, Kachuusha” dan “Koi Tsun Jatta” oleh AKB48. Apa yang lebih menarik dan mengujakan, peminat turut ikut serta menyanyikan lagu yang dipersembahkan.

KLP48, yang baru sahaja mengumumkan ahli generasi pertama mereka, memanfaatkan konsert ini  untuk membuat debut yang penuh gaya. Mereka mempersembahkan video muzik dan lagu pertama  mereka, “Heavy Rotation,” dalam bahasa Melayu, serta lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Mandarin,  dan Jepun untuk menunjukkan kepelbagaian dan bakat mereka. Dalam majlis ini, Yi Shyan diumumkan sebagai ketua kumpulan dan KLP48 Official Fan Club turut dilancarkan dengan langganan bulanan  RM30 yang memberikan akses kepada kandungan eksklusif. 

 

Sebagai penutup yang meriah, kelima-lima kumpulan naik ke pentas bersama untuk menyanyikan lagu  ikonik AKB48, “Aitakatta.” Selepas persembahan, mereka mengadakan sesi meet and greet dengan  peminat, diikuti dengan perbualan santai bersama beberapa peminat fanatik mereka. 

Konsert ini dianjurkan oleh 48 Entertainment dengan sokongan dari iMe Malaysia. 

Ikuti perkembangan terkini KLP48 dengan mengikuti @klp48_official di TikTok, @KLP48official di Instagram dan Facebook, atau layari klp48.my.

Kredit kepada Syafiq Hazmy untuk klip video persembahan Konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ~ First Cry ~

loading...