Penantian selama 11 tahun berbaloi bila Ailee berikan persembahan yang luar biasa buat peminat di Malaysia

Kuala Lumpur – Selepas 11 tahun berlalu, kerinduan peminat Ailee; Aileeans terubat apabila Ailee kembali ke Kuala Lumpur untuk konsert solonya “Ailee, I AM : HERE” yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 22 Jun 2024 yang lalu.

Konsert yang dihadiri lebih daripada 3,500 peminat termasuk dari Asia Tenggara dan Timur Tengah dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Aina Abdul yang mendendangkan tiga buah lagu iaitu “Semalam”, “Terus Hidup” (versi bahasa Korea), dan “You Are My Everything”, runut bunyi bagi siri drama televisyen “Descendants of The Sun” menghangatkan pentas serta membuatkan para peminat semakin teruja.

Tamat persembahan daripada Aina Abdul, Ailee muncul menggegarkan pentas dengan lagu rancak beliau iaitu “I Will Show You”. Aileeans mula bersorak kerana kemunculan lagu itu sebagai lagu pertama tidak dijangka sama sekali. Ailee juga mengatakan itu kali pertama beliau meletakkan lagu “I Will Show You” sebagai lagu pertama di konsertnya. Selepas “I Will Show You”, Ailee meneruskan persembahan dengan lagu-lagunya seperti “Don’t Teach Me”, “No, No No”, “Don’t Touch Me”, “Singing Got Better”, serta “Breaking Down”, lagu yang tidak pernah beliau dendangkan di mana-mana konsertnya, membuatkan Aileeans bersorak tanda terharu. Suara Ailee yang mendayu-dayu mendendangkan lagu itu sangat meruntun hati Aileeans. Ailee ternyata tidak pernah mengecewakan!

Sepanjang sesi beramah mesra dengan Aileeans, Ailee tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas sokongan Aileeans yang sanggup menunggu walaupun selepas 11 tahun berlalu. Kata Ailee, “Who else will love and wait for you for 11 years?” Ailee kelihatan sangat mesra apabila berkomunikasi dengan Aileeans. Beliau sememangnya seorang yang suka bergurau dan sangat kelakar. Ailee juga bergurau dengan mengatakan, “memandangkan saya dah kembali selepas 11 tahun, mungkin selepas ini kita perlu tunggu 12 tahun?” Yang mana ia membuatkan Aileeans menjerit tanda tidak setuju. Malah ada Aileeans yang mencadangkan Ailee mengadakan konsert selama 12 jam, ada juga mencadangkan selama 12 hari, dan ia disambut gelak ketawa oleh Ailee yang nyata terhibur mendengar keletah Aileeans. Ailee mengatakan beliau sangat suka berbual dengan Aileeans pada malam itu, kerana mereka buat beliau rasa sangat selesa, rasa seperti berbual bersama kawan.

Sebagai tanda terima kasih atas sambutan hangat Aileeans pada malam itu, Ailee mendedikasikan lagu berjudul “I Will Go To You Like First Snow”, runut bunyi bagi siri drama televisyen “Guardian: The Lonely and Great God”. Namun, Ailee menukar judulnya kepada “Malaysia, I Will One Day Come Back To You Like The First Snow” yang meraih sorakan kuat di seluruh Mega Star Arena.

@kmania.my

Teristimewa buat #Aileeans Malaysia “Breaking Down” ❤️❤️ #Ailee #AileeInKL #AileeInMY #AileeIAmHere #에일리 #LOLAsia

♬ sonido original – Kokushibo

Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu seperti “Ra Ta Ta”, “Mind Your Own Business”, “U & I”, dan “Heaven” yang menyaksikan Aileeans turut menyanyikannya bersama Ailee, justeru membuatkan suasana pada malam itu semakin rancak dan hangat. Kedengaran jelas suara Aileeans berkumandang di seluruh pelusuk Mega Star Arena.

“Heaven” merupakan lagu debut single pertama Ailee pada tahun 2012, yang membuka jalan kepadanya untuk terus berkarya dan menjadi artis Ailee. Semasa sesi sidang akhbar bersama lebih 50 pihak media tempatan dan antarabangsa, Ailee berkongsi bahawa “Heaven” merupakan lagu yang membawa makna istimewa kepadanya, dan tanpa “Heaven”, tiadalah Ailee.

Sudah lumrah, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu sememangnya tidak cukup buat Aileeans. Sebelum Ailee menamatkan persembahannya, CEO LOL Asia muncul membawa kek dan baju kebaya istimewa untuk Ailee. Ailee juga dipersembahkan dengan video ciptaan Aileeans, yang akhirnya mengundang air mata Ailee.

Mendengar vokal Ailee secara langsung sama seperti mendengar lagu-lagu Ailee versi rakaman. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ailee “menelan” cd-cd beliau kerana kualiti persembahan beliau secara langsung dan rakaman sama hebat. Seperti janji Ailee untuk kembali tanpa perlu menunggu 11 tahun lagi, Aileeans juga berjanji untuk terus menyokong penyanyi bersuara lunak dan hebat ini. Semoga Ailee akan kembali dengan konsert berskala besar pada masa akan datang.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur, LOL Asia dan para penaja kerana telah merealisasikan impian Aileeans untuk bertemu dengan Ailee.

Semoga kita akan bertemu lagi pada lain masa!

loading...