Komedi romantis “Dare to Love Me” gandingan menyegarkan Kim Myung Soo, Lee Yoo Young dan ramai lagi akan mula bersiaran 13 Mei ini

“Dare to Love Me” merupakan drama terbaru KBS yang akan memulakan tayangannya pada 13 Mei ini. Drama tersebut dibintangi oleh Kim Myung Soo, Lee Yoo Young, Bae Jong Ok, Sunwoo Jae Duk, Park Yoon Hee, Lee Myung Ho dan ramai lagi,

“Dare to Love Me” diangkat daripada webtoon “Treat Me Carelessly” yang ditulis dan diilustrasikan oleh Sun Woo yang membawakan tema komedi romantik. Ianya mengisahkan tentang kisah cinta antara Shin Yoon Bok, seorang cendekiawan abad ke-21 dari kampung Seongsan yang sangat percaya pada nilai-nilai Confucian, dan guru seninya Kim Hong Do , yang mempunyai personaliti yang melulu dan berterus terang.

Sinopsis

“Dare To Love” mengisahkan seorang cendekiawan dari Kampung Seongsan yang diamanahkan dengan tugas penting untuk memelihara warisan dinasti Joseon dan memulihkan artifak budaya yang berharga. Shin Yoon Bo (Kim Myung Soo) sangat menghormati ibu bapanya dan dengan tekun mengikuti tunjuk ajar mereka sebagai seorang sarjana Confucian terkemuka pada zamannya.

Seperti belia moden masa kini, Shin Yoon Bok juga mempunyai pemikiran yang progresif dan kadangkala menunjukkan sifat memberontaknya. Dia juga kadangkala mengalami kesukaran untuk membentuk hubungan emosi dengan orang lain.Pada suatu hari, Yoon Book memutuskan untuk meninggalkan rumahnya dan ingin mengejar impiannya menjadi penulis webtoon.

Perjalanannya berubah dengan ketara apabila dia bertemu dengan Kim Hong Do (Lee Yoo Young), seorang wanita bujang yang bekerja sebagai pekerja kontrak untuk pasukan reka bentuk sebuah syarikat pakaian bersaiz sederhana. Kim Hong Do sentiasa mendapat layanan yang tidak menyenangkan daripada rakan sekerjanya. Sebenarnya, Kim Hong Do penat dengan kehidupannya tetapi memilih untuk bertahan dan tidak berputus asa dalam mencapai impiannya untuk menjadi pereka untuk jenama fesyen mewah.

Pertemuan yang tidak dijangka antara Shin Yoon Bok dan Kim Hong Do akhirnya membibitkan kemesraan. Tetapi bagaimana Shin Yoon Bok, yang tidak mudah membuka hatinya kepada orang lain, akan mengalami perubahan selepas bertemu Kim Hong Do?

Barisan pelakon

Selain Kim Myung Soo dan Lee Yoo Young sebagai teraju utama “Dare To Love”, drama ini turut dibintangi oleh ae Jong Ok, Sunwoo Jae Duk, Park Yoon Hee dan Lee Myung Ho.

Kim Myung Soo sebagai Shin Yoon Bok

Kim Myung Soo memainkan watak Shin Yoon Bok, keturunan generasi ke-28 daripada keluarga bangsawan yang disegani. Terkenal dengan penampilannya yang menarik, sikap mulia, dan mahir dalam kedua-dua sastera dan seni mempertahankan diri, Shin Yoon Bok merangkumi nilai-nilai Confucian iaitu perikemanusiaan, kehormatan,  kepercayaan, kerajinan, budi bahasa dan kebijaksanaan. Selain daripada aura halusnya yang mengingatkan kita kepada seorang cendekiawan tradisional Joseon, Shin Yoon Bok juga mahir dalam budaya MZ (Milenium dan Generasi Z), selaras dengan gaya hidup seseorang yang hidup pada abad ke-21.

Gambar pegun yang baru dikeluarkan menawarkan gambaran tentang kemahiran seni mempertahankan diri Shin Yoon Bok dan ketangkasannya yang luar biasa.

Saya ada banyak peluang untuk melakukan adegan aksi sepanjang kerjaya lakonan saya. [Pengalaman] itu banyak membantu saya dalam penggambaran drama ini. Akan ada banyak aksi dalam pelbagai situasi, jadi sila tunggu untuk melihat adegan aksi hebat Shin Yoon Bok.

– Kim Myung Soo

Lee Yoo Young sebagai Kim Hong Do

Ia adalah drama dan watak komik yang paling comel daripada mana-mana projek saya sehingga kini, dan skripnya sangat menyeronokkan. Saya mendapati ianya mengujakan tentang bagaimana Kim Hong Do kekal ceria dan berani walaupun di tengah-tengah situasi yang berlaku kerana pertembungan antara Confucian dan nilai-nilai moden, itulah sebabnya saya memutuskan untuk menyertai drama itu.

Saya mahu menjadikan Kim Hong Do watak yang boleh dikaitkan dengan memberi tumpuan kepada semangat dan keberaniannya sepanjang dia mengejar impiannya, serta menggambarkan perjuangannya yang realistik dengan cara yang seimbang. [Apabila ditanya mengenai pendekatan wataknya]

Highlight drama ini ialah betapa berbezanya Shin Yoon Bok dan Kim Hong Do, serta situasi yang menyeronokkan dan keserasian comel yang terungkap dalam hubungan mereka. Tolong berikan lebih perhatian, minat dan kasih sayang kepada ‘Dare to Love Me’.

– Lee Yoo Young

Bae Jong Ok sebagai  Jang Camillie

Pelakon veteran Bae Jong Ok memegang watak Jang Camillie, Ketua Pegawai Eksekutif dan pereka terkenal jenama fesyen mewah yang digemari di seluruh dunia. Karisma, keanggunan dan kejujurannya yang mengagumkan menentukan ciri-cirinya yang kuat dan unik.

Sunwoo Jae Duk sebagai Shin Soo Geum

Sunwoo Jae Duk, yang menggambarkan datuk Shin Yoon Bok, Shin Soo Geun, mempamerkan wataknya yang tersendiri melalui pakaiannya yang luar biasa. Mengenakan Durumagi putih (pakaian baju labuh tradisional Korea), dia mengeluarkan aura seorang yang berhati mulia dan bermaruah. Shin Soo Geun mempunyai perwatakan yang degil dan tegas, bertekad untuk melindungi dan memelihara Kampung Seongsan sebagai ketuanya, dengan mengerahkan segala usaha untuk berbuat demikian.

Park Yoon Hee sebagai Lee Beom Gyo

Park Yoon Hee memegang watak Lee Beom Gyo, seorang pekerja pejabat yang rajin dan ikhlas. Dia mendedikasikan hidupanya selama bertahun-tahun kepada Pentadbiran Warisan Budaya sebagai ketuanya. Selepas menjalinkan hubungan rapat dengan Shin Yoon Bok dan Shin Soo Geun semasa menjejaki pencuri warisan budaya, dia juga menjalinkan hubungan dengan pereka terkenal dunia Camille selepas kegilaan meluas dalam K-culture.

Lee Myung Ho sebagai Franky Leroux

Lee Myung Ho pula sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Camille, Franky Leroux, merangkap rakan kongsi utama. Sebagai seorang tokoh terkemuka dalam industri fesyen, dia menjadi terkenal kerana penelitiannya yang begitu mendalam terhadap setiap pakaian dan aksesori.

Poster dan gambar pegun

Dalam poster yang baru dikeluarkan, Shin Yoon Bok memakai kot tradisional Korea di atas pakaian modennya, dengan gat (topi tradisional Korea) di kepalanya. Sementara itu, Kim Hong Do memegang hujung kot Yoon Bok dengan kuat sehingga pakaian itu hampir terlepas dari bahunya.

Gambar pegun yang pertama ini merakamkan pertemuan antara Shin Yoon Bok dan Kim Hong Do semasa mereka bertentang mata. Dalam imej ini, Shin Yoon Bok kelihatan lebih muda daripada masa kini, dengan rambutnya yang terurai dan memakai cermin mata, membayangkan bahawa hubungan mereka menjejak kembali ke zaman dahulu.

Gambar pegun kedua menggambarkan Shin Yoon Bok dan Kim Hong Do duduk dalam khemah makanan dengan membelakangi satu sama lain, mencetuskan rasa ingin tahu dan tawa di kalangan penonton. Walaupun pertemuan semula mereka selepas sekian lama, mereka mengekalkan jarak yang janggal berikutan arahan Shin Yoon Bok. Ketaksuban Shin Yoon Bok terhadap kesopanan dan penghormatan Kim Hong Do terhadap adab-adabnya dijangka akan menimbulkan keserasian yang unik di antara mereka.

Namun, hubungan percintaan mereka tidak selalu berjalan lancar. Walaupun Shin Yoon Bok bersetuju dengan semua yang Kim Hong Do katakan dan mengambil berat tentangnya, dia dengan tegas enggan menyatakan perasaannya, membuatkan penonton ingin tahu sebab di sebalik keputusannya. Kisah cinta mereka menjanjikan perjalanan yang penuh liku-liku, memandangkan perbezaan yang ketara antara kepatuhan Shin Yoon Book terhadap nilai-nilai Confucian dan keperibadian Kim Hong Do.

Tayangan “Dare to Love Me” dan Trailer Rasmi

Drama ini akan ditayangkan menerusi rangkaian KBS pada 13 Mei ini. “Dare to Love Me” juga akan turut disiarkan menerusi platform Netflix pada hari yang sama. Jadi jangan lupa untuk tonton drama yang cukup menarik ini.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 |