Yoo Yeon Seok dan Chae Soo Bin sah terajui drama terbaru MBC

Nampaknya Yoo Yeon Seok dan Chae Soo Bin telah disahkan menerajui drama terbaru MBC “The Number You Have Dialed” (tajuk kerja) sebagai pasangan suami isteri. Drama ini membawakan genre thriller, romantik dan penuh drama.

‘The Number You Have Dialed’ merupakan adaptasi daripada novel web karya Geoneo Mulyeo yang mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang berkahwin kerana dijodohkan dan tidak berbual antara satu sama lain selama tiga tahun. Setelah menerima panggilan telefon yang tidak dikenali mengugut mereka, segalanya mula berubah.

Yoo Yeon Seok akan memainkan watak Baek Sa Eon, jurucakap termuda di Rumah Biru dan ahli politik muda yang menjanjikan. Sebagai bekas penyampai berita dengan kerjaya terkemuka, dia mempunyai segala-galanya daripada latar belakang keluarga elit hingga ke paras rupa dan kebolehan. Bagaimanapun, hidupnya berubah di luar jangkaan apabila menerima panggilan telefon yang memaklumkan isterinya telah diculik.

Chae Soo Bin akan memegang watak sebagai isteri Baek Sa Eon, Hong Hee Joo, seorang jurubahasa isyarat yang mengalami afasia selepas berdepan dengan insiden besar pada zaman kanak-kanaknya. Pada suatu hari, Hee Joo diculik oleh orang yang tidak dikenali. Kejadian ini segera mengubah kehidupan perkahwinannya.

“The Number You Have Dialed” dijadualkan disiarkan di MBC bagi mengisi slot drama Jumaat-Sabtu. Nantikan lebih banyak kemas kini!

Sumber : 1

Foto dikreditkan seperti yang tertera

loading...