Penerbit terkenal generasi ke-2 Kpop, Shinsadong Tiger meninggal dunia

Penerbit Shinsadong Tiger telah meninggal dunia pada usia 40 tahun.

Pada 23 Februari, TR Entertainment mengesahkan berita sedih kematian Shinsadong Tiger. Agensi itu menyatakan, “Memandangkan berita ini datang secara tiba-tiba, kami sedang mengesahkan butiran khusus. Setelah kami menyelesaikan segala-galanya, kami akan memberikan maklumat mengenai urusan pengebumian dan butiran lain.”

Berita pemergian Shinsadong Tiger atau nama sebenarnya Lee Ho Yang menyelubungi dunia hiburan Korea Selatan selepas salah seorang penerbit muzik terkenal itu disahkan meninggal dunia.

Susulan berita itu, TRI.BE, kumpulan gadis yang dihasilkannya mengumumkan terpaksa menunda kesemua aktiviti mereka. Kenyataan mereka berbunyi, “Kami dukacita untuk memaklumkan kepada anda bahawa promosi kemunculan semula ‘Diamond’ yang dijadualkan pada minggu ini telah dibatalkan dan ditangguhkan. Maklumat tambahan mengenai jadual akan diberikan kemudian. Butiran tentang acara peminat seperti sesi tandatangan peminat juga akan diumumkan secara berasingan pada masa akan datang. Kami memohon maaf kepada peminat dan minta jasa baik anda untuk memahaminya.”

Shinsadong Tiger adalah penerbit dan komposer hit yang mana lagu-lagunya sudah tidak asing lagi di telinga peminat K-Pop generasi kedua. Hampir semua lagu terkenal T-Ara adalah karya beliau. Lagu EXID yang cukup popular bertajuk :Up & Down” juga adalah hasil karya pemuzik tersebut.

Dilahirkan pada 3 Jun 1983, Shinsadong Tiger telah menerima banyak anugerah muzik berprestij sepanjang kerjayanya.Pada tahun 2010, beliau memenangi ‘Penerbit Generasi Baharu’ di Korean Culture Entertainment Awards.

Sebagai tambahan, artis daripada Cube Entertainment ketika itu seperti 4Minute dan BEAST mempunyai hubungan rapat dengan komposer ini. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ‘For Muzik’ oleh 4Minute, termasuk ‘Hot Issue’ yang popular, adalah karya beliau bersama Lee Chae Kyu. Manakala lagu ‘Bad Girl’ dari album ‘BEAST is the B2ST’, sehingga lagu ‘Fiction’ dari album  ‘Fact & Fiction’ juga merupakan hasil kerjasama Shinsadong Tiger.

Shinsadong Tiger juga merupakan orang kuat di sebalik kejayaan lagu “Roly-Poly” T-ara, ‘My My’, ‘NoNoNo’, dan ‘Luv’ dari Apink. Kemudian diikuti dengan kejayaan lagu hit “Up & Down” dan “DDD” EXID, serta “BBoom BBoom” milik Momoland.

Kami mengucapkan takziah kepada seisi keluarga dan rakan Shinsadong Tiger.

Sumber : 1 | 2

loading...