Kris Wu akhirnya dipenjara 13 tahun atas jenayah rogol

Pelakon dan penyanyi Kris Wu atau nama sebenarnya Li Jiaheng dijatuhi hukuman 13 tahun penjara oleh makhamah Daerah Chaoyang, Beijing pada Jumaat, 25 November dan menjadi salah seorang individu paling terkenal di negara itu yang akan dihukum untuk dakwaan #MeToo.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang di Beijing berkata Kris Wu disabitkan bersalah kerana mengambil kesempatan ke atas tiga wanita mabuk dan melakukan hubungan seks secara paksa dengan mereka di rumahnya pada 2020. Dia juga didapati bersalah kerana “mengumpulkan orang ramai untuk terlibat dalam aktiviti seksual pada tahun 2018 yang melibatkan dua wanita dan alkohol,” kata mahkamah.

Bekas ahli EXO itu didapati bersalah atas dua kesalahan iaitu melakukan jenayah rogol dan mengumpulkan beberapa individu lain melakukan aktiviti seksual. Untuk kesalahan jenayah rogol, Kris dihukum penjara selama 11 tahun enam bulan, manakala 22 bulan atas hukuman mengumpulkan orang untuk aktiviti seksual.

Kris Wu, yang dikenali di China sebagai Wu Yifan, adalah seorang superstar dengan berpuluh juta pengikut di media sosial. Dilahirkan di China dan dibesarkan sebahagiannya di Kanada, dia menjadi terkenal sebagai ahli kumpulan pop Korea EXO sebelum memulakan kerjaya solo yang berjaya sebagai model, penyanyi dan pelakon. Dia mempunyai tawaran sokongan dengan lebih daripada sedozen jenama tempatan dan antarabangsa yang terkemuka, termasuk Bulgari, Louis Vuitton dan Porsche.

Kris Wu ditahan polis Chaoyang pada 31 Julai tahun lalu selepas didakwa memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks. Kes itu mendapat perhatian seluruh dunia selepas seorang wanita dikenali sebagai Du Meizhu membongkarkan perbuatan terkutuk Kris. Menurut Du Meizhu, Kris memperdaya ramai wanita dan gadis bawah umur 18 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan untuk merekrut pelakon.

Selepas kes tersebut menjadi perhatian, beberapa jenama besar menamatkan kontrak bersama penyanyi itu. Selain kes jenayah rogol, Kris juga didenda sebanyak 600 juta yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak dari membayar cukai menurut Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri.

Dalam pada itu, Du Meizhu memuat naik diplatform Weibo yang popular di China dengan tulisan, “Hari ini akhirnya tiba,” selepas hukuman penjara diumumkan. “Saya sangat berterima kasih dengan sistem perundangan China yang tidak melepaskan mana-mana penjenayah, walaupun dia seorang bintang besar,” tambahnya kemudian.

Saluran propaganda Parti Komunis yang memerintah China juga memuji penahanan itu sebagai pengajaran kepada selebriti bahawa kemasyhuran tidak akan melindungi mereka daripada keadilan.

Difahamkan, dalam satu kenyataan, Kris Wu dijangka akan dihantar pulang meskipun peguam di China berkata pengusiran biasanya berlaku selepas defendan menjalani hukuman mereka. Dalam pada itu, pegawai dari kedutaan Kanada di China turut menghadiri sesi perbicaraan hukuman itu. Namun tiada lagi sebarang kenyataan direkodkan dari pihak kedutaan Kanada di China itu.

Populariti Kris Wu semakin merudum sejak terkait skandal rogol ini. Bahkan banyak video-videonya telah dipadam sepenuhnya. Inikan pula selepas dijatuhkan hukuman, pasti kerjayanya dihujung tanduk ataupun terkubur begitu saja.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4

loading...