Mengejutkan, WJSN (Cosmic Girls) diangkat sebagai juara Mnet Queendom musim ke-2!

Selepas berminggu-minggu bersaing untuk Mnet Queendom 2, akhirnya WJSN diangkat sebagai juara keseluruhan program realiti survival itu.

Dengan kemenangan tersebut, WJSN mengekori pencapaian yang pernah dibuat oleh MAMAMOO untuk musim pertama sebelum ini.

WJSN memilih lagu ‘AURA’ untuk dinyanyikan di peringkat akhir pertandingan tersebut. “‘Aura’ ialah sebuah lagu membawa mesej bahawa WJSN mampu menempuhi hidup kesukaran dengan baik sekali walaupun wujudnya tangisan, namun masa silam itu juga menjadi diri WJSN yang sebenar sekarang,” kata Exy, ketua kumpulan kpop tersebut.

Namun, tuah lagu tersebut membuahkan hasil apabila ia sekaligus meletakkan markah mereka jauh di hadapan pesaing-pesaing lain dan hanya di belakang LOONA saja apabila dipersembahkan buat pertama kali. Markah juri dan penonton seterusnya telah membantu WJSN diangkat sebagai juara keseluruhan mengatasi LOONA, VIVIZ, Hyolyn, Kep1er dan Brave Girls.

Sebaik menerima trofi kemenangan tersebut, WJSN menangis di atas pentas sambil berkata, “Kemenangan ini betul-betul menunjukkan apa yang kami buat tidaklah sia-sia. Kami akan menjadi angkasanita yang lebih baik kelak. Terima kasih kepada penonton yang bersimpati dengan cabaran dan keghairahan ditunjukkan oleh artis-artis seperti kami ini,” kata Exy.

Pengiktirafan WJSN sebagai juara bolehlah dikira agak mengejutkan memandangkan mereka bermula agak perlahan apabila tumpas di tangan Hyolyn untuk juara mingguan pertama dan ketiga. Mereka bangkit semula di minggu ketujuh apabila meraih juara mingguan bersama-sama Brave Girl. Akhirnya, kemenangan tersebut menjadi pasti apabila mereka memperolehi mata yang agak banyak untuk persembahan lagu ‘Aura’ tersebut.

WJSN yang mula ‘debut’ pada tahun 2016 ini dikenali dengan lagu-lagu hebat seperti ‘Touch You’, ‘Please,’ dan ‘As You Wish’.  Kali terakhir WJSN mengeluarkan album pada Mac 2021 lalu menerusi Unnatural dengan lagu judul sama dijadikan single utama. Manakala lagu ‘Let Me In’ pula merupakan lagu terkini yang pernah dilancarkan oleh mereka pada Sept 2021 lalu. Dengan ketidakhadiran tiga orang ahli berbangsa China iaitu Chengxiao, Xuanyi, dan Mei Qi, WJSN versi Queendom 2 ini hanya disertai oleh SeolA, Bona, EXY, Soobin, Luda, Dawon, Eunseo, Yeoreum, Dayoung dan Yeonjung.

Sumber: joins

loading...