Rela pergi awal demi Day6, Dowoon jalani khidmat ketenteraan hari ini

Dowoon bakal menjalani khidmat ketenteraan bermula hari ini, 17 Jan 2022.

Pemain drum merangkap ahli termuda daripada Day6 itu sudah pun melepasi ujian kemasukan ke dalam bahagian kugiran ketenteraan dan akan melakukan latihan asas sebelum direkruit ke pasukan kugiran ketenteraan tak lama nanti. Penyertaan di dalam kugiran ketenteraan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakannya di dalam VLive bersama peminat pada tempoh hari.

“Menunaikan tanggungjawab bagi mempertahankan negara adalah sesuatu yang menggembirakan, tapi juga sedih pada waktu sama….Disebabkan hari ini aktiviti terakhirku bersama kalian, aku ingat bagitahu sekarang adalah terbaik,” ujar Dowoon pada 28 Disember 2021 lalu.

Menurut Wonpil, pemergian Dowoon yang lebih awal bagi menunaikan khidmat ketenteraan adalah dibuat di atas kerelaannya sendiri untuk memendekkan tempoh ‘rehat’ aktiviti seni Day6 itu selebih-lebihnya sehingga dua tahun akan datang.

Dowoon menjadi ahli ketiga Day6 yang bakal menjalani khidmat ketenteraan selepas Sungjin (8 Mac 2021) dan Young K (12 Oktober 2021), manakala Jae Park yang bukan warganegara Korea pula telah pun dikeluarkan daripada Day6 apabila kontraknya ditamatkan oleh JYP pada 1 Jan 2022 lalu. Wonpil dijangka akan dipanggil untuk berkhidmat pada tahun 2022 ini juga selepas mengeluarkan album solonya nanti.

Sumber: newsen

loading...