Netizen Korea melaksanakan petisyen bagi menyelamatkan Yoon Jung Hee yang dikatakan tersadai keseorangan di Perancis, menghadapi penyakit nyanyuk dan kencing manis keseorangan tanpa suami dan anaknya di sisi.
Petisyen itu dinamakan sebagai, “Selamatkan aktress bergred A yang semakin meninggal dunia perlahan-lahan selepas terputus hubungan dengan dunia luar” ditujukan buat Yoon Jung Hee, antara pelakon wanita paling berbakat dan gemilang pernah dihasilkan oleh Korea. Kali terakhir beliau berlakon adalah menerusi filem Poetry sebagai pesakit nyanyuk di mana beliau menggapai anugerah Best Actress di Grandbell dan Blue Dragon Awards.
“Yoon Jung Hee kini tinggal keseorangan di apartment luar bandar Paris, dan sedang bergelut dengan penyakit nyanyuk dan kencing manis. Beliau diabaikan oleh keluarga terdekatnya termasuklah suami dan anaknya, akhirnya tinggal keseorangan di dalam rumah seperti penjara kerana tidak boleh keluar. Adik-beradiknya cuba hubungi beliau sebanyak 30 kali dan hanya 1 panggilan saja dibenarkan sekali di dalam sebulan,” kata pempetisyen tersebut.
Yoon Jung Hee berkahwin dengan pemain piano terkenal, Paik Kun-Woo pada tahun 1974 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini bekerja sebagai pemain violin. Suami Yoon Jung Hee dikatakan telah ‘berpisah’ dengannya sejak dua tahun lalu dan didakwa oleh pempetisyen itu mengabaikannya di pusat jagaan orang tua. “Simptom penyakit nyanyuknya semakin menjadi-jadi,” kata Paik Kun-Woo yang ketika itu pasrah dengan keadaannya di dalam satu temuduga pada November 2019.
Sumber: sport chosun