SBS mengesahkan akan mengeluarkan Bae Sung Woo, yakni pelakon utama SBS Delayed Justice serta-merta berkuatkuasa hari ini.
Dengan berbaki empat episod yang bakal ditayangkan, SBS akan menyunting adegan-adegan yang melibatkan Bae Sung Woo di dalam episod ke-16 manakala episod 17 dan seterusnya dikehendaki menjalani penggambaran semula. Drama juga bakal digantung tayangannya selama 3 minggu.
“Selepas dikejutkan berita Bae Sung Woo ditahan memandu dalam keadaan mabuk, pihak produksi berbincang tentang penglibatan aktor itu. Keputusannya penyingkiran Bae Sung Woo tidak dapat dielakkan. Kami terpaksa berbuat demikian setelah mempertimbangkan desakan daripada penonton serta para krew terbabit yang bakal menderita jika tiada tindakan dibuat. Kami memohon maaf di atas ketidakselesaan ini,” sebut jurucakap produksi SBS dalam satu kenyataan.
Bae Sung Woo ditahan oleh polis sekitar November lalu di atas dakwaan melanggar undang-undang jalan raya setelah mendapati kandungan alkohol di dalam darahnya sudah cukup untuk membolehkan lesen memandunya dibatalkan. Bae Sung Woo didapati telah memandu dalam keadaan mabuk di Sinsa-dong, Gangnam, Seoul selepas keluar minum bersama kawannya.
Bae Sung Woo semalam telah pun membuat permohonan maaf dengan menyatakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengaku salah dan tiada alasan untuk mengelakkan diri. Desakan daripada netizen kemudian menyebabkan pihak produksi SBS membuat keputusan yang tidak dielakkan hari ini.
Sumber: donga