Ahn Hyo Seop, Kim Yoo Jung, Gong Myung dan Kwak Si Yang akan membintangi drama sageuk terbitan SBS terbaru berjudul ‘Hong Chun Gi’. Ahn Hyo Seop dan Kim Yoo Jung sudah pun mengesahkan penglibatan mereka manakala Gong Myung dan Kwak Si Yang masih mempertimbangkan tawaran lakonan diberikan pada mereka.
SBS Hong Chun Gi diadaptasikan daripada naskah dengan judul sama oleh novelis popular, Jung Eun Gwol yang terkenal dengan nukilan-nukilan seperti ‘Sunkyunkwan Scandal’ dan ‘Moon Embraces The Sun’. Kedua-duanya berjaya diadaptasikan di dalam bentuk drama dan menjadi antara drama korea bergenre sageuk paling popular sepanjang zaman.
SBS Hong Chun Gi adalah sebuah drama romantik, berkisarkan tentang percintaan yang terjalin di antara satu-satunya pelukis perempuan di zaman Joseon, Hong Chun Ji dengan seorang ahli nujum bintang yang buta, Ha Ram yang berjaya menyelesaikan takdir buruknya. Ahn Hyo Seop akan memegang watak sebagai Ha Ram manakala Kim Yoo Jung pula sebagai Hong Chun Ji di dalam drama ini. Ia bakal menyaksikan Kim Yoo Jung berlakon di dalam drama sageuk sekali lagi yang sememangnya sudah menjadi watak fortenya sejak dulu terutamanya menerusi drama MBC Moon Embraces The Sun bersama Yeo Jin Gu dan KBS Love In The Moonlight bersama Park Bo Gum.
Gong Myung bakal membawakan watak sebagai putera raja Joseon bernama Lee Yul yang agak romantis dan berfikiran terbuka, tetapi sebenarnya berhadapan jalan yang sukar untuk berjaya manakala Kwak Shi Yang pula sebagai putera raja kejam Suyang yang cuba meyakinkan Ha Ram bahawa dia ialah pemegang takhta Joseon seterusnya. Turut membintangi drama ialah pelakon Ko Gyu Pil sebagai sida-sida istana yang berkorban apa saja untuk tuannya, putera Lee Yul.
SBS Hong Chun Gi bakal mendapat arahan PD tersohor, Jang Tae Yoo (“SBS Hyena”,”SBS My Loves From The Star”,”SBS War of Money”,”SBS Painter of Wind”) dan khidmat penulis skrip Ha Eun. Ia dirancang penayangannya menjelang pertengahan tahun 2021 hadapan.