10 Insiden Menggerunkan Pernah Menimpa Idol Korea & Sebahagiannya Hampir Meragut Nyawa Mereka

Image may contain: 1 person, dancing and on stage

TMI News menyertakan sepuluh insiden mengejutkan pernah menimpa idol Korea dan hampir-hampir meragut nyawa mereka. Mari kita lihat senarai-senarainya.

10.  Leeteuk Super Junior disamun di Switzerland sehingga tinggal sehelai sepinggang

Leeteuk dijadualkan ke Switzerland untuk menjalani penggambaran rancangan realiti tv “Delivery” sehari sebelum perjumpaan bersama peminat di sana pada 25 Jun 2017.

Namun, kejadian tidak disangka-sangka berlaku kepadanya apabila kesemua barangan peribadinya telah disamun menyebabkan penyanyi itu terkandas tinggal sehelai sepinggang. LeeTeuk berkongsikan gambar kereta sewanya pecah dengan kapsyen berbunyi menyedihkan, “Aku kena balik sekarang….telefon staf kena curi dan passport semua hilang. Susah nak jalani penggambaran selepas ini.”

Lee Teuk kemudiannya melaporkan kepada pejabat kedutaan dan diberikan passport sementara, tetapi  terpaksa membatalkan kemunculannya di dalam “Delivery” dengan digantikan oleh Minho SHINee.

Dalam kejadian serupa, Yoon Doo Joon Hightlight/BEAST juga pernah hampir-hampir disamun oleh seseorang di Eropah sebelum rakannya, Noh Hoo Chul cepat-cepat menepis tangan orang itu daripada mengambil telefon bimbit miliknya.

9. Akaun sosial Jihyo TWICE digodam seseorang sehingga menyebabkan ibunya hampir-hampir menjadi mangsa penipuan ribuan ringgit

Pada 9 November 2018, Jihyo memaklumkan seorang penggodam akaun Naver-nya hampir berjaya melaksanakan operasi penipuan ke atas ibunya.

Penggodam menghantar mesej kepada ibu Jihyo, “Mak, boleh tak nak minta tolong? Boleh tak mak bagi abang pengurus sebanyak 5,000,000 won sekarang juga? Mak…Cepatlah sikit.” Sambil mendedahkan keratan mesej penggodam tersebut, Jihyo sempat memberikan amaran kepada para penggodam supaya jangan sesekali menyamar dirinya untuk mengugut keluarganya.

Dalam kejadian serupa, seseorang pernah menyamar sebagai Luna f(x) dan berjaya menipu ibunya sebanyak 17.7 juta won. Luna melahirkan rasa terkilannya di dalam lagu “Crying” selepas itu.

8. Telinga Jin BTS terdedah kepada bahaya setelah terkena percikan mercun di atas pentas

Ketika membuat persembahan lagu “Blood, Sweat and Tears” di One Asia Festival, Busan, Jin BTS dilihat menekan-nekan telinganya seakan-akan sedang sakit akibat disambar api percikan mercun. Seorang saksi mendakwa telinga Jin kemerah-merahan meskipun kejadian tersebut tak dilaporkan oleh BigHit kemudian. Malah, sebaik saja konsert berakhir, mata Jin dikatakan telah disambar oleh bunga api lantas menyebabkan Jungkook cepat-cepat membasuh matanya dengan air.

Kwon Hyun Bin (VIINI), rakan baik Jin BTS, mendedahkan dirinya turut terkejut apabila diberitahu konsert tersebut telah dibekalkan lebih banyak mercun bunga api lebih daripada kelaziman.

7. Park Hyun Bin terselamat daripada dibadai ombak tsunami Tohoku

Sehari selepas Park Hyun Bin membuat persembahan di Enka Festival pada sekitar Mac 2011, lokasi berdekatan telah dibadai ombak tsunami Tohoku. Jika penyanyi itu melambat-lambatkan tempoh masa berada di sana, beliau mungkin akan menjadi salah seorang mangsa bencana tersebut.

Namun, malang tak berbau berlaku kemudian pada tahun 2016 apabila kereta dinaiki oleh Park Hyun Bin dilanggar teruk sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan. “Aku ingat aku tak dapat jumpa kau lagi. Aku ingat aku akan mati. Ia betul-betul menyakitkan,” katanya.

6. Ravi VIXX pitam di Mexico kerana kesesakan nafas

Ravi VIXX pitam ketika melakukan persembahan di Mexico sehingga video kejadian itu tertular di kalangan peminat.

Peminat difahamkan penyanyi tersebut mengalami hiperventilasi (sindrom kesesakan nafas akibat menghembus melebihi kadar menyedut) barangkali disebabkan geografi kawasan tersebut yang berada di kawasan pergunungan selain pengaliran udara yang teruk dengan bilangan kehadiran melebihi kapasiti sedia ada.

Ravi tetap meneruskan persembahan walaupun mengadu sakit kepala sehingga dia jatuh pengsan kemudiannya. Selain Ravi, Leo turut pitam seperti dilaporkan oleh agensi mereka kemudian.

5. Taeyeon hampir-hampir diculik oleh peminat sasaeng & terjatuh akibat ditolak oleh peminat

Taeyeon SNSD sering menjadi rebutan ke mana saja penyanyi itu pergi. Malah, penyanyi itu juga pernah memegang status selebriti Korea paling ramai diikuti oleh peminat di instagram suatu ketika dulu.

Pada tahun 2011 ketika membuat persembahan Run Devil Run, Taeyeon hampir-hampir dicekup oleh peminat sasaeng ketika berada di atas pentas namun dia cepat-cepat ditarik oleh Sunny dan MC Lotte World Ice Rink, Oh Jung Tae berada di berhampiran.

Taeyeon sekali lagi hampir terjatuh pada tahun 2017 apabila ditolak oleh ribuan peminat yang bersesak-sesak mahu menemuinya secara dekat di Lapangan Terbang Jakarta.

Baca lagi: Fans negara seberang histeria sehingga mencederakan Taeyeon SNSD

4. Sedikit lagi rentung, Kyuhyun Super Junior terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran di Taipei

Tindakan Kyuhyun Super Junior tidak menyelamatkan diri ketika kebakaran menghinggap hotel diinapinya di Taipei, Taiwan telah mengundang ketakutan kepada peminat. Pada waktu kejadian, kebakaran telah pun menguasai di tingkat bawah bangunan dan Kyuhyun diberitahu untuk kekal duduk di biliknya bagi mengelakkan dirinya terdedah bahaya menyedut asap kebakaran sewaktu sedang sibuk bekejar-kejar menyelamatkan diri.

Api berjaya dipadamkan dan Kyuhyun akhirnya terselamat. Selepas kejadian berikut, peminat mula menyalahkan staf berhampiran dengannya kerana tidak cakna dengan hal-hal genting diambil ketika berada di dalam kecemasan, namun Kyuhyun mempertahankan keputusan diambilnya ketika itu adalah betul memandangkan mereka telah terlepas masa kritikal yang dibenarkan untuk menyelamatkan diri.

3. Malang menimpa Son Ho Young G.O.D kerana asyik terbabit dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya

G.O.D ditimpa nasib malang apabila berhadapan kemalangan kereta pada tahun 2000 dengan Son Ho Young mengalami kecederaan paling teruk sekali di bahagian hidung dan lututnya. Son Ho Young mengaku terpaksa bergantung ubat tahan sakit sejak daripada itu.

Dalam kejadian berbeza, Son Ho Young juga pernah hampir-hampir mati akibat cubaan membunuh diri pada tahun 2013 susulan kematian teman wanitanya beberapa hari sebelum itu. Son Ho Young sengaja membiarkan dirinya keracunan di dalam kereta menyedut gas arang, namun api kebakaran tercetus kemudian membuatkannya berubah fikiran lantas terus menyelamatkan diri.

2. Sandara Park 2NE1 trauma ditinggalkan keseorangan ketika gempa bumi melanda hotel didudukinya

Sandara Park pernah ditinggalkan keseorangan sekejap di tingkat 34 hotel yang didudukinya ketika gempa bumi melanda pada tahun 2011. Malah, gempa bumi tersebut telah menggegarkan struktur bangunan hotel menyebabkan Sandara Park panik dan cuba menghubungi sesiapa saja dengan berbekalkan telefon bimbit yang ada di sisinya.

Nasibnya agak baik apabila CL menerima panggilannya. “Jangan risau, aku akan ambil kau. Jangan sesekali guna lif, duduk diam di sana,” tegas CL meyakinkan Sandara Park supaya tidak berbuat perkara di luar jangkauan pemikirannya. CL akhirnya berjaya menemani Sandara Park turun ke lobi hotel.

Sandara Park mengingati kembali kejadian berikut dalam satu temuduga diadakan selepas 2NE1 dibubarkan. CL mendedahkan dia terpaksa memberanikan diri menyelamatkan Sandara Park walaupun menyedari dirinya dalam bahaya. “Aku ingat kita akan mati bersama,” katanya kepada Sandara Park.

Peristiwa itu menyebabkan Sandara Park trauma selama hampir setahun apabila mahu meneguk air minuman, tetapi berjaya hadapinya atas sokongan daripada kawan-kawan.

1. Moon Hee Jun H.O.T hampir-hampir kelumpuhan akibat terjatuh ke bawah pentas yang tingginya 3m

Ketika mengadakan persembahan konsert Stadium Jamsilju sempena promosi album keempat mereka pada tahun 1999, hujan turun mencurah-curah mendorong penerbit SM Entertainment ketika itu, Lee Soo Man mengarahkannya turun pentas dengan segera. Namun, Moon Hee Jun tetap berdegil dan mahu menyanyikan satu lagu baru daripada H.O.T sebelum berbuat demikian.

Moon Hee Jun menerima padahnya apabila tergelincir dan jatuh ke bawah pentas yang tingginya 3m. Dia terpaksa terlantar di hospital selama 6 bulan dan perlu rawatan susulan selama 3 bulan dengan harapan dia tak perlu berhenti menari lagi. Kejadian malang itu telah disaksikan oleh lebih ribuan peminat dan kira-kira 200 orang daripadanya pengsan kerana terkejut melihat idol mereka mengalami kecederaan teruk.

Dalam kejadian serupa, Wendy Red Velvet turut terjatuh daripada pentas yang dikatakan tingginya mencecah 2.5m ketika membuat persembahan di dalam SBS Gayo Daejon di Gocheok Sky Dome, Seoul pada 25 Disember 2019. Walaupun kejadian itu tak disaksikan oleh peminat, namun penyanyi tersebut terpaksa menjalani rawatan kecemasan selama berbulan-bulan di hospital akibat mukanya yang tercedera selain keretakan yang berlaku pada tulang telapak tangan dan pinggulnya.

Sumber: mydaily

loading...