Yook Sung Jae ‘hadir’ memberikan sokongan buat Hwang Jung Eum & krew drama jtbc Mystic Pop-up Bar

Majlis perkenalan drama jtbc Mystic Pop-up Bar berlangsung tanpa kehadiran batang tubuh Yook Sung Jae, namun jiwanya tetap ‘hadir’ di sisi mereka kendatipun terpaksa bergantikan papan ‘bunting’ lakaran pelakon dan juga idol tersebut. Ia merupakan idea yang tercetus oleh pihak produksi drama selepas Yook Sung Jae terpaksa menjalani khidmat ketenteraan bermula minggu lepas menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke sidang perkenalan terbabit.

Antara yang hadir ke sidang perkenalan tersebut termasuklah pengarah Jeon Chang Geun, pelakon Hwang Jung Eum, Choi Won Young, Lee Joon Hyuk dan Jung Da Eun. Kesemua pelakon menyampaikan pesanan buat Yook Sung Jae yang kini berkhidmat di kem latihan ketenteraan.

Hwang Jung Eun, pemenang Best Actress 2nd CARI Kdrama Awards ini, berdekah ketawa sambil memandang papan ‘bunting’ Yook Sung Jae, ” Saya nak pergi ini,” manakala Choi Won Young merayu kepada Yook Sung Jae supaya kerap makan dan akan mengajaknya makan nasi sebaik saja Yook Sung Jae keluar bercuti. Lee Joon Hyuk pula berseloroh sambil berkata, “Sila makan banyak-banyak. Dengar cakap senior. Tak lama lagi habislah masa di sana. Kau keluar saja, mari kita teguk arak bersama.”

Sebelum ini, Yook Sung Jae menitipkan pesanan menerusi video yang dirakamnya sendiri dengan berkongsikan tentang tatacara bekerja sebagai pelayan serta bagaimana untuk memenangi hati pelanggan yang datang ke kanopi Mystic Pop-up Bar. “Di dalam ‘Mystic Pop-Up Bar’, saya kena buat 20 kek ikan sebaik saja masuk berkerja. Kadang-kala, saya sudah tahu macam mana mahu mendekati pelanggan jikalau pemilik pandang saya kerana saya sudah menyelami hati mereka… Saya sudah boleh merasai kesedihan dan kepayahan kalau saya datang minum di Mystic Pop-up Bar. Apapun, sila jaga ‘Mystic Pop-Up Bar’ dengan baik-baik.”

 

jtbc “Mystic Pop-up Bar” yang merupakan adaptasi daripada webtoon popular “Ssang Gap Pocha” mengisahkan tentang misteri kewujudan pojangmacha di tengah-tengah malam di tempat yang jarang dikunjungi oleh manusia. Kewujudannya mencetuskan tanda tanya buat pengunjung pondok kanopi itu apabila mereka dikatakan telah ‘dipengaruhi’ sesuatu selepas pulang ke rumah. Pojangmacha  dikenali sebagai jajaran pondok kanopi yang biasanya dilawati peminat ‘food street’ untuk menikmati soju dan hidangan daging celup bakar. Karya lukisan Bae Hye Soo ini telah memenangi anugerah kartun terbaik pada Korea Comic Awards pada penilaian 10/10 menerusi Daum.

Hwang Jung Eum akan memegang watak Wol Joo, pemilik pojangmacha. Wol Joo seseorang yang tidak tergolong dalam dunia realiti mahupun dunia kematian, yang membolehkannya bergerak di antara mimpi. Dia diibaratkan kaunselor yang menyelesaikan kerisauan manusia dalam dunia impian. Manakala, Yook Sungjae pula membawakan watak sebagai Han Kang Bae, pekerja dikhidmat pelanggan Gab Eul Mart dan pekerja sambilan di pojangmacha. Dia memiliki  kemampuan luar biasa sehingga membolehkan seseorang berterus terang mengenai rahsia selepas mereka bersentuhan dengan Han Kang Bae.

“Mystic Pop Up Bar” diarahkan oleh oleh Jeon Chang Geun yang sebelum ini pernah menghasilkan “The Queen of Office,” “What Happens to My Family,” dan “The Package.” Drama ini akan ditayangkan dirangkaian JTBC mulai 20 Mei bagi mengisi slot drama Rabu-Khamis.

Sumber: IS Plus, xsportnews