Hanbyul, penyanyi Kpop pertama jadi juara pertandingan nyanyian terbesar di Malaysia

Hanbyul melakar sejarah sebagai penyanyi Kpop berbangsa Korea yang pertama memenangi pertandingan nyanyian terbesar di Malaysia apabila diangkat sebagai juara Big Stage ke-2 yang baru saja melabuhkan tirainya sebentar tadi.

Hanbyul menyampaikan dua lagu dalam persembahan terakhirnya hari ini iaitu “Lose Yourself” dendangan Eminem dan “Luka dan Bahagia”, lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Haqeem Rusli untuk single terbarunya. Sepanjang bertanding di dalam rancangan realiti tv terbitan Astro ini, Hanbyul telah memukau perhatian penonton dengan tariannya yang lincah, paduan vokal yang mantap serta kebolehannya melontarkan nyanyian dalam longhat bahasa Melayu dengan begitu baik sekali. Pengalamannya sebagai bekas vokalis kumpulan kugiran LedApple telah membantunya memberikan persembahan yang memuaskan pada saban minggu. Antara persembahannya yang amat dikenangi oleh penonton adalah lagu “Vroom Vroom” dendangan asal Nabila Razali pada minggu ke-2 pertandingan tersebut. Populariti Hanbyul di Malaysia juga dapat dibuktikan dengan undian tertinggi diraihnya untuk merangkul takhta Kmania Top Star bulan Ogos tempoh hari.

Hanbyul akan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM100,000. Beliau juga akan tinggal di Malaysia untuk mempromosikan single “Luka dan Bahagia” untuk pasaran industri muzik tempatan. Jangan lupa ikuti Kmania untuk liputan lanjut mengenai penyanyi ini.

Sumber: Gempak, Astro Awani

loading...