Menepati jangkaan ramai – Tokti guna kuasa imuniti juri untuk selamatkan Fieya Julia di minggu ke-4! Han Byul dan Santesh terus kuasai pentas.

Konsert minggu keempat ‘Big Stage 2019’ berlangsung dengan jayanya di mana 10 bintang ‘BBNU’ (Budak Baru Nak Up) digandingkan bersama barisan penyanyi sensasi pada minggu yang bertemakan “DUOMINASI”. BBNU yang berasal dari Kuala Lumpur, Adzrin, buat pertama kalinya berada di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 81 peratus! Persembahannya bersama penyanyi wanita, Marsha Milan, menerusi lagu “Jealous” nyanyian asal Labrinth mendapat pujian yang positif dari juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika, serta juri jemputan, Jaclyn Victor.

 

Mengekori rapat adalah bintang yang berasal dari Korea Selatan, Han Byul, di kedudukan tempat kedua dengan jumlah markah 79.67 peratus. Bintang berusia 29 tahun yang digandingkan bersama juara program ‘Big Stage’ musim pertama, Sarah Suhairi itu sekali lagi berjaya memukau penonton dengan persembahan yang cukup bersemangat menerusi lagu popular nyanyian Pink & Nate Ruess berjudul ‘Just Give Me A Reason’.

Seterusnya, bergandingan bersama artis wanita yang terkenal dengan lagu-lagu bergenre dangdut dan turut merupakan alumni Big Stage, Baby ShimaSantesh berjaya membuktikan kekuatan luar biasa dari aspek penguasaan pentas menerusi lagu ‘Roadblock Hatiku’ (Floor 88 & Baby Shima) dengan penuh rancak seterusnya merekodkan markah sejumlah 79.50 peratus.

Lain pula cerita bagi Chaleeda, Irfan Haris dan Fieya Julia yang tersenarai di kedudukan tiga terendah. Anak kelahiran Thailand, Chaleeda terpaksa akur apabila persembahan bersama Luqman Faiz kurang mendapat sambutan dan meletakkan beliau di kedudukan terendah buat tiga minggu berturut-turut. Dalam pada itu, Irfan Haris yang digandingkan bersama Usop menerima pujian dari barisan juri oleh kerana kelincahan beliau membuat persembahan di pentas. Namun begitu, markah keseluruhan yang dicatatkan beliau dilihat masih rendah sehingga meletakkannya di kedudukan tiga tercorot.

Manakala, Fieya Julia yang kelihatan kekok dan “malu-malu” ketika membuat persembahan bersama pasangan duet pilihannya sendiri, Sufian Suhaimi menerusi lagu ‘Haram’ (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah) memakan diri sehinggakan beliau diumumkan sebagai peserta yang akan meninggalkan pentas ‘Big Stage’ di minggu keempat. Namun begitu, kedukaan beliau terubat apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza @ Tok Ti membuat keputusan untuk menggunakan kuasa imuniti juri demi menyelamatkan Fieya Julia dari tersingkir. Dengan itu, tiada sebarang penyingkiran berlaku pada minggu keempat tersebut!

Konsert minggu kelima yang bertemakan ‘Cannot Brain’ pada hari Ahad ini, menjangkakan persaingan bakal menjadi lebih rancak dan sengit kerana kesemua peserta diberi tugasan untuk membawa lagu-lagu yang berbeza dan di luar genre kebiasaan mereka.

Mampukah Han Byul mempersembahkan nyanyian berentak dangdut dengan baik menerusi lagu ‘Yang Sedang-Sedang Saja’, nyanyian asal, Iwan? (Ya, penulis sememangnya menantikan dangdut versi oppa Korea dan mampu tak Han Byul bergelek 360 darjah ya? Berjaya tak Oppa ni membawakan lenggok dangdut atau akan ada arrangement sedikit sebagai penyesuaian persembahannya? Hanbyul Oppa, Fighting!!) Adakah Adzrin akan mengekalkan kedudukan beliau di tempat pertama pada minggu hadapan dengan persembahan lagu ‘Sedang Ingin Bercinta’, nyanyian kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19? Bagaimana pula dengan persembahan Fieya Julia dengan lagu genre rap, ‘Sang Saka Biru’, nyanyial asal Joe Flizzow, Sona One dan Altimet? Oh,ya! Penulis juga ingin saksikan Santesh transform menjadi Oppa Korea.Santesh akan membawakan  lagu Oppa Gangnam Style’ nyanyian asal PSY. Adakah versi Santesh kelak  akan diselit dengan elemen Malaysia. Siapa tahu kan Oppa Santesh? 

Siapakah pula yang akan merangkul gelaran ‘BBNU of the Week’ pada ini? Bintang manakah yang bakal tersingkir pada minggu ini? Bolehkah kesemua bintang mempersembahkan nyanyian dengan cemerlang? Sama-sama kita saksikan Ahad ini!

loading...