Rakuten Viki membawakan beberapa pilihan drama Korea kepada penonton di Asia Tenggara sepanjang November ini, termasuk dua judul eksklusif yang mengetengahkan kisah percintaan di tempat kerja dan penyiasatan jenayah.
Dua drama yang menjadi tumpuan ialah komedi romantik What a Boss Wants lakonan Sung Hoon dan Oh Se Young, yang mula ditayangkan pada 11 November, serta siri aksi jenayah Crash 2 yang bakal menemui penonton pada 16 November. Kedua-duanya boleh distrim secara eksklusif menerusi Rakuten Viki.
Sung Hoon dan Oh Se Young Dalam Kisah Percintaan Tidak Terduga What a Boss Wants

Apa yang berlaku apabila seorang CEO kaya yang memiliki segala-galanya bertemu dengan seorang wanita yang menjalani dua kehidupan berbeza?
Dalam What a Boss Wants, Sung Hoon membawakan watak Kwon Do Hyuk, seorang usahawan teknologi bijak yang berjaya dalam kerjaya, namun berdepan masalah insomnia dan kekosongan emosi.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila dia dikhianati rakan niaga, selain diminta bapanya untuk menyelamatkan sebuah syarikat hiburan yang sedang mengalami masalah kewangan.
Bagi mengubah nasib syarikat tersebut, Do Hyuk merancang untuk menghasilkan seorang penghibur berasaskan kecerdasan buatan (AI). Pencariannya membawa dia bertemu Soo, seorang penyanyi indie misteri yang memiliki wajah seiras dengan watak AI ciptaannya.
Namun, Soo sebenarnya ialah Eun Chae (Oh Se Young), seorang wanita yang bekerja di pusat khidmat pelanggan pada waktu siang sambil mengejar impiannya dalam bidang muzik.
Pertemuan mereka yang bermula dalam keadaan kurang menyenangkan akhirnya membawa kepada satu rahsia yang terbongkar. Setelah mengetahui identiti sebenar Eun Chae, Do Hyuk mendesaknya menandatangani kontrak selama tiga bulan untuk bekerja sebagai setiausahanya.
Hubungan kerja yang tidak konvensional itu kemudian dipenuhi pertembungan personaliti, situasi janggal dan perasaan yang mula berkembang tanpa disedari.
Diadaptasi daripada novel web karya Sikeukeu dengan judul sama, What a Boss Wants mula ditayangkan di Rakuten Viki pada 11 November.
Pasukan Penyiasat Kembali Dalam Crash 2

Kemalangan jalan raya mungkin kelihatan seperti kes biasa, namun kebenaran di sebaliknya tidak semestinya mudah dirungkai. Siri aksi jenayah Crash mengikuti pasukan khas polis yang menyiasat pelbagai kes berkaitan penipuan insurans, pemanduan berbahaya sebagai tindakan balas serta kemalangan jalan raya yang mencurigakan di Seoul.
Penyiasatan diteruskan menerusi Crash 2 yang bakal ditayangkan di Rakuten Viki pada 16 November.
Lee Min Ki kembali sebagai Cha Yeon Ho, seorang penyiasat bijak yang agak kekok dalam pergaulan, namun mempunyai kelebihan luar biasa dalam membina semula kronologi kejadian kemalangan. Menariknya, walaupun pakar dalam jenayah berkaitan trafik, dia sendiri tidak boleh memandu.
Dia bergandingan dengan Kwak Sun Young yang membawakan watak Min So Hee, seorang penyiasat tangkas yang menggabungkan naluri tajam dengan kemahiran seni mempertahankan diri ketika berdepan situasi berbahaya.
Pasukan tersebut diketuai oleh Jung Chae Man (Heo Sung Tae), bersama pakar automotif Woo Dong Gi (Lee Ho Chul) dan Eo Hyeon Gyeong (Choi Moon Hee), yang mahir dalam seni mempertahankan diri.
Turut menyertai pasukan TCI dalam musim kedua ialah Jisung daripada NCT, yang hadir sebagai anggota baharu dengan ketangkasan dan kebolehan tersendiri. Kehadirannya dijangka membawa dinamika baharu dalam hubungan sesama anggota pasukan.
Daripada kemalangan yang dirancang hingga tindakan keganasan yang disengajakan, setiap kes menguji kebolehan pasukan tersebut untuk membezakan kejadian sebenar daripada jenayah yang dirancang. Perbezaan personaliti dan pendekatan mereka dalam menjalankan tugas turut menyelitkan unsur humor di sebalik penyiasatan berisiko tinggi.
Bagi penonton yang ingin mengikuti kisah pasukan ini sejak awal, Rakuten Viki turut menyediakan musim pertama Crash secara lengkap bermula 16 November, serentak dengan tayangan perdana musim kedua.
Touch Your Heart, Because This Is My First Life dan Signal Turut Kembali
Selain judul baharu, Rakuten Viki turut memperluas koleksi drama Korea dengan membawa kembali beberapa siri popular untuk tontonan peminat di Asia Tenggara.
Bermula 20 November, penonton boleh menyaksikan semula drama romantik di tempat kerja Touch Your Heart lakonan Lee Dong Wook dan Yoo In Na, serta komedi romantik Because This Is My First Life yang dibintangi Lee Min Ki dan Jung So Min.
Bagi peminat genre penyiasatan dan misteri, drama thriller jenayah popular Signal lakonan Lee Je Hoon, Kim Hye Soo dan Cho Jin Woong turut tersedia untuk ditonton.
Pelbagai pilihan drama baharu dan kegemaran peminat ini boleh distrim menerusi Rakuten Viki di www.viki.com.


