6 Idol Kpop ini direkruit terus oleh agensi kerana memiliki paras rupa yang mengancam

Portal insight menamakan enam selebriti kpop yang telah direkruit oleh agensi masing-masing setelah terpegun melihat rupa paras yang dimiliki oleh mereka. Sebahagian daripada mereka tidak perlu menjalani latihan bertahun-tahun yang diperlukan sebagai persediaan menjadi idol kerana dengan visual mereka saja sudah memadai untuk memikat hati penggemar muzik kpop.

1. Kim SeokJin

Kim Seok Jin, atau dikenali sebagai Jin direkruit oleh Big Hit Entertainment secara tak sengaja sewaktu wakil agensi berkeliaran mencari lelaki yang berpotensi sebagai idol dalam kalangan pejalan kaki di Seoul, Korea. Menurut sumber terdekat, wakil agensi tersebut dikatakan terpesona dengan keperibadian ditonjolkan oleh Jin menyebabkan mereka tanpa berfikir panjang terus mengambilnya sebagai pelatih baru memandangkan pada masa itu, beliau baru saja menyambung pelajaran dalam bidang lakonan di Konkuk University.

Kini, beliau yang sememangnya sudah sinonim sebagai ahli paling senior di dalam kumpulan BTS, dikagumi oleh kebanyakan peminat Army di Korea kerana wajah yang tampan dimilikinya sejak azali.

2. Byun Baekhyun

Baekhyun pernah gagal dalam ujibakat untuk menjadi penyanyi idol tetapi beliau tidak mudah putus semangat untuk cuba sekali lagi barangkali kerana mahu mengejar impian untuk bergelar penyanyi di suatu masa nanti. Ketika Baekhyun sedang menyertai ujian praktikal di sesebuah universiti, beliau bersemuka dengan wakil agensi SM Entertainment dan dimasukkan terus di bawah program ‘casting’ mereka yang lazimnya digunakan untuk mencari pelakon yang berbakat dan mempamerkan visual yang sedap mata memandang.

Berbeza dengan yang lain, bakat nyanyiannya berjaya ditonjolkan dengan lebih baik selepas menyertai kumpulan EXO. Buktinya, pengaruh Baekhyun bukan calang-calang hebat dengan  penangan album solo pertamanya, ‘City Lights’ saja sudah berjaya mendominasi jualan album solo tertinggi di Korea (Jualan album solo Baekhyun secara keseluruhan telah jauh meninggalkan album solo pertama Kang Daniel yang pernah memintas beliau sebelum ini, menurut data terkini daripada Hanteo dan Gaon).

3. Shin Ryujin

Shin Ryujin, atau dikenali sebagai Ryujin oleh peminat ITZY terutamanya, telah direkruit masuk ke dalam JYP Entertainment kerana wakil agensi dikatakan telah terpegun dengan kejelitaan yang dimiliki olehnya, menurut seorang netizen di dalam satu ruangan portal forum. Netizen itu berkata, “Saya pernah pergi ke suatu perjumpaan peminat bersama GOT7 sekitar cuti musim sejuk dan terserempak dengan Ryujin di situ. Tak sangka dia terus dibawa masuk ke JYP selepas itu.”

4. Kim Mingyu

Seperti juga Kim Seok Jin, Mingyu Seventeen diambil masuk oleh Pledis Entertainment sewaktu wakil agensi keluar mencari idol yang berpotensi. Tak pasti bagaimana Mingyu yang tak reti menyanyikan lagu kebangsaan dengan baik dan hanya mempersembahkan tarian yang dipelajarinya di gereja mampu menggerakkan hati wakil agensi, namun sumber terdekat dalam agensi mengatakan wakil tersebut tak mampu menarik mata mereka daripada melihat kekacakan yang terpancar daripada wajahnya.

Mingyu kini menjadi ahli tetap Seventeen dan amat dikenali sekali dalam kalangan CARAT di Malaysia.

5. Myoui Mina

Mungkin maklumat yang jarang diketahui oleh peminat TWICE terutamanya, artis kelahiran Jepun ini terus direkruit oleh wakil agensi JYP Entertainment ketika beliau sedang keluar membeli-belah bersama ibunya di pusat beli-belah Hankyu, bangunan HQ Umeda. Mina pada masa itu masih lagi pelajar tahun kedua di sekolah menengah tinggi.

Kini, walaupun berhadapan dengan ketakutan di atas pentas sehingga menyebabkan aktivitinya direhatkan sementara, Mina tetap setia bersama TWICE.

6. Hwang Minyun

Siapa sangka Hwang Minyun terus direkruit masuk sebagai pelatih baru Pledis Entertainment ketika beliau sedang sedap melantak ayam panggang cucuk bersama rakan sekolahnya. Menurut sumber yang dipercayai, ciri-ciri metroseksual yang dimilikinya dikatakan telah menggugat keimanan wakil agensi untuk tidak melepaskan peluang tersebut.

Minhyun sempat bergiat aktif dengan NUEST untuk sementara sebelum memilih untuk menyertai program realiti Produce 101 dan berjaya debut sebagai Wanna One selama hampir setahun setengah. Kemudian, beliau memilih untuk tetap setia bersama kumpulan asalnya, NUEST dan seringkali menjadi rebutan setiap kali mereka membuat persembahan di hadapan peminat L.O.V.E.

Agak-agak mana satu bias pembaca Kmania sekalian?


Sumber: insight