[Analisis Lengkap] Kronologi pertikaian antara Kang Daniel dengan LM Entertainment

Konflik di antara Kang Daniel dan agensi pengurusan, LM Entertainment telah menggegarkan industri hiburan di Korea Selatan dan mendapat liputan yang meluas. Populariti  Daniel yang mempunyai pengikut di setiap lapisan umur menyebabkan ramai pihak begitu tekun mengikuti perkembangan kes ini. Langkah yang diambil Daniel ini dianggap sangat berani kerana beliau baru sahaja memulakan aktiviti seni kurang 2 tahun sejak memenangi tempat pertama dalam program realiti Produce 101 musim 2 pada tahun 2017.

Daniel berumur 22 tahun sewaktu konflik bermula. Beliau dijadualkan untuk bergerak secara solo di bawah LM Entertainment selepas kontrak berkumpulannya bersama Wanna One tamat, bersama seorang lagi anggota Wanna One yang juga rakan selabelnya iaitu Yoon Jisung.

Sebelum ini, beberapa artis yang mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang mewakili mereka di Korea Selatan berhadapan dengan risiko disenarai-hitamkan oleh beberapa stesen penyiaran seperti yang terjadi kepada kumpulan JYJ, bekas ahli kumpulan TVXQ yang menyaman syarikat mereka, SM Entertainment pada tahun 2009 atas sebab kontrak yang berat sebelah. JYJ tidak dapat muncul di mana-mana rancangan nyanyian dan hiburan di 3 stesen penyiaran utama Korea Selatan, dipercayai kerana pengaruh dari SM Entertainment. Tindakan ini disokong beberapa pihak kerana ia dilihat sebagai “amaran” terhadap artis K-pop lain yang cuba untuk melawan agensi mereka.

Namun, Kang Daniel nekad meneruskan saman ke atas LM Entertainment demi mempertahankan haknya dan akhirnya memenangi injunksi di mahkamah. Beliau seterusnya menubuhkan KONNECT Entertainment untuk menguruskan aktiviti seninya dan KD Corporation untuk menceburi perniagaan lain, dan bakal kembali dengan album solo beliau pada 25 Julai 2019.

Berikut merupakan kronologi tarikh-tarikh penting di dalam konflik di antara Kang Daniel dan LM Entertainment.

Kronologi Kes Mahkamah Kang Daniel – LM Entertainment
(nota: (+) – maklumat tambahan berkaitan)

+ 2 Februari 2018 – Perjanjian kontrak baru Kang Daniel bersama LM Entertainment

Kang Daniel & Yoon Jisung (Wanna One) menandatangani kontrak bersama LM Entertainment yang bakal bermula setahun kemudian, setelah Wanna One dibubarkan [Osen].  LM Entertainment akan menguruskan karier solo Daniel & Jisung, di masa ini mereka masih di bawah pengurusan MMO Entertainment.

1 Februari 2019 – Permohonan “Certification of Contents” (Pengesahan Kandungan) Kang Daniel kepada LM Entertainment

Daniel melalui peguamnya mengemukakan “Certification of Contents” (Pengesahan Kandungan) kepada LM Entertainment untuk menukar/mengubah suai beberapa klausa di dalam kontraknya [soompi]. Terdapat satu ketetapan didalam pengesahan tersebut yang menyatakan sekiranya selepas tempoh sebulan (sehingga 28 Februari) masih tiada pengubahsuaian klausa atau tiada sebarang rundingan berlaku, kontraknya dianggap telah terbatal.

+ 2 Februari 2019 – Kontrak bersama LM berkuat-kuasa

+ 7 Februari 2019 – Agensi LM Entertainment didaftarkan

LM Entertainment didaftarkan sebagai syarikat oleh Yang Jongseon, isteri kepada CEO Gil JongHwa yang juga merupakan Pengurus di MMO Entertainment menurut laman pemdaftaran KOCCA [kocca].

28 Februari 2019 – Tarikh akhir rundingan

Setelah tempoh sebulan berakhir, LM gagal memberi sebarang tindak balas terhadap permohonan ini [yonhap].

3 Mac 2019 – Laporan rasmi konflik Kang Daniel vs LM Entertainment tersebar

  1. Berita tentang konflik di antara Daniel dan syarikat rakamannya dilaporkan oleh media Korea Selatan secara meluas.
  2. LM Entertainment dalam wawancara bersama SPOTV News telah menyatakan, “Memang benar kami menerima pengesahan kandungan, tetapi ia adalah permintaan untuk mengubah suai klausa dalam kontrak, bukan untuk menamatkannya. Kami sedang membincangkan pengubahsuaian kontrak.” [soompi]
  3. Wartawan Sports Chosun, Baek Jieun melaporkan artikel penuh kontroversi yang menyatakan Kang Daniel telah bertemu dengan seorang wanita 40-an, yang diperkenalkan oleh anggota Big Bang iaitu Seungri untuk mencari pelabur.
    Jieun melaporkan bahawa mereka diperkenalkan sewaktu Daniel masih seorang anggota Wanna One pada 2017. Seungri ketika ini sedang disiasat berhubung dengan kes kontroversi pelacuran di bawah umur di kelab malam miliknya, Burning Sun. Wanita itu disahkan sebagai seorang pengurus acara di Hong Kong dan beliau sudah mengenali Daniel sewaktu Wanna One mengadakan Fan Meeting di Hong Kong pada 2017 [sports chosun].
    Namun, tarikh artikel itu mula dicipta adalah pada 21 Februari dan diubah suai sebelum disiarkan pada 3 Mac, menyebabkan kesahihan maklumat ini diragui dan netizen mempersoalkan sama ada artikel itu telah dirancang terlebih dahulu untuk memburuk-burukkan Daniel.
  4. Daniel mengeluarkan kenyataan di forum kelab peminatnya di dalam bahasa Korea dan Inggeris. Beliau mengakui dirinya dan LM Entertainment sedang di dalam pertikaian undang-undang dan menafikan segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya [soompi] .
    Beliau mendedahkan akan membuka akaun instagram yang baru (@k.daniel.here) pada esok hari kerana LM enggan menyerahkan akses instagram lamanya (@thisisdaniel_k) kepadanya. Beliau juga menyatakan “kebenaran akan diketahui” kepada peminatnya.

 + 4 Mac 2019 – Pembukaan akaun instagram @k.daniel.here

+ 7 Mac 2019 – Perlantikan wakil peguam Kang Daniel dari Sun & Partners

Peguam Seon Jongmoon dari Sun & Partners dilantik oleh Daniel untuk berkomunikasi dengan LM Entertainment. Beliau memberitahu wartawan berita Xportsnews, “Perbincangan itu tidak bergerak sejak hari pengesahan kandungan dihantar. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk memberitahu anda pada ketika ini.” [soompi]

+ 8 Mac 2019 – “Kang Daniel mahu isu selesai secepat & selancar mungkin, tidak mahu tindakan undang-undang”

Peguam Daniel, Seon Jongmoon menyatakan, “Kang Daniel mahu menyelesaikan [konflik] dengan agensinya selancar yang mungkin supaya dia dapat meneruskan promosinya.”
Beliau berkata Daniel buat masa ini tidak mempertimbangkan untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap agensinya jika boleh [soompi].

+ 11 Mac 2019 – Menjawab khabar angin hubungan dengan Seungri

Seon Jongmoon muncul di rancangan MBC Section TV untuk menjawab beberapa persoalan berhubung konflik Kang Daniel – LM Entertainment.
Beliau menjelaskan hubungan Kang Daniel dan Seungri dengan mengatakan, “Ini tidak benar sama sekali. [Kang Daniel] tidak pernah bertemu dengan Seungri secara peribadi, dan dia tidak pernah ke kelab malam Burning Sun.
Seungri hanya hadir ke konsert Wanna One sebagai seorang artis senior. Kami sedang meneliti beberapa khabar angin negatif, dan kami akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.” [soompi]

+ 14 Mac 2019 – Perlantikan firma Yulchon sebagai wakil guaman Kang Daniel 

Kang Daniel melantik Yulchon, sebuah firma undang-undang yang berpengalaman untuk mewakili dirinya dalam konflik di antara dirinya dan LM Entertainment.
Peguam Yeom Yongpyo yang bertanggungjawab dalam kes itu berkata, “Kang Daniel menyatakan kekesalannya mengenai perkara yang sedang berlaku kepada peminat, dan dia menunjukkan kesanggupan untuk menyelesaikan konflik ini secepat yang mungkin supaya dia boleh kembali kepada peminat.”
Dia meneruskan, “Kami juga akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan konflik yang sedang berjalan.” [sbs fun e]

19 Mac 2019 – Permohonan Injunksi untuk Penggantungan Kontrak

Kang Daniel membuat permohonan injunksi di Mahkamah Daerah Seoul untuk menggantung kontraknya dengan LM Entertainment selepas mengambil kira sikap LM yang menggunakan kempen media yang agresif dan keengganan mereka untuk berunding [topstarnews].

21 Mac 2019 – Permohonan Injunksi penggantungan kontrak & saman penamatan kontrak di Mahkamah Daerah Seoul

Kang Daniel memfailkan permohonan injuksi untuk penggantungan kontrak eksklusifnya bersama LM Entertainment.
Peguam Yulchon, Yeom Yongpyo mendedahkan,

“Tanpa persetujuan Kang Daniel, LM Entertainment menandatangani kontrak perniagaan bersama yang menjual hak kontrak eksklusif Kang Daniel kepada pihak ketiga. Permohonan injunksi telah dikemukakan kerana [LM Entertainment] melanggar [syarat-syarat] kontraknya.”

Dia menjelaskan, “Keputusan injunksi biasanya ditentukan dengan pantas dalam tempoh satu hingga dua bulan, dan jika [permintaan] diterima, Kang Daniel dapat segera memulakan kegiatan dalam industri hiburan.” Beliau menambah, “Kang Daniel berasa kesal insiden ini menjadi hal [undang-undang] dan menyatakan permintaan maaf yang mendalam kepada peminat yang menghargainya. Dia berharap agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.” Pada masa yang sama, mereka juga memfailkan permohonan penamatan kontrak bersama LM Entertainment [korea daily][eng].

26 Mac 2019 – Kenyataan LM Entertainment & Kenyataan Balas Kang Daniel  

LM Entertainment telah menafikan tuntutan yang dibuat oleh pihak Kang Daniel sepenuhnya, mengatakan bahawa pihak Kang Daniel telah membuat tuntutan palsu dan wakil Kang Daniel tidak bekerjasama dalam perbincangan, “mengubah wakil serta pendirian mereka mengenai isu tersebut beberapa kali.”

LM berkata, pihak Daniel  mendakwa bahawa LM Entertainment melanggar syarat kontrak dengan menandatangani hak kepada pihak ketiga, tetapi kontrak yang dipersoalkan hanyalah kontrak di mana LM Entertainment menerima pelaburan dari agensi lama Kang Daniel, MMO Entertainment, untuk menyokong Kang Daniel dalam aktiviti hiburannya. LM tidak pernah menandatangani hak eksklusif kepada pihak lain dan memegang semua hak, termasuk perancangan album, konsert, dan kontrak prestasi lain, perniagaan barangan, membuat keputusan dan pengurusan.” [soompi]

Wakil peguam Kang Daniel kemudiannya menafikan dakwaan LM bahawa agensi tersebut tidak melanggar kontrak mereka. Peguam Yeom Yongpyo mendedahkan Daniel menandatangani kontrak dengan LM pada 2 Februari 2018, setahun sebelum kontrak itu berkuat kuasa pada 2 Februari 2019. Walau bagaimanapun, pada 28 Januari 2019, LM menandatangani kontrak perniagaan bersama yang menjual hak eksklusif Daniel (termasuk penciptaan kandungan dan hak pengurusan) kepada pihak ketiga [sports east].

Hak-hak teras adalah termasuk hak untuk menghasilkan dan mengedarkan kandungan muzik, konsert dan hak-hak perniagaan antarabangsa dan hak-hak rundingan mengenai kegiatan Daniel dalam industri hiburan.
LM juga menerima bayaran pendahuluan daripada pihak ketiga sebanyak sepuluh kali ganda dari jumlah yang agensi tersebut tawarkan kepada Daniel untuk menandatangani kontrak. Walau bagaimanapun, Kang Daniel tidak mendapat penjelasan terlebih dahulu mengenai perjanjian dan konteks kontrak perniagaan bersama tersebut, mahupun memberikan persetujuannya.

Yulchon menjangkakan kebenaran kes ini akan didedahkan dengan jelas melalui sesi pertanyaan mengenai penggantungan kontrak, dan Kang Daniel juga menyatakan keinginannya untuk mendapat keputusan yang munasabah supaya dia dapat kembali ke peminat secepat mungkin.

LM kemudiannya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Daniel kerana mendedahkan kontrak pihak ke-tiga tersebut. LM juga mendakwa Daniel sedar akan kontrak antara LM dan MMO, namun tidak menyatakan bahawa Daniel bersetuju dengan kontrak tersebut [herald].
Perbicaraan mahkamah ditetapkan pada 5 April 2019.

27 Mac 2019 – LM ubah pendirian, dakwa parti ketiga adalah usahasama

Sebelum ini LM menafikan kontrak pemindahan pihak ke-3 dan berkata kontrak itu adalah kontrak pelaburan. Dalam kenyataan terbaru kini, LM mendakwa keputusan itu merupakan sebuah usahasama.
Wartawan Ji Seunghun melaporkan bahawa LM berkata terdapat pemahaman bahawa pelabur memerlukan maklumat, tetapi mereka mendakwa mereka tidak tahu berapa banyak persetujuan (dari siapa) yang diperlukan [ytn].

28 Mac 2019 – LM dakwa persetujuan Daniel tidak diperlukan

Walaupun peguam Daniel mendedahkan bahawa kontrak pihak ke-3 mempunyai klausa yang memerlukan persetujuan bertulis, peguam LM, Kim Munhee memberitahu YTN Star bahawa persetujuan bertulis tidak diperlukan.
Kim juga mendakwa MMO hanya melabur, dan hanya LM yang menjalankan hak artis. Sebahagian pelaburan yang diterima telahpun digunakan dalam aktiviti solo Yoon Jisung [ytn].

4 April 2019 – Penangguhan tarikh perbicaraan

Berita YTN Star melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman memutuskan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan permohonan injunksi Kang Daniel terhadap agensinya. Ia pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 5 April 2019.
LM Entertainment disyaki membuat permintaan untuk kes itu dipindahkan ke mahkamah yang lain, dan menyebabkan penangguhan tarikh itu. Jabatan Kehakiman akan mengkaji semula permintaan tersebut sebelum membuat keputusan akhir [soompi].

+ 12 April 2019 – Kenyataan dari Korean Management Union/Federation, Penolakan penukaran mahkamah & penetapan semula tarikh perbicaraan

Kesatuan Pengurusan Korea (KMF) menyuarakan keprihatinan dan kekesalan atas kecurigaan yang timbul daripada pertikaian undang-undang baru-baru ini antara Kang Daniel dan agensinya. KMF sedang mengkaji pelbagai kecurigaan yang timbul. Jika syak wasangka bahawa pihak ketiga menggunakan kuasa mereka secara haram dan dengan niat jahat telah disahkan, [KMF] merancang untuk meminta mereka bertanggungjawab mengikut keadaan berdasarkan hak undang-undang yang dimiliki oleh organisasi.
KMF juga merancang untuk mengambil langkah-langkah ketat untuk kes di mana [beberapa pihak] cuba merosakkan akar industri dengan memberi hujah-hujah palsu dan membuat permintaan tidak masuk akal untuk menamatkan kontrak tanpa alasan yang tepat.
[Mereka melakukan ini] walaupun fakta bahawa kontrak mewakili hubungan yang adil [antara artis dan agensi] dan telah ditandatangani berdasarkan kontrak eksklusif standard yang disarankan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan, dan Pelancongan.
KMF menyokong keseragaman bersama artis dan agensi dan akan melakukan yang terbaik untuk menghentikan insiden yang memangsakan semua pihak dan memulihkan suasana yang sihat untuk industri dan berharap isu ini akan diselesaikan berdasarkan keputusan yang adil dan perundingan, bukan konflik dan permusuhan.
[Nota: KMF adalah kesatuan untuk pengurus dengan 4+ tahun pengalaman. Beberapa eksekutif dari LM adalah ahli KMU iaitu Noh Hyunjun, Gil Jonghwa dan Jung Chunyoung.[s]]

Pada 4:04 PM, wartawan YTN Star, Ji Seunghun melaporkan perbicaraan kes itu dijadualkan semula pada 24 April. Wartawan itu kemudian menambah bahawa Mahkamah Daerah Seoul memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa dan menolak dua permintaan bertulis LM untuk pemindahan mahkamah [ytn].

24 April 2019 – Perbicaraan injunksi berlangsung

Kedua-dua pihak membentangkan hujah mereka di Mahkamah Daerah Seoul di mahkamah terbuka. Daniel tidak hadir secara fizikal, namun menyediakan kenyataan bertulisnya. Mahkamah juga menggantikan kenyataan pelabur dengan penjelasan bertulis. Hakim juga memberitahu LM untuk menghentikan teori konspirasi yang dilancarkan terhadap Kang Daniel di media massa.

Pihak Daniel menyatakan, “[Gil Jonghwa] memimpin “media play” bersifat negatif untuk mencemar reputasi Kang Daniel. Memandangkan kepercayaan terhadap LM sudah hilang, adalah sukar baginya untuk mengekalkan hubungan kontrak seperti dahulu.”

Walaupun LM Entertainment ditubuhkan pada 2018, LM mendakwa telah menyokong Daniel sejak 2015 dan menafikan mereka mahu merosakkan nama Daniel. Pihak LM juga mendakwa mereka tidak menjelaskan kontrak dengan betul dan akan melakukannya pada masa akan datang.

Mahkamah menetapkan satu minggu untuk pihak Daniel untuk mengemukakan bukti tambahan pada 1 Mei. LM menyerahkan 80 muka surat maklumat, jadi mahkamah memberitahu LM untuk menghapuskan redundansi. LM telah diberikan sehingga 8 Mei untuk menyerahkan semula dokumen mereka [soompi].

10 Mei 2019 – Keputusan Mahkamah menyebelahi Daniel, kontrak bersama LM Entertainment digantung

Wartawan Celuv, Lee Wonseon melaporkan berita bahawa sidang itu memihak kepada Daniel untuk menggantung kontrak eksklusif dengan LM.

Peguam Yeom melalui kenyataan rasmi memetik berkata “Keputusan Mahkamah Daerah Seoul untuk menerima permohonan Kang Daniel akan menyebabkan beliau dapat menjalankan kegiatan bebas sebagai selebriti.
Mahkamah mendapati bahawa kontrak perniagaan bersama LM Entertainment yang ditandatangani dengan pihak ketiga pada 28 Januari 2019 adalah kontrak yang memindahkan sebahagian besar hak pengurusan untuk Kang Daniel kepada pihak ketiga.

Kerana Kang Daniel tidak dihubungi untuk mendapatkan persetujuan terlebih dahulu, tindakan LM Entertainment bukan sahaja melawan kontrak eksklusif, tetapi juga memecahkan kepercayaan yang menjadi asas kontrak eksklusif. Oleh itu, ia telah diputuskan bahawa tindakan LM Entertainment menjadikannya sukar untuk mengekalkan hubungan antara agensi dan Kang Daniel.

Sebagai akibat, kontrak eksklusif antara Kang Daniel dan LM Entertainment telah digantung, dan LM Entertainment tidak harus campur tangan dalam aktiviti-aktiviti Kang Daniel, dan mereka tidak sepatutnya berunding atau menandatangani kontrak bagi pihaknya atau meminta beliau untuk meneruskan aktiviti bagi pihak mereka.”

Pihak Daniel menerima petikan penuh yang bermaksud hakim memihak kepada Daniel pada setiap hujah yang dikemukakan. Ada yang mengatakan Kang Daniel menjadi artis pertama yang menerima keputusan mahkamah yang benar-benar memihak kepada semua titik yang dibuat [soompi].

Wartawan eDaily, Kim Eunkoo melaporkan bahawa LM merancang untuk membantah keputusan mahkamah dan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Kang Daniel [edaily].

Kang Daniel memuatnaik surat bertulis tangan beliau di instagram untuk berterima kasih kepada peminatnya yang setia menyokongnya selama kes mahkamah itu berlangsung [instagram].

Beliau dipetik sebagai menulis,

“Jika saya tidak mendapat sokongan anda, saya tidak fikir saya dapat mengumpulkan keberanian seperti ini. Sepanjang tempoh yang panjang ini, saya tersentuh dan bahkan menangis ketika saya membaca setiap mesej sokongan dari anda semua. Saya dapat bertahan setiap hari melalui kepercayaan anda [terhadap saya]. Walaupun saya dapat membuat [situasi saya] lebih mudah dan lebih cepat dengan berkompromi, saya ingin menunjukkan kepada anda imej diri saya yang betul dan terhormat, walaupun saya melangkah perlahan-lahan.
Terima kasih tak terhingga kepada semua peminat yang percaya pada tindakan dan pemikiran saya. Saya akan mengembalikan semula keberanian dan kepercayaan yang saya terima dari semua orang.”

11 Mei 2019 – Bantahan LM Entertainment

Wakil LM Entertainment menyatakan, “Kami berhasrat untuk memfailkan bantahan rasmi (rayuan) dan berjuang sehingga ke akhirnya menentang ketidakadilan terhadap saman asal dan keputusan mahkamah baru-baru ini. Kami akan menggunakan segala cara untuk menangani perkara ini.” [soompi]

+ 13 Mei 2019 – KEPA & KMF mengeluarkan kenyataan baru

Wartawan Hankook Ilbo, Lee Hoyeon melaporkan kenyataan baru dari KMF dan KEPA. Walaupun LM melanggar kontrak eksklusif, persatuan itu tidak memberi komen mengenai perkara itu dan sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada broker.
Wakil mereka mendakwa mereka tidak pernah mengatakan Daniel bersalah, mereka cuma memfokuskan jika terdapat broker haram yang menjadi punca pertikaian di antara Kang Daniel dan LM [korea daily].

+ 15 Mei 2019 – Artikel mengulas kemungkinan kes berlarutan

Wartawan Ilgan Sports, Kim Yeonji menulis bahawa jika pertikaian undang-undang berterusan, kemungkinan debut solo Daniel bakal tertangguh ke tahun hadapan dan mengandaikan bahawa aktiviti seni Daniel di Korea tidak jelas sehinggalah isu kedua belah pihak dapat diselesaikan.
Artikel itu juga menyertakan artis terdahulu yang isu undang-undang mereka belum selesai telah disekat oleh KMF dan KEPA, dan hari-hari mereka dihabiskan dengan sia-sia akibat pertikaian undang-undang tersebut [ilgan sports] .

+ 16 Mei 2019 – Kenyataan peguam mengenai aktiviti seni Daniel

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=RXAgHJLV–g]

Peguam Daniel, Yeom Yongpyo muncul di berita Section TV MBC dan menjelaskan LM tidak boleh campur tangan dalam sebarang aktiviti hiburan Daniel. Selagi keputusan semasa tidak diterbalikkan, Daniel dapat melakukan sebarang aktiviti hiburan. Beliau menyatakan bahawa mereka akan mengkaji dan bertindak balas secara aktif jika agensi itu membuat bantahan.

+ 19 Mei 2019 – Artikel mengenai Persetujuan Artis dan Penghakiman Mahkamah

Wartawan Korea Economy, Ahn Daegyu melaporkan mengenai keputusan Mahkamah Daerah Seoul. Kontrak perniagaan bersama antara LM dan pihak ketiga yang memindahkan sebahagian besar hak eksklusif Daniel kepada pihak ketiga bukan sahaja melanggar kontrak eksklusif tetapi juga menghancurkan amanah yang mendasari kontrak.
Peguam Daniel, Yeom Yongpyo menyatakan bahawa mereka memberi penekanan bahawa tiada persetujuan dari Daniel diterima oleh LM, dan mahkamah menerimanya. Ini adalah kes pertama bahawa sifat kontrak perniagaan bersama adalah pemindahan hak kontrak eksklusif [korea economy].

+ 31 Mei 2019 – Penubuhan KONNECT Entertainment oleh Kang Daniel

5 Jun 2019 – Permohonan LM untuk penukaran tarikh perbicaraan bantahan, KD Corporation didaftarkan

LM memohon untuk menukar tarikh perbicaraan untuk rayuan keputusan ke 26 Jun dari tarikh asal 12 Jun. Ini kerana LM menukar wakil peguam mereka kepada Wi Hyunseok [daily economy news].

Sementara itu, Kang Daniel telah mendaftarkan syarikatnya iaitu KD Corporation [my daily].

 10 Jun 2019 – Tarikh perbicaraan ditangguhkan, Penubuhan KONNECT Entertainment dilaporkan

Tarikh perbicaraan disahkan ditangguhkan ke 26 Jun 2019.

Berita mengenai penubuhan KONNECT Entertainment pertama kali dilaporkan oleh wartawan Hong Seyoung dari Sports Donga. Nama agensi tersebut berasal dari perkataan “Korea” + “Connect,” yang bermaksud Daniel mahu menghubungkan Korea ke seluruh dunia melalui aktiviti masa depannya [soompi].

26 Jun 2019 – Perbicaraan bantahan berlangsung

LM tetap dengan pendirian mereka berhubung dengan kontrak pelaburan dan mengeluh tentang reputasi LM dalam industri. LM menawarkan untuk membantu KONNECT (agensi baru yang ditubuhkan Daniel) jika injunksi ditolak.

Pihak Daniel menolak tawaran itu kerana kepercayaan terhadap mereka telah musnah dan berkata pihak Daniel juga mengalami kerugian. Mahkamah menyatakan keputusan akan dibuat pada 10 Julai 2019 [soompi].

+ 9 Julai 2019 – Kemunculan Pertama Kang Daniel sejak Januari 2019

Kang Daniel menghadiri acara umum buat pertama kalinya dalam tempoh 6 bulan. Beliau menghadiri upacara perlantikan dirinya sebagai Duta kepada bandar Busan. Daniel juga melontarkan hantaran pertama besbol untuk perlawanan kumpulan Lotte Giants, kumpulan tempatan Busan [soompi].

10 Julai 2019 – Tarikh akhir dokumen tambahan untuk perbicaraan bantahan injunksi LM Entertainment.

10 Julai adalah tarikh akhir bagi Daniel dan LM untuk mengemukakan dokumen tambahan untuk perbicaraan bantahan tersebut [soompi].

11 Julai 2019 – Mahkamah menolak bantahan injunksi LM Entertainment 

Bantahan LM terhadap keputusan injunksi ditolak. LM akan  membuat rayuan ke mahkamah tinggi dengan menggunakan bukti baru tambahan yang belum digunakan [soompi].