Everywhere Tour 2018 – Hadiah paling bermakna Winner untuk peminat di Malaysia

Penantian peminat selama empat tahun akhirnya terbayar apabila penganjur MacpiePro berjaya merealisasikan impian mereka dengan membawakan Winner ke Malaysia. Ini merupakan kali pertama Winner berkunjung ke Malaysia sejak debut pada 2014.

Winner yang dianggotai oleh Mino, Seungyoon, Jinwoo dan Hoonie telah memberi kemenangan kepada peminatnya di Malaysia dengan memberikan persembahan yang begitu hebat. Ternyata aura kumpulan ini tidak kurang hebatnya dengan kumpulan K-pop yang lain.

Bertempat di Stadium Malawati pada 14 Oktober lalu, Konsert Winner 2018 Everywhere Tour in Kuala Lumpur dihadiri oleh 6,500 penonton mereka yang dikenali Inner Circle. Keadaan dalam stadium disinari dengan light stick biru serta lampu LED  biru berbentuk bunga ros yang membuatkan kumpulan Winner begitu terharu.

Winner sempat menyanyikan lebih kurang 20 buah lagu termasuk lagu persembahan solo setiap ahli. Antara lagu yang disampaikan adalah  “Empty”, “Really Really”, “Island”, “Love Me Love Me”, “Don’t Flirt” dan beberapa buah lagu lagi. Mereka juga turut menyanyikan beberapa lagu dari album terbaru – “Everyday” yang dikeluarkan April lepas seperti “Everyday”, “La La” dan “Movie Star”. Apa yang mengejutkan, majoriti peminat yang hadir turut ikut serta menyanyi dengan kumpulan kesayangan mereka.

Bagi persembahan solo, Mino mempersembahkan lagu “Body” dan “Turn off the light”, manakala Jinwoo atau Jinu menyanyikan lagu “Untittled”. Vokal utama kumpulan ini, Yoon tidak boleh disangkal lagi. Suaranya cukup mantap saat beliau mendendangkan lagu nyanyian asal John Legend – “All of me” selain turut menyanyikan lagu “It rains” dan “Instinctively” sambil bermain gitar. Hoony yang kini menyertai rancangan realiti tarian “Dancing High” sebagai dance coach turut mempamerkan persembahan dengan tarian yang hebat menerusi lagu “Serenade” dan “Ringa Linga” nyanyian asal Taeyang manakala G-Dragon bertindak sebagai penulis lagu.

Sebagai acara selingan, mereka juga turut berseloroh dan berinteraksi dengan peminat. Antaranya mereka menyatakan yang mereka sangat menyukai Malaysia serta sokongan yang diberikan peminat kepada Winner dan berharap untuk kembali lagi di masa depan. Yoon juga sempat berkongsi mereka sempat menikmati hidangan Malaysia yang menurut mereka sangat  sedap seperti Satay dan nasi lemak. Perkara ini mendapat sorakan hebat dari kalangan peminat. Ketika setiap ahli menyampaikan ucapan masing-masing, Hoony menyatakan ‘Aku Cinta Padamu’ berulang kali sambil Mino turut melakukan beatboxing. Yoon pula memberitahu, “Kami menyediakan skrip ini kerana ingin berkomunikasi dengan anda, jadi jangan ketawa,”. Ini mengingatkan kami dengan penerangan Yoon mengenai ‘Everywhere Tour’, kerana beliau menyatakan Winner ingin mengembara serta menjelajah disetiap tempat untuk bertemu dengan peminat yang selama ini telah menyokong mereka. Pujian harus diberikan kepada Winner kerana mereka kelihatan bersungguh untuk berinteraksi dengan peminat.

Keseluruhannya, Winner memberikan persembahan yang begitu bertenaga sehinggakan penonton terasa bahangnya. Peminat seakan tidak puas menikmati persembahan kumpulan itu dan inginkan ianya diteruskan. Pujian harus diberikan kepada peminat Winner kerana berjaya menunjukkan sikap professional sepanjang konsert ini berlangsung biarpun mereka begitu teruja untuk ikut serta menyanyi dan menari. Tiada jeritan mahupun pekikan yang sepatutnya tidak berlaku, lagi-lagi ketika penyanyi pujaan mereka berinteraksi bersama peminat seperti yang terjadi di konsert iKON 2018 Continue Tour in KL pada hari sebelumnya.

Pujian harus diberikan kepada pihak penganjur kerana berjaya mendatangkan Winner ke Malaysia. Kehadiran Winner ini pastinya meninggalkan kenangan terindah buat para peminat dan kumpulan itu sendiri. Kami mengharapkan agar Winner akan kembali ke Malaysia pada masa depan seperti apa yang diinginkan oleh mereka. Kami juga pasti peminat Winner di sini akan terus menyokong perjalanan seni mereka.

Winner 2018 Everywhere Tour akan meneruskan penjelajahan mereka ke Bangkok, Singapura, Manila dan Jakarta selepas berakhirnya konsert mereka di Malaysia.

Kredit Foto : YG Entertainment

loading...