Pastinya kehangatan persembahan kumpulan iKON masih lagi dirasai oleh para peminat. Tidak dapat dinafikan iKON yang dianggotai oleh tujuh anak muda B.I, Bobby, Jinhwan, June, Yunhyeong, Donghyuk dan Chanwoo berjaya menggegarkan pentas Stadium Malawati pada 13 Oktober lalu dengan persembahan yang penuh pesona, karisma dan bertenaga.
Ini merupakan kali ketiga iKON berkunjung ke Malaysia dan kali terakhir adalah sekitar Ogos lepas. Nah, sambutan yang diberikan tidak pernah menghampakan. Jadi, boleh dikatakan iKON telah membina tapak yang kukuh dikalangan peminat mereka di Malaysia.
Konsert iKON 2018 Continue Tour in Kuala Lumpur, anjuran MacpiePro ini dihadiri seramai 7,000 orang penonton dengan dipenuhi dengan lampu merah berkelipan di dalam stadium. iKON mempersembahan koleksi lagu-lagu hit mereka seperti “BLING BLING”, “Perfect”, “Best Friend”, “My Type”, “Anthem “Love Scenario”, “Killing Me”, dan “Freedom”. Dengan vokal yang meyakinkan, kareografi tarian yang berkarisma, dan personaliti anggota iKON itu sendiri ternyata memukau perhatian segenap penonton.
Mereka juga sempat berseloroh sesama mereka sebagai acara selingan. Bobby sebagai ‘man of the night‘ begitu menyerlah dengan kefasihan beliau berbahasa Inggeris dan berjaya mengemudi komunikasi kumpulan tersebut dengan baik. Manakala Jinhwan sempat menyatakan, “Saya dengar permandangan di negara ini diwaktu malam sangat cantik. Jika saya mempunyai masa, saya ingin menikmatinya diseluruh Malaysia.” Antara lain, mereka begitu teruja untuk kembali ke Malaysia kerana sokongan padu yang ditunjukkan oleh iKONIC Malaysia. Sekali lagi Jihwan berkata,”They (Fans) love us, we (iKON) love them”.
Apa yang membanggakan, iKON buat pertama kalinya menyanyikan lagu terbaru mereka “Goodbye Road” di konsert jelajah mereka di Malaysia. Biarpun lagu berkenaan bermaksud perpisahan, mereka berharap agar iKON dan peminatnya di Malaysia seiring berjalan dilaluan yang penuh keriangan di masa depan. Peminat Malaysia juga sempat menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi buat ketua kumpulan iKON, B.I yang akan menyambutnya pada 22 Oktober depan.
Lagu “Love Scenario” sememangnya menjadi siulan ramai dengan rentak lagunya yang mengasyikkan, jadi tidak hairanlah lagu ini dinyanyikan sebanyak dua kali oleh iKON dan stadium menjadi gamat apabila peminat ikut nyanyi bersama. Apapun, iKON berjaya memberikan persembahan yang terbaik dan pastinya meninggalkan memori terindah kepada para peminat mereka di Malaysia.
Kami mengharapkan agar iKON akan kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia pada masa depan. Tahniah juga diucapkan kepada pihak penganjur MacpiePro kerana telah berjaya merealisasikan konsert ini dengan baik sekali. Selepas konsert jelajah Malaysia, iKON akan meneruskan penjelajahan mereka ke Bangkok, Sydney, Melbourne, Singapura, Manila dan Jakarta.
Kredit Foto : YG Entertainment