Hari yang genting sudah pun kunjung tiba yakni pelakon yang tinggi lampai dan mempunyai lesung pipit ini, Joo Won akan menyertai program khidmat negara bermula esok, 16 Mei 2017. Dia akan menganggotai peringkat ke-3 jabatan ketenteraan di daerah Gangwon.
Joo Won seperti jugak beberapa selebriti sebelum ini, memilih untuk memasuki program ketenteraan secara senyap tanpa mengadakan parti atau pertemuan dengan peminat. Kendatipun begitu, Joo Won tidak meninggalkan kita begitu saja.
Pelakon yang tercalon 3 kali anugerah Best Actor CARI Kdrama Awards ini telah pun menyiapkan drama SBS terbarunya berjudul My Sassy Girl yang digandingkan bersama-sama Oh Yeo Seo. Mengambil tajuk yang sama seperti filemnya, My Sassy Girl mengisahkan percintaan antara Gyun Woo (Joo Won) dan puteri Hyemyung (Oh Yeo Seo) berlatarbelakangkan zaman saeguk Joseon. Tidak banyak maklumat boleh diperkatakan mengenai drama ini, seperti juga filemnya, My Sassy Girl boleh menceritakan tentang keunikan hubungan merpati sejoli ini yang mana ‘keseteruan’ antara mereka akhirnya mendekatkan mereka dengan cinta sejati. Jangan lupa juga drama saeguk tentang Romeo Juliet, Princess’s Man, elemen-elemen tragik mungkin berlaku dalam My Sassy Girl sebagai menguji hubungan cinta mereka. My Sassy Girl akan ditayangkan menjelang 29 Mei 2017 selepas Whisper berakhir. Anda boleh kecapi drama ini dengan melanggan oneHD astro 393.
Penyanyi Boa iaitu kekasih Joo Won pernah memberitahunya sebelum ini, “Program khidmat negara nampak panjang, tapi sebenarnya ia sekejap saja. Dia [BoA] meminta saya supaya terus kekal sihat.”
Terima kasih Joo Won kerana menghidangkan kami dengan pelbagai sisi lakonan berbeza dalam beberapa drama sebelum ini terutamanya Good Doctor dan Gaksital. Kami tak sabar menantikan SBS My Sassy Girl 29 Mei ini. Jumpa lagi dua tahun kemudian.
Sumber: nate , OSEN