Ada Apa Dengan “I Can See Your Voice”?

Pertama kali membaca tajuk artikel ini, mungkin ada yang keliru kerana tajuknya hampir sama dengan drama hit Korea tahun 2013 “I Can Hear Your Voice” lakonan Lee Jeong Suk dan Lee Bo Young. Apa yang pasti, debaran yang dirasakan ketika menonton drama tersebut pasti akan turut sama dirasai tatkala menonton rancangan hiburan terbitan CJ E&M ini. Mengangkat persoalan “adakah suara boleh ‘dilihat’?, “I Can See Your Voice” (ICSYV) mula bersiaran di saluran Mnet sejak tahun 2015 dan semakin mendapat tempat di hati para peminat program hiburan Korea sehingga pernah disiarkan di saluran tv9 Malaysia.

Muncul dengan musim keempat mulai Mac lalu, ICSYV menjanjikan lebih aksi dan kejutan dengan barisan artis jemputan yang hebat, persembahan peserta yang memukau dan perubahan format seiring dengan kehendak penonton. Untuk pembaca yang belum pernah menyaksikan ICSYV, jom kita kenal serba-sedikit mengenai program ini!

Format Program

Setiap episod akan menampilkan sekumpulan peserta yang terdiri daripada orang awam (kebiasaannya 6-7 orang) di mana sebahagian mereka boleh menyanyi dengan baik (“skilled vocalist”) dan sebahagian yang lain pekak nada (“tone-deaf”). Menariknya, pembahagian bilangan peserta di antara yang boleh menyanyi dan pekak nada adalah tidak tetap dan dirahsiakan. Dengan bantuan sekumpulan detektif pekak nada, penyanyi professional yang dijemput pada minggu tersebut akan membuat keputusan untuk menyingkirkan peserta yang dirasakannya pekak nada berdasarkan klu yang diberikan tanpa mendengar suara nyanyian mereka.

Setelah disingkirkan, barulah peserta itu akan menyanyi untuk membuktikan sama ada mereka sebenarnya bersuara emas ataupun sememangnya pekak nada. Pada akhir rancangan, sekiranya artis jemputan tersebut berjaya memilih peserta yang pandai menyayi, lagu duet mereka akan diterbitkan sebagai ‘digital single’. Sebaliknya, jika peserta pekak nada yang menjadi pilihan terakhir artis jemputan itu, peserta tersebut dianggap berjaya menipu semua orang dan akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai 5 juta Won. Pendek kata setiap peserta memang ada tujuan untuk menang tidak kira sama ada dia bersuara merdu ataupun tidak.

Bagaimanakah peserta disingkirkan (Musim pertama hingga ketiga)?

Seorang demi seorang peserta akan disingkirkan melalui tiga peringkat penyingkiran:

Peringkat pertama

Artis jemputan akan menyingkirkan peserta yang dirasakannya pekak nada berdasarkan visual peserta seperti bentuk fizikal mereka, cara peserta memegang mikrofon, gaya peserta atau video peserta menyanyi yang telah disenyapkan audionya.

Peringkat kedua

Artis jemputan akan menilai aksi ‘lip-sync’ para peserta untuk lagu yang telah direkodkan lebih awal. Sekiranya peserta tersebut pandai menyanyi, perserta terbabit akan membuat ‘lip-sync’ suaranya sendiri. Sebaliknya, peserta pekak nada akan ‘lip-sync’ nyanyian orang lain.

Peringkat ketiga

Para peserta akan mengemukakan bukti yang menunjukkan mereka pandai menyanyi. Contohnya, gambar ketika mereka membuat persembahan. Bunyi macam senang kan? Tapi jangan tertipu kerana pihak produksi ICSYV mempunyai 1001 muslihat nakal untuk menipu dan mengelirukan artis jemputan dan para penonton.

Musim Keempat Lebih Mencabar

Musim keempat tampil berbeza dengan beberapa kelainan termasuklah perubahan format pada setiap peringkat penyingkiran. Antaranya pada pusingan pertama, peserta akan mengelirukan penonton dengan dua identiti yang berbeza di mana hanya salah satu daripada identiti tersebut adalah betul. Dalam pusingan kedua, penonton akan disajikan dengan aksi ‘lip-sync’ daripada bukan hanya peserta, tetapi juga seorang lagi individu lain. Pusingan ketiga pula menyaksikan keupayaan detektif pekak nada untuk bertindak sebagai peguambela bagi meyakinkan semua orang bahawa peserta mereka sememangnya pandai penyanyi dan harus dipilih sebagai peserta duet yang terakhir.

Trivia ICSYV

  1. Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Bogoshipda’, Kim Bum Soo, merupakan artis jemputan pertama untuk rancangan ini dan turut menjadi pengacara selama tiga musim berturut-turut bersama-sama dengan Yoo Se Yoon dan Leeteuk (Super Junior).
  2. Penyanyi yang terkenal dengan gelaran ‘Spartakook’, iaitu Kim Joong Kook telah menggantikan tempat Kim Bum Soo sebagai pengacara ICSYV musim keempat. Yoo Se Yoon dan Lee Teuk masih kekal mengacara.
  3. Kim Tae Woo (kumpulan g.o.d.) merupakan satu-satunya penyanyi jemputan yang muncul sebanyak dua kali dalam ICSYV setakat ini.
  4. Abang kandung Yuri (ahli Girl’s Generation) juga pernah muncul sebagai salah seorang peserta.
  5. ICSYV turut diangkat formatnya di beberapa negara seperti China, Thailand, Indonesia, Bulgaria dan Vietnam.

 

Episod pilihan penulis:

Musim pertama: Episod 3 (Yoon Min Soo), episod 4 (Kim Tae Woo) dan episode 6 (Kim Yeon Woo)

Musim kedua: Episod 4 (K. Will) dan episod 6 (Hwanhee)

Musim ketiga: Episod 2 (Choi Min Soo), episod 4 (Kim Yoon Ah) dan episod 9 (Nickhun, Wooyoung dan Jun.K daripada 2PM)

Musim keempat (setakat episod 5): Episod 1 (Kim Joong Kook) dan episod 2 (Haha dan Skull)

Kepada yang belum pernah menonton rancangan ini, jangan ketinggalan untuk menyaksikannya!

loading...