Drama akan datang “Positively Yours” terus mencuri perhatian selepas pasukan produksi mengesahkan perubahan barisan pelakon susulan kontroversi melibatkan Yoon Ji On.
Pada 18 September lalu, pasukan produksi mengeluarkan kenyataan rasmi, “Kami merancang untuk merakam semula babak-babak yang melibatkan Yoon Ji On. Kami kini sedang mencari pelakon untuk menggantikan watak yang dibawanya.” Kenyataan itu hadir sehari selepas laporan media mendedahkan bahawa Yoon Ji On telah dikenakan pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, sekali gus membawa kepada pengundurannya daripada drama yang sudah pun dalam fasa penggambaran.
Beberapa hari kemudian, pada 22 September, terjawab sudah persoalan tersebut apabila agensi SECRET ENT mengesahkan bahawa Hong Jong Hyun akan menyertai drama ini sebagai Lee Min Wook, menggantikan Yoon Ji On. Watak Lee Min Wook merupakan rakan zaman kanak-kanak kepada heroin Jang Hee Won, sekali gus membentuk cinta tiga segi bersama Kang Doo Joon.
Diadaptasi daripada webtoon popular, “Positively Yours” mengisahkan akibat tidak dijangka daripada hubungan satu malam antara seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berikrar untuk tidak berkahwin. Drama ini menampilkan Choi Jin Hyuk sebagai hero Kang Doo Joon, manakala Oh Yeon Seo memegang watak heroin Jang Hee Won. Kehadiran Hong Jong Hyun sebagai Lee Min Wook dijangka menambah lapisan emosi dan konflik romantis dalam jalan cerita.
“Positively Yours” dijadualkan tayangan pada separuh pertama tahun 2026 di Channel A. Nantikan bagaimana gabungan bintang ini membawa naskhah webtoon popular ke skrin kecil!