Taeseon & Wooyeop TRCNG saman agensi sendiri kerana tak tahan didera teruk berbulan-bulan

Wooyeop dan Taeseon telah mengambil tindakan untuk menyaman TS Entertainment di atas sabitan penderaan kanak-kanak.

Menurut laporan TV Daily, peguam yang mewakili kedua-duanya dipetik berkata, “Pada 4 November 2019, Taeson dan Wooyeop telah menghantar surat untuk menamatkan kontrak bersama TS Entertainment serta-merta. Mereka juga telah mengadu Park Sang Hyun dan dua orang yang lain kepada pihak polis Seoul di atas perbuatan mendera kanak-kanak.”

Alasan di atas penamatan kontrak berkenaan adalah kerana pengurusan yang lemah, selain penderaan yang dilakukan oleh pereka tari Park Sang Hyun dan Yoon. Berdasarkan kenyataan kedua-duanya, Park Sang Hyun telah memaksa mereka berlatih koreografi tanpa tidur yang mencukupi, menyebabkan mereka seringkali terlepas ke sekolah yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam untuk berulang-alik. Kadangkala, Park Sang Hyun akan memukul mereka berulang-ulang kali dengan agensi tidak mengambil sebarang pun tindakan untuk memperbetulkannya. Kemudian, ahli-ahli juga dipaksa tinggal di asmara yang tak dilengkapi dengan kelengkapan hidup seperti penyediaan makan, sumber air serta bil elektrik yang tak berbayar selama berbulan-bulan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk menampung hidup.

Wooyeop menceritakan dengan lebih lanjut tentang penderitaan yang dialaminya, yang mana dia pernah dihempuk dengan kerusi besi pada 10 Jun lalu oleh Yoon, dan terpaksa digegaskan ke hospital sendirian.  Wooyeop terlantar di hospital selama 14 hari tanpa menerima bantuan langsung daripada labelnya. Bagaimanapun, sebaik saja dia dibebaskan dari hospital, pengurus memaklumkan dia tak pernah pun sakit, tetapi sebaliknya menuduhnya berdusta kerana telah keluar berfoya-foya dengan perempuan. Malah, mereka juga telah merampas sebanyak 1,200,000 KRW (~RM4273) daripadanya.

Manakala, Taeseon pula menyaman disebabkan tanggungjawabnya sebagai ketua kumpulan TRCNG dan mendakwa pernah dipukul di kepalanya serta dimaki berkali-kali. Taeseon juga mendakwa pernah menyaksikan Wooyeop dihempuk dengan kerusi besi dengan matanya sendiri.Sekiranya label TS Entertainment didapati bersalah, agensi itu akan didakwa kerana telah melanggar Akta Kebajikan Kanak-Kanak di mana seseorang yang berkuasa sebagai penjaga mesti melindungi kanak-kanak di bawah 18 tahun di atas sebarang penderaan dan mengecualinya daripada bekerja.

Ia bukan sesuatu yang baru buat TS Entertainment apabila BAP pernah cuba untuk menyaman agensi itu pada tahun 2014 kerana tidak menerima bayaran mencukupi akibat ‘kontrak perhambaan’ ditandatangani oleh mereka. BAP akhirnya terbubar sendiri awal tahun ini juga apabila kesemua ahli-ahli mereka tidak termasuk Bang Yong Guk dan Zelo yang meninggalkan kumpulan itu lebih awal, memutuskan untuk tidak lagi menyambung kontrak bersama TS Entertainment.

Sumber: tvdaily

loading...