KUALA LUMPUR – Penantian panjang akhirnya terubat apabila legenda K-pop generasi kedua, Apink, kembali mengadakan konsert di Malaysia menerusi jelajah ulang tahun ke-15 mereka, [The Origin: APINK], yang berlangsung meriah di Mega Star Arena pada 2 Mei lalu.
Sudah lapan tahun sejak kali terakhir Apink bertemu peminat Malaysia, dan ternyata malam tersebut penuh dengan emosi, nostalgia serta air mata buat Malaysian Panda yang setia menyokong mereka sejak debut pada tahun 2011.
Dianggotai oleh Chorong, Bomi, Eunji, Namjoo dan Hayoung, Apink membuktikan mereka masih relevan dan kekal kuat sebagai antara kumpulan wanita K-pop paling berpengaruh sehingga hari ini, walaupun industri K-pop kini dipenuhi kumpulan generasi baharu.
Konsert dimulakan dengan lagu-lagu ikonik era “pure concept” yang cukup sinonim dengan Apink. Sebaik sahaja lagu NoNoNo, BUBIBU dan MY MY dimainkan, seluruh arena terus bertukar menjadi lautan merah jambu dengan peminat menyanyi bersama tanpa henti.

Walaupun sudah memasuki tahun ke-15 dalam industri, vokal dan tenaga Apink masih mantap seperti dahulu. Aura mereka di atas pentas jelas membuktikan mengapa nama Apink masih kekal disayangi peminat K-pop sehingga kini.
Antara momen paling menarik malam itu tentunya apabila Apink tampil dengan sisi berbeza menerusi alter ego mereka, “A-Green”. Meninggalkan imej comel yang pernah menjadi identiti mereka, kumpulan itu tampil lebih matang dan ‘girl crush’ menerusi persembahan penuh karisma lagu Mirotic nyanyian TVXQ.
Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Fizzy Soda dan I’m So Sick, yang membuatkan arena semakin ‘panas’ dengan sorakan peminat.


Tidak lengkap rasanya konsert K-pop tanpa interaksi manis bersama peminat tempatan. Apink nyata berjaya mencuri hati Malaysian Panda apabila beberapa kali bercakap dalam Bahasa Melayu seperti “Apa khabar”, “Hebat”, “Sudah makan ke belum” dan yang paling banyak disebut malam itu — “Janji”.
Perkataan “Janji” ternyata menjadi simbolik paling menyentuh hati sepanjang konsert apabila para anggota Apink mengakui mereka berasa bersalah kerana mengambil masa terlalu lama untuk kembali ke Malaysia selepas lapan tahun.
Momen paling emosional pula berlaku ketika sesi encore apabila video tribute khas daripada peminat Malaysia ditayangkan di skrin besar arena. Video tersebut memaparkan perjalanan 15 tahun Apink bersama peminat dan berjaya membuat beberapa anggota menitiskan air mata.
Eunji paling tidak dapat menahan sebak apabila dilihat menangis di atas pentas sambil berterima kasih kepada peminat yang terus setia menyokong mereka selama ini.

Sebelum mengakhiri persembahan, Apink berjanji mereka akan kembali semula ke Malaysia pada masa akan datang. Lagu Up To The Sky menjadi penutup sempurna buat malam penuh kenangan itu, sekali gus meninggalkan memori manis buat semua Malaysian Panda yang hadir.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok , Thread dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video THE ORIGIN : APINK 2026 – 8th CONCERT TOUR IIN KUALA LUMPUR dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.


