Evan Dedah Pernah Hidap Kanser Ketika Kanak-Kanak, Kenang Saat ‘Saya Sangat Mahu Hidup’

Evan, yang sebelum ini dikenali sebagai Heeseung ketika bersama ENHYPEN, mendedahkan buat pertama kalinya bahawa dia pernah menghidap kanser ketika masih kanak-kanak.

Dalam temu bual bersama Weverse Magazine, penyanyi yang kini meneruskan kerjaya sebagai artis solo itu berkongsi pengalaman sukar yang dilaluinya ketika berusia sekitar 10 tahun.

Evan mendedahkan bahawa dia didiagnosis menghidap limfoma malignan ketika berada di darjah empat.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bercakap tentang perkara ini. Saya tidak pernah membincangkannya sejak menjadi penyanyi, tetapi ketika darjah empat, saya didiagnosis menghidap limfoma malignan.”

Menurut Evan, dia pada mulanya menyangka batuk yang dialaminya hanyalah selesema. Namun, ketika sedang bermain bola sepak, dia tiba-tiba mengalami kesukaran untuk bernafas selepas hanya berjalan beberapa langkah.

“Saya terus batuk dan pada mulanya hanya fikir ia selesema. Tetapi ketika bermain bola sepak, saya berjalan empat atau lima langkah dan tiba-tiba tidak dapat bernafas. Selepas pergi ke hospital, barulah saya mengetahui bahawa ia adalah kanser.”

‘Saya mahu kelihatan kuat untuk ibu’

Evan mengakui proses rawatan yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah. Namun, melihat ibunya yang sentiasa berada di sisinya membuatkan dia mahu kelihatan kuat.

“Apabila hospital mengadakan acara seperti persembahan bakat untuk pesakit, saya akan bermain gitar dan malah menjadi pengacara. Saya sudah bermimpi untuk menjadi penyanyi sejak berusia enam tahun, tetapi ketika itu saya tidak mempunyai ruang untuk memikirkan perkara tersebut.”

Lebih menyentuh hati, Evan turut berkongsi bahawa dia menyaksikan beberapa rakannya meninggal dunia ketika mereka sama-sama menjalani rawatan di hospital.

“Saya melihat rakan-rakan saya meninggal dunia dan terus berfikir, ‘Saya sangat mahu hidup. Saya mahu pulang ke rumah.’”

Selepas menjalani kemoterapi dan rawatan, Evan berjaya meneruskan kehidupannya. Namun, kembali kepada kehidupan normal bukan sesuatu yang mudah.

Dia berkata tenaganya jauh berkurangan dan rambutnya yang masih tumbuh semula selepas kemoterapi menyebabkan dia sering diejek oleh rakan-rakan.

“Kawan-kawan akan berkata, ‘Apa benda itu, rumput? Kau macam sami.’ Tetapi saya hanya menerimanya kerana saya mahu menyesuaikan diri.”

Apabila memasuki sekolah menengah, Evan menyedari dirinya sudah tidak seceria dan seaktif dahulu.

“Saya menjadi lebih introvert. Saya sudah lama tidak memikirkan perkara itu. Sakit rasanya untuk mengingatinya semula.”

Pengalaman hidup menjadi sebahagian daripada muzik Evan

Kini, pengalaman yang pernah dilaluinya itu turut menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik Evan sebagai artis solo.

Dia bakal melancarkan mini album solo pertamanya, Death of Me, pada 7 September. Menurut Evan, muzik di bawah nama baharunya itu turut membawa mesej tentang harapan dan meneruskan kehidupan walaupun pernah melalui saat paling sukar.

Salah satu lagu dalam mini album tersebut, “Noise”, membawa mesej supaya tidak berputus asa.

“Saya mahu menggunakan permulaan muzik saya di bawah nama Evan untuk memberitahu orang bahawa hari-hari yang baik akhirnya akan tiba.”

Bagi lagu utama Death of Me pula, Evan berkata mesej bahawa segala-galanya bukanlah berakhir di situ datang daripada pengalaman peribadinya sendiri.

“Apabila saya menyanyikan ‘this ain’t the death of me’, ia datang daripada pengalaman pernah berada di ambang kematian sendiri.”

“Tidak kira sejauh mana saya jatuh, berulang kali saya merasakan bahawa ia bukanlah pengakhiran. Saya berharap EVER mendengar mesej itu dan menemui sedikit harapan daripadanya.”

Evan turut pernah berkongsi tentang ADHD

Pendedahan mengenai pengalaman kanser ini bukan kali pertama Evan berkongsi sisi peribadinya secara terbuka sejak memulakan kerjaya solo.

Pada Julai lalu, ketika muncul sebagai tetamu dalam rancangan YouTube Cho Hyun Ah’s Ordinary Thursday Night, Evan secara spontan mendedahkan bahawa dia mempunyai ADHD ketika mereka berbual mengenai peralatan audio. 

Pendedahan tersebut dibuat secara bersahaja ketika Evan berkongsi tentang kebimbangannya terhadap pembesar suara yang terdedah, sebelum Cho Hyun Ah turut berkongsi bahawa dia mempunyai ADHD.

Dalam temu bual sama bersama Weverse Magazine, Evan turut berkongsi tentang keinginannya untuk menghasilkan muzik sendiri dan memperlihatkan sisi dirinya sebagai seorang artis.

“Saya perlu mencipta sesuatu dan saya mahu menghasilkan muzik walau apa pun yang berlaku. Saya benar-benar mempunyai keinginan yang kuat.”

Menurutnya, sebagai seorang artis, dia mahu menghasilkan muzik sendiri dan bukan sekadar berkongsi lagu, tetapi turut menawarkan sesuatu yang lebih visual kepada pendengar.

Evan juga menyentuh tentang lagu “Immature”, yang menggambarkan sisi dirinya yang pernah cuba disembunyikan kerana merasakan dirinya masih mempunyai banyak kekurangan.

“Namun, tiba masanya saya perlu menghadapinya secara terus. Selepas saya benar-benar mengakui kepada diri sendiri bahawa ada bahagian dalam diri saya yang masih belum cukup baik, pemikiran itu mula menjadi sesuatu yang semula jadi bagi saya.”

“Saya masih perlu memperbaiki perkara-perkara itu. Tetapi tiada siapa di dunia ini yang benar-benar sempurna.”

Bagi Evan, menerima diri sendiri dengan segala kekurangan merupakan sebahagian daripada proses untuk terus berkembang.

“Agak melegakan apabila kita menerima diri sendiri seadanya. Kita akan rasa jauh lebih baik apabila kita boleh berkata, ‘Ya, masih banyak yang perlu saya perbaiki.’”

Pendedahan mengenai ADHD sebelum ini, diikuti perkongsian mengenai pengalaman kansernya, menunjukkan bahawa Evan kini semakin terbuka untuk berkongsi sisi peribadi dirinya kepada peminat. Dalam fasa baharunya sebagai artis solo, dia bukan sahaja memperkenalkan muziknya, tetapi turut membawa pengalaman, perjuangan dan sisi dirinya yang sebelum ini jarang dikongsikan secara terbuka.

Dan mungkin, melalui muziknya, Evan kini mahu mengubah pengalaman paling sukar dalam hidupnya menjadi sesuatu yang boleh memberikan harapan kepada orang lain.

Sumber : 1 | 2