KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2026: Selepas sekian lama menantikan kehadiran mereka, ribuan peminat akhirnya berpeluang bertemu semula dengan kumpulan K-pop popular, T-ARA, menerusi T-ARA FAN-CON IN MALAYSIA 2026 [SUMMER AGAIN] yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Malam tersebut dipenuhi dengan persembahan lagu-lagu popular T-ARA, nostalgia serta pelbagai momen menarik bersama QUEENS Malaysia yang hadir untuk menyambut kepulangan kumpulan kesayangan mereka.
Suasana mula terasa semakin meriah apabila lagu “Sugar Free” dimainkan sebagai muzik latar sebelum T-ARA muncul di atas pentas dengan persembahan “No.9”.
Tidak berhenti di situ, T-ARA kemudiannya membawakan beberapa lagu popular yang sememangnya sudah cukup dekat di hati para peminat seperti “Lies”, “Sexy Love”, “Bo Peep Bo Peep”, “I Go Crazy Because of You”, “Falling U”, “Roly-Poly” dan “So Crazy”.
Deretan lagu tersebut pastinya mengembalikan pelbagai kenangan lama buat QUEENS yang sudah mengikuti perjalanan muzik T-ARA sejak sekian lama.
Bukan sahaja menghiburkan peminat menerusi persembahan, anggota T-ARA turut mencuri perhatian apabila cuba berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu.
Antara ungkapan yang disebut oleh mereka termasuk “Rindu korang”, “Memang best” dan “Sayang korang”.
Ternyata usaha T-ARA untuk bertutur dalam Bahasa Melayu mendapat sambutan hangat daripada QUEENS yang tidak henti-henti memberikan sorakan kepada mereka.
Segmen “Lucky Queens: Complete Our Hearts” turut menjadi antara bahagian yang dinanti-nantikan apabila beberapa peminat bertuah diberi peluang untuk berinteraksi dengan anggota T-ARA menerusi skrin besar.
T-ARA dan QUEENS turut berkongsi momen spontan dengan membuat simbol hati bersama-sama, sekali gus mencetuskan suasana yang cukup meriah di dalam arena.
Antara momen yang paling mencuri perhatian adalah apabila Hyomin berkongsi aksi “air kiss” bersama seorang peminat wanita menerusi skrin besar.
Aksi tersebut ternyata membuatkan suasana di dalam arena semakin gamat dengan sorakan para peminat.
Tidak lengkap sebuah fan-con tanpa aktiviti bersama peminat.
Menerusi segmen “Fans Dance Challenge”, para QUEENS yang berada di kawasan penonton turut mengambil peluang untuk menari bersama-sama. Apa yang menarik, sebahagian daripada mereka secara tiba-tiba muncul di skrin besar ketika sedang menari.
Aksi spontan para peminat ini mengundang gelak tawa dan sorakan daripada seluruh arena, sekali gus menjadikan segmen tersebut antara momen paling menyeronokkan sepanjang malam.
Satu lagi momen yang cukup istimewa berlaku menerusi segmen Fanbase Video and Photo Time.
T-ARA berkesempatan menonton video khas yang disediakan oleh fanbase mereka sebelum meluangkan masa bersama para peminat untuk sesi bergambar secara berkumpulan.
Sesi tersebut memberikan peluang kepada T-ARA dan QUEENS untuk mengabadikan kenangan bersama, menjadikan pertemuan semula di Malaysia ini lebih bermakna.
Selain muzik dan hiburan, T-ARA FAN-CON IN MALAYSIA 2026 [SUMMER AGAIN] turut membawa mesej positif menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat atau CSR yang dijalankan oleh pihak penganjur.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, kanak-kanak dari sebuah rumah anak yatim tempatan telah dijemput untuk menghadiri fan-con berkenaan.
Mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman menyaksikan persembahan K-pop secara langsung serta menikmati suasana meriah bersama para peminat T-ARA.
Menurut pihak penganjur, usaha ini bukan sekadar memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut untuk menonton sebuah persembahan, tetapi turut bertujuan mencipta kenangan indah yang boleh mereka simpan sebagai pengalaman bermakna.
Melalui muzik, hiburan dan suasana positif yang dikongsi bersama, inisiatif tersebut diharap dapat memberikan satu pengalaman yang menggembirakan kepada mereka.
Pihak penganjur turut berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan menjadikan acara hiburan dan persembahan secara langsung sebagai salah satu platform untuk memberi kembali kepada komuniti.
Secara keseluruhannya, T-ARA FAN-CON IN MALAYSIA 2026 [SUMMER AGAIN] bukan sekadar sebuah fan-con, tetapi menjadi satu malam yang penuh dengan muzik, nostalgia dan momen istimewa antara T-ARA dan QUEENS Malaysia.
Selepas sekian lama menantikan kepulangan mereka, malam tersebut pastinya meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat para QUEENS yang hadir dan akhirnya dapat mencipta lebih banyak memori bersama T-ARA di Malaysia.
Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada T-Rex Studio Sdn Bhd atas peluang yang diberikan kepada KMania untuk merakam dan berkongsi momen indah sepanjang berlangsungnya T-ARA FAN-CON IN MALAYSIA 2026 [SUMMER AGAIN.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video T-ARA FAN-CON IN MALAYSIA 2026 [SUMMER AGAIN] dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.








