Bekas Navy SEAL, Atlet Profesional, Selebriti & YouTuber Bakal Bersaing Dalam “Deadly Tag”, Siri Survival Baharu Eksklusif di Disney+

Siri survival ekstrem terbaharu ini menandakan kemunculan sulung penerbit “Bloody Game”, Hyun Jeongwan, di platform penstriman

Disney+ hari ini mengumumkan bahawa penerbit terkenal Hyun Jeongwan bakal membuat kemunculan sulungnya di platform penstriman menerusi siri survival unik “Deadly Tag”, yang akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ pada penghujung tahun ini.

Siri terbaharu ini menyaksikan peserta dari seluruh Korea, termasuk bekas anggota Navy SEAL, atlet profesional, YouTuber, pelakon dan bintang rancangan realiti, bersaing dalam pelbagai cabaran fizikal dan mental.

Selain kekuatan fizikal dan ketahanan mental, para peserta turut menggunakan strategi peperangan psikologi untuk mendapatkan kelebihan dan bertahan sehingga akhir pertandingan.

Dikenali menerusi “Bloody Game” serta pelbagai adaptasi antarabangsa rancangan tersebut, penerbit Hyun Jeongwan akan bekerjasama dengan penerbit Sohn Taeho dan Kim Jihyeong menerusi “Deadly Tag” bagi menghasilkan projek mereka yang paling besar setakat ini.

Menjanjikan skala yang lebih besar, siri ini akan menggunakan bangunan terbiar, lokasi imersif dan pelbagai elemen lain untuk menguji para peserta, selain memberikan kejutan serta situasi tidak dijangka kepada penonton pada setiap pusingan.

“Deadly Tag” merupakan antara rancangan varieti terbaharu yang bakal ditayangkan di Disney+.

Peminat rancangan survival dan siri Korea boleh melanggan Disney+ untuk menyaksikan “Battle of Fates”, sebuah pertandingan realiti supernatural yang mempertemukan 49 pembaca nasib; “I Am Boxer”, rancangan realiti yang menampilkan 90 peserta bercita-cita menjadi ikon tinju Korea seterusnya; serta “The Zone: Survival Mission” yang dibintangi Yu Jaeseok, Kwon Yuri, Dex dan Kim Donghyun, ketika mereka berusaha untuk bertahan dalam siri cabaran yang semakin mencuit hati.

Pelbagai lagi karya asli APAC turut tersedia untuk ditonton di platform tersebut.

“Deadly Tag” akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+. Nantikan maklumat lanjut mengenai siri survival terbaharu ini tidak lama lagi.