Pelakon Moon Geun Young, kini sah bergelar isteri selepas mengumumkan sendiri berita perkahwinannya menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dimuat naik di media sosial.
Pada 29 Julai, media Korea melaporkan bahawa Moon Geun Young telah mendirikan rumah tangga bersama pelakon teater muzikal Jeong Pyeong, yang dikatakan telah lama menjalin hubungan dengannya.
Mengulas laporan tersebut, agensi Moon Geun Young mengesahkan bahawa pasangan itu baru-baru ini telah berkahwin. Bagaimanapun, mereka memilih untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran, sebaliknya hanya mengadakan satu majlis makan malam yang sederhana bersama ahli keluarga terdekat.
Tidak lama selepas berita itu tersebar, Moon Geun Young sendiri berkongsi khabar gembira tersebut menerusi media sosial dengan memuat naik sekeping foto surat tulisan tangan yang ditujukan khas kepada para peminat.
“Saya ada berita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua, sebab itu saya menulis surat ini.
Saya telah memutuskan untuk berkahwin.”
Dalam surat tersebut, Moon Geun Young meluahkan rasa syukur kerana akhirnya bertemu insan yang ingin menemaninya mengharungi setiap detik kehidupan.
“Saya telah bertemu seseorang yang ingin saya lalui bersama jalan yang sebelum ini saya tempuh seorang diri, seseorang yang ingin saya kongsi segala kerisauan yang dahulu saya tanggung sendirian, serta seseorang yang mampu membuatkan kami saling tersenyum walaupun atas perkara-perkara kecil.”
Beliau turut berharap agar para peminat dapat memberikan restu dan sokongan terhadap fasa baharu dalam kehidupannya.
“Daripada rasa bimbang atau risau, saya berharap anda semua dapat mengucapkan tahniah dan memberi sokongan kepada kami. Sebagai balasan atas segala sokongan yang diberikan selama ini, saya akan terus berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.”
Moon Geun Young turut merakamkan penghargaan kepada para peminat atas kasih sayang yang diterimanya selama ini dan berjanji akan kembali dengan karya-karya yang lebih baik pada masa hadapan.
View this post on Instagram
Jeong Pyeong, yang tujuh tahun lebih berusia daripada Moon Geun Young, merupakan seorang pelakon teater muzikal yang aktif sejak 2007. Menurut laporan media Korea, pasangan itu berkenalan ketika sama-sama menyertai kumpulan kreatif Bachi, selain pernah bekerjasama menerusi filem pendek The Stage (2022), yang ditulis dan diarahkan sendiri oleh Moon Geun Young.
Moon Geun Young pula memulakan kerjaya lakonan sejak kecil sebelum mencipta nama menerusi drama popular Autumn in My Heart, sekali gus mendapat gelaran “Nation’s Little Sister.” Sepanjang kerjayanya, beliau membintangi pelbagai karya terkenal termasuk My Little Bride, Painter of the Wind, Cinderella’s Sister dan terbaharu, musim kedua siri Netflix Hellbound.
Tahniah diucapkan kepada Moon Geun Young dan Jeong Pyeong atas perkahwinan mereka!


