Semakin hampir dengan tayangan perdana, drama baharu tvN ‘My Bias, My Boss’ mula mencuri perhatian apabila memperkenalkan kumpulan idola fiksyen D.N.X menerusi siri foto konsep terbaharu.
Drama adaptasi webtoon ini mengisahkan Nam Da Reum (Kim Hye Joon), seorang peminat tegar yang sanggup menyertai syarikat hiburan Apello demi berada lebih dekat dengan idola kesayangannya, Lee Chan (Cha Woo Min). Namun, impian tersebut bertukar menjadi kisah yang lebih rumit apabila dia mula terjerat dalam hubungan cinta bersama Lee Chan dan CEO syarikat itu, Kang Ha Gi (Kang Hoon).
Dalam drama ini, D.N.X atau ‘Destiny Never X’ merupakan kumpulan idola lima anggota yang pernah mencipta fenomena sebaik sahaja membuat debut pada tahun 2015. Selain Cha Woo Min sebagai Lee Chan, kumpulan itu turut dianggotai Hyunsuk CIX sebagai ketua kumpulan Hyuk, Baekseung EPEX sebagai vokalis utama Tae Oh, Chun Woo Jin sebagai ahli termuda Roy dan Jung Hyun Min sebagai rapper Jinu.
Walaupun dalam dunia drama D.N.X sudah lama tidak membuat kemunculan semula atas sebab yang masih menjadi misteri, kumpulan itu kekal mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat. Lee Chan juga digambarkan sebagai ahli paling popular, menjadikan nama D.N.X terus disebut-sebut walaupun mereka tidak lagi aktif.
Foto konsep yang dikongsikan mempamerkan aura setiap anggota dengan gaya yang menyerlahkan identiti mereka sebagai sebuah kumpulan idola popular. Penampilan kelima-lima pelakon itu turut membuatkan ramai penonton tidak sabar untuk melihat keserasian mereka di skrin.



‘My Bias, My Boss’ bakal menemui penonton bermula 3 Ogos.
Sumber: 1

