Netflix bakal menghiburkan penonton dengan siri komedi romantik terbaharu, Our Sticky Love, yang akan mula distrim pada 7 Ogos. Menggabungkan elemen enemies-to-lovers, misteri dan sentuhan nostalgia, drama ini menjanjikan kisah cinta yang menghangatkan hati menerusi gandingan pertama Jung Hae In dan Ha Young.
Drama ini mengisahkan Go Eun-sae (Ha Young), seorang pendakwa raya yang kehilangan ingatan selepas terlibat dalam satu insiden. Apabila dia tersedar di sebuah hospital di pekan kecil Taffy Village di Gujin-gun, Eun-sae langsung tidak mengingati siapa dirinya. Lebih mengejutkan, seorang jurulatih tinju bernama Jang Tae-ha (Jung Hae In) muncul dan dengan tenang mendakwa dirinya ialah teman lelaki Eun-sae.
Tanpa sebarang ingatan tentang masa lalunya, tiada cara untuk membuktikan identitinya dan hanya bergantung kepada Tae-ha sebagai satu-satunya petunjuk, Eun-sae akhirnya tinggal bersama lelaki itu. Hubungan yang bermula dalam keadaan janggal perlahan-lahan berkembang menjadi kisah cinta yang manis dan menghiburkan, disulami pelbagai situasi lucu serta misteri yang menanti untuk dirungkai.
Pengarah Kim Jang Han menyifatkan Our Sticky Love sebagai sebuah komedi romantik yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membuatkan penonton berasa selesa ketika menontonnya.
“Ia merupakan kisah tentang bagaimana cinta mengikat dua insan seerat gula-gula taffy tradisional Korea yang melekit dan manis. Daya tarikannya akan membuatkan penonton terus terpikat, sama seperti taffy Korea yang melekat sebelum kita sedar,” katanya.
Turut didedahkan ialah poster teaser yang memperlihatkan Jang Tae Ha dan Go Eun Sae berdiri bersebelahan di perkampungan Gujin yang tenang. Senyuman santai Tae Ha jelas bertentangan dengan wajah Eun Sae yang masih keliru, sekali gus mengundang persoalan tentang hubungan sebenar antara mereka. Tagline “No past, no proof. He’s my only clue!” (“Tiada masa lalu, tiada bukti. Dialah satu-satunya petunjukku!”) pula mengisyaratkan misteri yang bakal menjadi nadi utama jalan cerita.

Treler utama yang didedahkan turut memberikan gambaran awal tentang permulaan hubungan Eun-sae dan Tae-ha. Penampilan Tae-ha yang sederhana nyata jauh berbeza daripada lelaki idaman Eun-sae, manakala suasana pekan kecil yang dipenuhi kedai taffy tradisional serta penduduknya yang unik membuatkan dia berasa asing dan sukar menyesuaikan diri.
Masih keliru dengan keadaan sekeliling, Eun-sae sukar mempercayai setiap kata-kata Tae-ha yang mendakwa dirinya ialah teman lelakinya. Namun, sikap penyayang dan keprihatinan lelaki itu sedikit demi sedikit mula meruntuhkan tembok pertahanannya. Tanpa disedari, Eun-sae semakin selesa berada di sisi Tae-ha dan hubungan mereka mula berkembang menjadi sesuatu yang lebih istimewa.
Bagaimanapun, ketika hubungan mereka semakin rapat, Tae-ha memberi amaran bahawa tiada sesiapa boleh mengetahui tentang mereka. Amaran itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai rahsia yang disembunyikannya, mengapa Eun-sae dikatakan paling selamat berada di sisinya serta apakah sebenarnya yang berlaku sehingga takdir menemukan mereka dalam keadaan yang begitu luar biasa.
Selain jalan cerita yang unik, Our Sticky Love turut menjadi tumpuan kerana keserasian semula jadi antara Jung Hae In dan Ha Young, yang dijangka menghidupkan kisah romantik penuh gelak tawa dan emosi. Dengan gabungan komedi romantik, misteri dan suasana desa yang penuh nostalgia, siri ini dijangka menjadi antara tontonan yang mencuri perhatian peminat drama Korea.
Our Sticky Love akan mula distrim secara eksklusif di Netflix bermula 7 Ogos.


