Faker, Beomgyu TXT Dan Ramai Lagi Sertai Rancangan Misteri Pembunuhan “Murder Club: Liar’s Table” Di Disney+

Disney+ bakal membawakan sebuah lagi rancangan variasi Korea yang unik menerusi Murder Club: Liar’s Table, sebuah permainan misteri pembunuhan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang akan mula distrim secara eksklusif pada 29 Julai ini.

Menggabungkan elemen strategi, tipu muslihat dan permainan psikologi, Murder Club: Liar’s Table membawa sekumpulan selebriti ke dalam dunia misteri pembunuhan yang penuh debaran. Para peserta perlu menyelesaikan pelbagai kes pembunuhan sambil berdepan cabaran untuk mengenal pasti siapakah pembunuh sebenar yang bersembunyi dalam kalangan mereka.

Setiap kes berlangsung di lokasi berbeza, daripada era Dinasti Joseon hinggalah ke padang besbol moden dan penjara. Lebih menarik, setiap jalan cerita dihidupkan menerusi video yang dijana menggunakan teknologi AI, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih realistik dan mengasyikkan.

Berbekalkan petunjuk dan bukti yang terhad, para peserta perlu menggunakan strategi serta kemahiran membuat kesimpulan bagi mengenal pasti dalang sebenar. Pada masa yang sama, si pembunuh akan melakukan apa sahaja untuk menyembunyikan identitinya sehingga permainan berakhir.

Diterbitkan oleh KJH Studio dan Skaper AI, rancangan ini menghimpunkan barisan nama terkenal daripada pelbagai bidang. Antara yang bakal mencuri tumpuan ialah YouTuber pengembaraan Pani Bottle, pemain profesional e-sukan Faker, pelawak veteran Choi Yangrak, pelawak Eom Jiyoon, pelakon Shin Sung Rok, pencipta kandungan Kim Seontae, Max Changmin daripada TVXQ!, pemain besbol profesional Kim Hyun Soo, Beomgyu daripada TOMORROW X TOGETHER serta chef Park Juseong, yang dikenali menerusi program Culinary Class Wars.

Murder Club: Liar’s Table merupakan antara rancangan variasi terbaharu yang bakal menghiasi Disney+. Selain itu, pelanggan Disney+ turut boleh menikmati pelbagai kandungan Korea lain seperti Battle of Fates, pertandingan realiti yang mempertemukan 49 pembaca nasib, I Am Boxer yang menyaksikan 90 peserta bersaing untuk bergelar ikon tinju Korea seterusnya, serta The Zone: Survival Mission yang dibintangi Yu Jaeseok, Kwon Yuri, Dex dan Kim Donghyun.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Murder Club: Liar’s Table, yang akan mula distrim secara eksklusif di Disney+ bermula 29 Julai.