Drama sejarah romantik “Key to the Phoenix Heart” bakal menemui penonton menerusi iQIYI International bermula 11 Julai. Dibintangi Ai Mi dan Hou Minghao, drama ini menggabungkan kisah cinta, misteri serta perebutan kuasa di istana dalam satu penceritaan yang penuh debaran.
Drama ini mengisahkan Xie Jiayu, anak tunggal kepada Grand Tutor, dan Xiao Wuyi, Komander Beifu, yang dipertemukan menerusi satu perkahwinan yang telah diatur. Namun, hubungan mereka menjadi semakin rumit apabila kedua-duanya terheret dalam siasatan sebuah kes lama serta perebutan kuasa di istana.
Menggabungkan elemen percintaan, misteri, politik dan seni mekanikal Mohist, “Key to the Phoenix Heart” turut mengetengahkan persoalan tentang identiti, pilihan hidup dan tanggungjawab.
Ai Mi membawakan watak Xie Jiayu, seorang wanita bijak dan berani yang mahir dalam seni mekanikal Mohist. Dalam masa sama, dia berusaha menentukan haluan hidupnya sendiri meskipun berdepan tekanan daripada keluarga serta rancangan perkahwinan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Hou Minghao memegang watak Xiao Wuyi, Komander Beifu yang disangka terkorban di medan perang sebelum kembali ke ibu kota dengan membawa misi untuk merungkai satu kes lama yang masih belum selesai. Walaupun kelihatan berani dan sukar dijangka, dia sebenarnya memikul tanggungjawab besar untuk mencari kebenaran.

Seorang berusaha mengelak daripada terikat dengan perkahwinan, manakala seorang lagi mempunyai agenda yang disembunyikan. Namun, daripada hubungan yang pada awalnya dipenuhi rasa terpaksa, mereka akhirnya berganding bahu menghadapi pelbagai ancaman yang menguji kepercayaan antara satu sama lain.
Selepas kembali ke ibu kota, Xiao Wuyi segera melamar Xie Jiayu. Namun, di sebalik lamaran tersebut, dia sebenarnya berharap dapat menggunakan pengaruh keluarga wanita itu bagi menyiasat kes penyelewengan bekalan ketenteraan, selain mencari jawapan terhadap insiden misteri yang berlaku di kawasan sempadan.
Dalam pada itu, Xie Jiayu yang sudah mempunyai impian dan rancangan hidup sendiri berulang kali cuba menggagalkan perkahwinan tersebut. Namun, setiap pertemuan dan pertelingkahan dengan Xiao Wuyi tanpa disedari membawa mereka semakin dekat dengan konspirasi yang jauh lebih besar.

Antara tarikan utama “Key to the Phoenix Heart” ialah gabungan kisah cinta berkonsepkan contract marriage dengan misteri yang berkisar mengenai seni mekanikal. Kepakaran Xie Jiayu dalam seni mekanikal Mohist menjadi antara elemen penting yang membantu mereka merungkai pelbagai misteri, manakala Xiao Wuyi pula perlu berdepan salah faham masyarakat serta konflik dalam dirinya ketika memburu dalang di sebalik kes lama itu.
Seiring hubungan mereka berkembang daripada saling mencurigai kepada saling mempercayai, rahsia demi rahsia mula terbongkar, sekali gus memberi kesan kepada penyiasatan serta perebutan kuasa di istana.
Apabila pergolakan politik semakin memuncak, Li Mao, seorang kerabat diraja, turut menjadi individu penting dalam perebutan kuasa tersebut. Kehadiran watak itu mengubah nasib Xie Jiayu dan Xiao Wuyi, selain menjadikan konflik yang melibatkan perkahwinan, dendam lama, seni mekanikal dan politik istana semakin kompleks.
Dengan gabungan percintaan, misteri dan konflik politik, “Key to the Phoenix Heart” menawarkan kisah yang bukan sahaja menyentuh emosi, malah sarat dengan plot twist dan penuh suspen.
“Key to the Phoenix Heart” mula distrim di iQIYI International bermula 11 Julai dengan sarikata Bahasa Melayu dan Inggeris.


