Artis dari Jepun dan Thailand bergabung dalam sebuah unit khas baharu, WOLF & WANDER, yang bakal membuat debut rasmi menerusi single digital pertama berjudul “Better Life” pada 17 Julai.
Unit beranggotakan tujuh ahli itu ditubuhkan di bawah G&LDH, sebuah syarikat usaha sama antara LDH JAPAN dan GMM MUSIC. Pengumuman tersebut dibuat menerusi episod terakhir siri dokumentari CLOUD DREAM, yang turut menyaksikan pelancaran akaun media sosial rasmi WOLF & WANDER.
Unit ini menghimpunkan RYOJI, SUZUKI, GHEE dan HIROTO daripada WOLF HOWL HARMONY from EXILE TRIBE, serta LOUIS, FORD dan FLUKE daripada FLIO di bawah GMMTV.
Penubuhan WOLF & WANDER merupakan hasil projek CLOUD DREAM oleh G&LDH yang bertujuan menghubungkan artis dari Jepun dan Thailand menerusi muzik, persembahan serta pertukaran budaya.
Sepanjang siri dokumentari CLOUD DREAM, beberapa artis jemputan turut membuat penampilan istimewa, antaranya Krist Perawat dan LYKN dari Thailand, selain TAKI daripada THE JET BOY BANGERZ / SEGA SAMMY LUX, KOKORO daripada PSYCHIC FEVER, serta GAN (TAKANORI IWATA) daripada J SOUL BROTHERS III.
Nama WOLF & WANDER turut membawa makna tersendiri. “WOLF” melambangkan semangat kepercayaan, disiplin dan ikatan persaudaraan yang kukuh, manakala “WANDER” pula mencerminkan keberanian meneroka dunia baharu serta melangkaui sempadan. Menerusi unit ini, ketujuh-tujuh ahli ingin membuktikan bahawa persaudaraan tidak ditentukan oleh asal usul, sebaliknya terbina daripada impian dan matlamat yang dikongsi bersama.
Single sulung mereka, “Better Life”, merupakan lagu pop berbilang bahasa yang menggabungkan lirik dalam bahasa Inggeris, Jepun dan Thai. Lagu ini membawa mesej penuh harapan untuk melangkah ke arah masa depan yang lebih baik bersama.
Berkongsi keterujaannya, LOUIS berkata,
“Saya benar-benar bersyukur kerana diberi peluang menyertai projek ini. Saya berharap lagu debut kami, ‘Better Life’, dapat membawa harapan dan kegembiraan kepada semua orang, serta menjadi sedikit kekuatan buat mereka yang sedang berasa letih atau melalui masa yang sukar.”
Sementara itu, RYOJI turut berkongsi harapannya terhadap peminat.
“Bagi kami, anda bukan sekadar peminat, tetapi teman seperjalanan. Anda ialah sebahagian daripada ‘pack’ kami. Kami berharap muzik WOLF & WANDER mampu membawa kegembiraan kepada peminat di seluruh dunia. Mari kita capai impian ini bersama-sama. Teruskan menyokong kami!”
Selepas pelancaran “Better Life” pada 17 Julai, WOLF & WANDER bakal membuat persembahan sulung mereka di Monster Music Festival 2026, salah satu festival muzik terbesar di Bangkok, Thailand, pada 26 Julai, sekali gus menandakan permulaan perjalanan rasmi unit berkenaan.


