Rakuten Viki, platform penstriman global untuk hiburan Asia, memperkenalkan siri realiti baharu Korea-Filipina berjudul Kumusta, yang menghimpunkan selebriti Korea Selatan dan Filipina dalam usaha memperkenalkan makanan serta budaya Filipina kepada penonton di Korea Selatan.
Menerusi konsep yang menggabungkan makanan, layanan mesra dan pertukaran budaya, Kumusta meraikan keunikan hospitaliti Filipina sambil membawa pengalaman rentas budaya yang menghiburkan kepada penonton.
Antara tarikan utama siri ini ialah penampilan pelakon popular Korea Selatan, Ji Chang Wook, yang cukup dikenali dalam kalangan peminat Filipina menerusi drama seperti The K2 dan Healer. Kali ini, beliau meninggalkan imej hero aksi untuk memegang watak sebagai ketua pelayan restoran.
Sepanjang siri ini, Ji Chang Wook memperlihatkan sisi dirinya yang lebih santai, ceria dan mesra ketika berdepan perbezaan budaya, membina persahabatan dengan barisan pelakon Filipina serta berinteraksi dengan pelanggan melalui makanan dan layanan yang diberikan.
Kumusta juga menandakan kemunculan pertama Ji Chang Wook dalam rancangan variasi selepas membintangi drama thriller balas dendam The Manipulated pada 2025.
Barisan bintang Filipina sertai Ji Chang Wook

Ji Chang Wook disertai beberapa nama terkenal dari Filipina, termasuk Jodi Sta. Maria sebagai pengurus restoran, Janella Salvador sebagai penolong cef, Francine Diaz selaku ketua pelayan, manakala Arci Muñoz menggalas tanggungjawab di dapur dan bahagian hadapan restoran.
Bersama-sama, mereka mengharungi cabaran mengendalikan sebuah restoran yang sibuk sambil memperkenalkan budaya dan hidangan tradisional Filipina kepada pelanggan Korea.
Hidangan Filipina jadi tumpuan
Di sebalik kejayaan restoran itu ialah cef terkenal Filipina bertaraf Michelin, JP Anglo, yang menyusun menu istimewa dengan pilihan hidangan popular Filipina yang disesuaikan mengikut cita rasa masyarakat Korea.
Antara menu yang ditampilkan termasuk inasal, kare-kare, bagoong, lechon, pork sisig dan gising-gising.
Bagi mengekalkan pengalaman menjamu selera ala Korea, setiap hidangan turut disertakan dengan pilihan banchan (hidangan sampingan) yang diinspirasikan daripada cita rasa Filipina seperti dilis, atsara dan tokwa’t baboy, selain minuman istimewa jus calamansi.
Penampilan istimewa pelakon Korea
Siri ini turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pelakon Korea Selatan sebagai pelayan jemputan, termasuk Seo In Guk, Kim Myung Soo dan Kim Min Seok.
Lebih daripada sekadar rancangan realiti
Selain menyajikan hiburan, Kumusta turut berperanan sebagai jambatan budaya antara Filipina dan Korea Selatan.
Ketika kandungan hiburan Korea terus mendapat sambutan hangat di Filipina, siri ini membuka peluang kepada penonton Korea untuk mengenali masakan, tradisi dan budaya Filipina dengan lebih dekat, di samping mengetengahkan bakat artis Filipina di pentas antarabangsa.
Melalui makanan, layanan mesra dan pengalaman yang dikongsi bersama, Kumusta meraikan hubungan budaya yang semakin erat antara kedua-dua negara serta membuktikan bagaimana penceritaan mampu menyatukan masyarakat daripada latar belakang berbeza.
Kumusta boleh distrim secara percuma menerusi perkhidmatan video atas permintaan yang disokong iklan (AVOD) di Rakuten Viki di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Filipina, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan lebih banyak lakonan Ji Chang Wook, drama Melting Me Softly dan Suspicious Partner kini turut boleh distrim di Rakuten Viki.


