Drama aksi balas dendam SBS “Agent Kim Reactivated” telah mendedahkan stills baharu yang menampilkan Joo Sang Wook dan Son Naeun dalam watak masing-masing.
Berdasarkan webtoon popular, “Agent Kim Reactivated” mengisahkan Manager Kim (So Ji Sub), seorang bapa yang kelihatan biasa tetapi sebenarnya menyimpan masa silam sebagai ejen operasi khas. Demi menyelamatkan anak perempuannya, dia sanggup mempertaruhkan segala-galanya.
Joo Sang Wook membawakan watak Joo Kang Chan, seorang tokoh berpengaruh yang bermula sebagai gangster upahan sebelum berjaya membina empayarnya sendiri dan menjadi pengerusi Juhak Construction. Dikenali sebagai individu yang menyelesaikan masalah melalui wang dan kekerasan, Joo Kang Chan dijangka menjadi antara ancaman terbesar yang bakal dihadapi Manager Kim.

Sementara itu, Son Naeun memegang watak Sang Ah, rakan sekerja Manager Kim yang menyimpan pelbagai rahsia. Dia muncul sebagai individu misteri yang sering membantu Manager Kim, terutamanya ketika dia berdepan kesukaran memahami dan berhubung dengan anak perempuannya, Min Ji (Seo Su Min).

Berkongsi sebab menerima tawaran drama ini, Joo Sang Wook berkata beliau tertarik dengan kekuatan jalan cerita asal webtoon “Agent Kim Reactivated” yang penuh ketegangan dan bergerak pantas.
“Saya memilih untuk menyertai drama ini kerana jalan ceritanya sangat menarik dan membuatkan saya sentiasa tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya. Ini juga kali pertama saya membawakan watak antagonis, dan pelbagai sisi kejahatan yang dimiliki Joo Kang Chan terasa sangat menarik serta memberikan cabaran baharu kepada saya sebagai pelakon.”

Son Naeun pula mengakui beliau tertarik dengan misteri yang menyelubungi watak Sang Ah.
“Saya sangat ingin tahu tentang watak Sang Ah yang menyimpan rahsia misteri. Selain itu, drama ini memberi peluang kepada saya untuk mencuba genre yang berbeza, dan saya juga teruja dapat bekerjasama dengan pengarah serta pelakon senior yang hebat.”

Dengan kemunculan seorang villain berpengaruh dan sekutu yang sukar dibaca niat sebenarnya, “Agent Kim Reactivated” dijangka menambah lagi lapisan konflik serta misteri dalam perjalanan Manager Kim untuk melindungi anak perempuannya.
“Agent Kim Reactivated” akan mula ditayangkan pada 26 Jun jam 9:50 malam (KST).
Sumber : 1


