“PLEASE” Jadi Hadiah Istimewa WOLF HOWL HARMONY Buat Peminat

Kumpulan vokal dan rap Jepun WOLF HOWL HARMONY from EXILE TRIBE kembali dengan single digital baharu berjudul “PLEASE”, yang kini sudah tersedia di semua platform penstriman utama bersama video muzik rasmi di YouTube.

Selepas melancarkan EP “tera” pada Mac lalu, kumpulan di bawah LDH JAPAN itu terus aktif melebarkan pengaruh mereka ke Asia Tenggara menerusi penampilan di MUUJI Festival 2026 dan SUPERFLUID 2026. Mereka juga terlibat dalam “CLOUD DREAM project by G&LDH” bersama kumpulan lelaki baharu Thailand, FLIO dari GMMTV.

“PLEASE” hadir sebagai lagu penuh emosi yang ditujukan khas buat peminat mereka di seluruh dunia, dikenali sebagai LOVERED. Lagu ini membawa mesej bahawa WOLF HOWL HARMONY mampu terus melangkah ke hadapan kerana sokongan para peminat.

Ahli kumpulan, RYOJI berkata dia terus membayangkan peminat menyanyikan lagu itu bersama mereka ketika konsert sebaik pertama kali mendengarnya.

“Sekarang kami bukan saja aktif di Jepun, tapi juga di luar negara. Semua ini terjadi kerana sokongan LOVERED (kelab peminat WOLF HOWL HARMONY. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Dari segi muzik, “PLEASE” menampilkan gabungan alternative R&B dan electro-pop dengan susunan yang lebih minimal, sekali gus memperlihatkan sisi muzik baharu kumpulan itu. Berpusat pada frasa “Please call my name”, lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang cuba terus melangkah walaupun dipenuhi rasa gelisah dan tidak pasti.

Penulis lagu, LOAR berkata lagu tersebut membawa mesej bahawa suara seseorang yang memanggil nama kita boleh menjadi kekuatan untuk terus mengejar impian dan harapan.

Sejak debut, WOLF HOWL HARMONY terus mencuri perhatian menerusi vokal mantap, persembahan penuh emosi dan semangat mereka mengejar impian. Menerusi “PLEASE”, mereka sekali lagi tampil dengan sisi lebih matang sambil menyampaikan penghargaan tulus kepada semua LOVERED.

RYOJI turut berkongsi impian mereka untuk memenuhi venue besar di seluruh dunia dengan lautan merah bersama peminat suatu hari nanti.

“PLEASE” kini boleh distrim di semua platform digital bermula 20 Mei 2026.