[Terkini] Pelakon Kim Sae Ron Ditemui Meninggal Dunia di Rumahnya

Pada 16 Februari 2025, pelakon Kim Sae Ron ditemui meninggal dunia di kediamannya.

Menurut pihak polis, Kim Sae Ron ditemui tidak bernyawa di rumahnya di Seongdong-gu, Seoul. Laporan polis diterima sekitar jam 4.50 petang pada hari yang sama, dan individu pertama yang menemukannya dipercayai seorang rakan.

Seorang sumber daripada pihak polis menyatakan, “Tiada tanda jenayah, termasuk pencerobohan dari luar ke dalam rumahnya. dan kami sedang menyiasat keadaan sebenar di sebalik pemergiannya. Kami dengan hormat meminta agar masyarakat menghormati si mati serta keluarga yang ditinggalkan, dan mengelakkan sebarang spekulasi mengenai keadaan serta cara kematiannya. Harap maklum bahawa pihak polis tidak dapat mengesahkannya.”

Kim Sae Ron sebelum ini menghentikan segala aktivitinya bagi menjalani tempoh refleksi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pada Mei 2022, pelakon itu didenda sebanyak 20 juta won kerana menyebabkan kemalangan ketika memandu di bawah pengaruh alkohol. Dia melarikan diri dari tempat kejadian selepas melanggar sebuah transformer elektrik, menyebabkan gangguan bekalan kuasa yang menjejaskan lampu jalan serta perniagaan di kawasan sekitar.

Projek terakhirnya adalah siri asli Netflix ‘Bloodhounds’ yang ditayangkan pada 2023, namun penggambaran dilakukan sebelum kes DUI-nya. Dia sepatutnya kembali ke dunia lakonan menerusi pementasan teater ‘Dongchimi’ pada Mei 2024, tetapi akhirnya menarik diri atas alasan kesihatan.

Lahir pada tahun 2000, Kim Sae Ron memulakan debutnya menerusi filem ‘A Brand New Life’ pada 2009 dan paling dikenali menerusi filem ‘The Man from Nowhere’ serta ‘The Neighbor’. Dia meninggal dunia pada usia 24 tahun.

Sumber : 1 | 2 | 3